Maybank Meningkatkan Kemudahan Perbankan Digital Dengan Memperkenalkan Aplikasi Baharu, MAE by Maybank2u

Maybank hari ini melancarkan MAE by Maybank2u, suatu aplikasi baharu yang dilengkapi dengan ekosistem unik untuk membantu rakyat Malaysia menguruskan hal kewangan harian, melebihi keperluan perbankan biasa mereka. Aplikasi MAE yang memperkenalkan perspektif baharu untuk aplikasi perbankan terus mengukuhkan komitmen Maybank untuk menawarkan pengalaman generasi akan datang kepada pelanggannya serta meningkatkan lagi tawaran perbankan digital.

MAE by Maybank2u merupakan hasil pengalaman digital yang diperkenalkan oleh Maybank ke pasaran selama bertahun-tahun, termasuk perbankan mudah alih, Pembayaran QR dan dompet digital MAE, serta penambahan ciri-ciri baharu yang menarik untuk membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias ​​berkata, “MAE by Maybank2u dikembangkan untuk menjadi lebih bermakna bukan sekadar aplikasi perbankan sahaja; kami mahu aplikasi ini menjadi suatu platform yang menyeluruh untuk membantu pelanggan kami menguruskan hal kewangan harian mereka. Bayangkan aplikasi ini sebagai bank digital yang mudah dibawa ke mana sahaja bersama anda tetapi dengan banyak ciri menarik untuk membantu anda mengawal urusan kewangan dengan lebih baik. Walaupun aplikasi ini mengandungi ciri-ciri sedia ada dalam Maybank2u untuk membantu mengurus keperluan harian anda seperti membayar bil dan pindahan wang; kami juga telah memperkenalkan pelbagai kemudahan baharu untuk membantu pelanggan memantau perbelanjaan sambil mendorong mereka untuk menabung.”

Aplikasi MAE by Maybank2 menyediakan banyak ciri baharu yang juga merupakan sebahagian daripada usaha Maybank untuk membantu pelanggan-pelanggannya menguruskan kewangan mereka dengan bertanggungjawab dan lebih komprehensif. Untuk membantu pelanggan memahami tabiat berbelanja mereka dengan lebih baik, Maybank telah mewujudkan satu ciri baharu “Expenses” yang memberikan pandangan menyeluruh mengenai semua perbelanjaan mereka melalui akaun, kad, dan transaksi QR Maybank. Perbelanjaan ini disusun mengikut kategori yang mudah difahami seperti Makanan, Utiliti dan Membeli-belah untuk memberi pelanggan gambaran lebih mendalam tentang perbelanjaan wang mereka. Bahkan transaksi tunai yang biasanya tidak direkod oleh aplikasi ini boleh ditambah dengan beberapa langkah mudah.

Tabung merupakan satu lagi ciri baharu yang diperkenalkan untuk membantu pelanggan Maybank menyimpan duit secara konsisten dan berkala untuk mencapai matamat mereka. Ini membolehkan amalan menabung menjadi lebih senang, progresif dan mudah dengan memadankan proses berjimat dengan gaya hidup mereka. Terdapat dua jenis Tabung yang boleh dibuka iaitu untuk Individu atau Kumpulan. Maybank merupakan bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan ciri Tabung untuk kumpulan yang membolehkan pelanggan menabung bersama rakan-rakan atau keluarga tersayang ke arah satu matlamat tertentu seperti percutian tahunan.

Untuk membantu pelanggan mempercepatkan proses menabung, Maybank juga memperkenalkan ciri pelengkap baharu iaitu Boosters. Pada masa ini, terdapat 3 jenis Booster:

  1. Spare Change, yang membundarkan perbelanjaan dan memindahkan baki  ke dalam Tabung;
  2. Scan & Save, yang mengkreditkan simpanan yang diperoleh daripada promosi transaksi QRPay ke dalam Tabung;
  3. Guilty Pleasure, yang membolehkan pelanggan menetapkan had perbelanjaan harian dalam kategori yang dipilih dan jika perbelanjaan melebihi had tersebut, jumlah berlebihan akan dikreditkan ke dalam Tabung anda.

Bagi melengkapkan penggunaan dompet MAE untuk perbelanjaan seharian, Maybank telah memperkenalkan kad Debit MAE Visa baharu. Kad ini dilengkapi dengan pelbagai faedah termasuk kadar pertukaran asing yang kompetitif dan faedah eksklusif untuk dinikmati di dalam dan luar negara. Pelanggan boleh membuat permohonan kad debit melalui aplikasi MAE dengan mudah dan kad akan dihantar terus kepada mereka selepas mendapat kelulusan. Apabila aktiviti perjalanan luar negara kembali selamat, jumlah dalam dompet MAE akan ditukar secara automatik ke matawang negara yang diziarahi, membolehkan pelanggan mengetahui dengan tepat jumlah dana perbelanjaan yang ada.

Selain itu, MAE by Maybank2u juga mempunyai ciri baharu yang menyeronokkan iaitu roda Makan Mana yang membantu mengesyor pilihan tempat makan sambil membolehkan pelanggan Maybank menikmati promosi daripada ribuan peniaga rakannya di seluruh negara.

Datuk Farid menambah bahawa memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami adalah teras utama bagi Maybank. “Usaha digitalisasi kami sentiasa tertumpu ke arah satu tujuan utama iaitu untuk memudahkan kehidupan pelanggan kami dan menyelesaikan masalah mereka. Kami berharap aplikasi MAE by Maybank2u akan menjadi teman dipercayai pelanggan kami yang menolong mereka meningkatkan cara berbelanja dan menabung sambil memberikan pengalaman pengguna terbaik. Kami ingin mengubah pengurusan wang mereka yang kadang-kala merumitkan, menjadikannya sebagai satu pengalaman yang menyenangkan. Secara keseluruhannya, kami berharap aplikasi ini dapat membantu mereka mencapai matlamat dan impian mereka, dan membolehkan mereka membuat keputusan kewangan yang baik dan bijak.”

Aplikasi MAE by Maybank2u boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple AppStore. Pelanggan Maybank hanya perlu menjalani aturan keselamatan yang mudah, dan terus dapat menggunakan aplikasi ini dengan lancar. Data dari semua akaun Maybank mereka akan dimuat secara automatik ke aplikasi MAE by Maybank2u.

Untuk pelanggan bukan Maybank, mereka boleh membuka dompet MAE dengan mudah dengan melengkapkan permohonon tanpa perlu mengunjungi cawangan untuk menikmati aplikasi MAE by Maybank. Setelah permohonan diluluskan, mereka boleh terus menggunakan aplikasi dan kesemua ciri perbankan dan kewangannya.

“Memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 Maybank, MAE by Maybank2u melambangkan satu lagi kejayaan dalam perjalanan inovasi berterusan kami. Dengan ciri baharu yang bermakna, pengalaman pengguna intuitif dan platform selamat, kami yakin bahawa aplikasi MAE by Maybank2u akan mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan Maybank dan juga rakyat Malaysia. Kami menjangka akan mencapai 3 juta muat turun aplikasi dalam masa 12 bulan akan datang,” kata Datuk Farid.

Maklumat lebih lanjut mengenai aplikasi ini boleh didapati di www.maybank2u.com.my/mae.

Mengenai Maybank – Menginsankan Perkhidmatan Kewangan

Maybank adalah antara kumpulan perbankan terkemuka dan aset keempat terbesar di Asia Tenggara. Kumpulan Maybank beroperasi di Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Vietnam, Kemboja, Thailand, SAR Hong Kong & Republik Rakyat China, Bahrain, Uzbekistan, Myanmar, Laos, Pakistan, India, Arab Saudi, Britain dan Amerika Syarikat. Kumpulan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk perbankan pengguna dan korporat, perbankan pelaburan, perbankan Islam, broker saham, insurans dan takaful dan pengurusan aset. (www.maybank.com)

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI