Pemakaian Amalan Terbaik Tadbir Urus Korporat Kekal Positif

Lebih banyak syarikat tersenarai mengguna pakai amalan terbaik seperti yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada tahun 2019, berbanding pada tahun sebelumnya. Ketika mengumumkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor 2020) tahunannya hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyatakan bahawa bidang yang menunjukkan peningkatan dalam pemakaian tersebut adalah amalan Yang Dipertingkatkan (Step Up), proses pengundian dua peringkat dan amalan lembaga pengarah untuk menentukan imbuhan pengarah dan pengurusan kanan.

CG Monitor 2020 juga menampilkan pemerhatian terhadap tiga semakan tematik mengenai penerimaan resolusi dua peringkat, imbuhan lembaga pengarah syarikat tersenarai di Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 (FBM 100) dan pengendalian mesyuarat agung secara maya sepenuhnya oleh syarikat tersenarai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan terhadap imbuhan lembaga pengarah menunjukkan jumlah imbuhan lembaga pengarah bagi tahun 2019 telah berkurangan sebanyak 11.7% berbanding tahun 2018. Imbuhan para pengarah eksekutif juga berkurangan sebanyak 14.5% manakala imbuhan pengarah bukan eksekutif meningkat sebanyak 6.2% pada tahun 2019.

Walaupun pemakaian proses pengundian dua peringkat untuk mengekalkan pengarah yang sudah lama berkhidmat telah meningkat, masih ada sebilangan besar pengarah bebas yang telah berkhidmat antara 20-40 tahun. SC memerhatikan bahawa penglibatan pemegang saham bukan besar dalam pengundian Tahap 2 masih rendah. Secara purata, hanya 40% pemegang saham bukan besar membuat pengundian mereka. Walaupun proses pengundian dua peringkat tidak wajib, SC amat menggalakkan para pemegang saham untuk mengguna pakai amalan ini untuk mengukuhkan pelantikan semula pengarah bebas yang telah berkhidmat lama. Begitu juga pemegang saham bukan besar hendaklah bangkit dan melaksanakan hak mereka dalam menentukan pelanjutan tempoh perkhidmatan pengarah-pengarah ini.

Pada 31 Ogos 2020, kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 24.82% (2018: 23.68%) dalam 100 syarikat tersenarai teratas dan 16.96% (2018: 15.69%) dalam semua syarikat tersenarai. Ketika ini, terdapat lima syarikat dengan semua lembaga pengarahnya adalah lelaki dalam 100 syarikat tersenarai teratas, iaitu Comfort Glove Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Frontken Corporation Bhd, Guan Chong Bhd, dan Pentamaster Corporation Bhd.

SC juga berpuas hati memerhatikan bahawa syarikat-syarikat yang lebih kecil telah mengguna pakai pendekatan yang lebih telus berhubung penzahiran imbuhan bagi pihak pengurusan kanan berasaskan nama. Syarikat yang baru mengguna pakai amalan terbaik tersebut termasuk Ajinomoto Malaysia, Fibon Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, Sunway Bhd dan Top Glove Bhd. Penzahiran dan ketelusan yang berkualiti akan membolehkan pihak berkepentingan memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai rangka kerja dan amalan tadbir urus korporat yang menyokong daya tahan dan pertumbuhan perniagaan syarikat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

Untuk maklumat lanjut, muat turun Corporate Governance Monitor 2020 di www.sc.com.my.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI