Kenali Profil Risiko Pelabur Sebelum Nak Mula Melabur

Sebelum kita nak mula melabur, penting untuk kita kenalpasti dan faham tentang profil dan pengurusan risiko. Setiap individu mempunyai profil risiko yang berbeza. Pemahaman tentang profil risiko dapat membantu pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang sesuai dengan diri masing-masing.

Apa Itu Profil Risiko?

Profil risiko ialah penilaian tentang kesediaan dan kemampuan untuk menghadapi risiko. Kesediaan menghadapi risiko berkait rapat dengan emosi dan tindakan yang dilakukan apabila nilai pelaburan mengalami kejatuhan.

Mereka yang tidak berani menanggung risiko kerugian akan sanggup melepaskan potensi keuntungan di masa hadapan kerana takut menghadapi kerugian. Sebaliknya, mereka yang sanggup dan mampu bertahan sekiranya nilai pelaburan mengalami kejatuhan sudah pasti kerana inginkan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

Kemampuan menghadapi risiko biasanya dikaitkan dengan analisa posisi kewangan dan aliran tunai individu.

1. Senaraikan segala aset dan liabiliti yang dimiliki ketika mula buat pelaburan. Mereka yang mempunyai dana kecemasan sudah pasti mempunyai posisi kewangan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mempunyai dana kecemasan.

2. Analisa aliran tunai bulanan untuk ketahui samada aliran tunai positif atau negatif. Kebiasaannya mereka yang mempunyai aliran tunai positif ada kemampuan untuk membuat simpanan secara konsisten.

3. Mereka yang mempunyai posisi kewangan yang baik dan aliran tunai positif mempunyai kemampuan untuk menghadapi risiko yang lebih tinggi.

Selain daripada itu, cara lain untuk mengenalpasti profil risiko pelabur ialah jangka masa pelaburan. Tetapkan berapa lama masa untuk pelaburan sebelum modal dikeluarkan. Pelaburan berisiko tinggi mempunyai volatiliti yang tinggi.

Sekiranya pelaburan dibuat untuk jangka masa yang pendek, pelabur mungkin terpaksa menjual semula pelaburan dalam keadaan nilai pelaburan jatuh. Secara umumnya pelaburan jangka pendek lebih sesuai untuk pelaburan berisiko rendah dan sebaliknya.

Risiko Dalam Instrumen Pelaburan

Setiap jenis instrumen pelaburan dan kelas aset mempunyai tahap risiko yang tertentu bergantung kepada ciri-ciri pelaburan itu sendiri. Tahap risiko boleh dibahagikan kepada risiko rendah, sederhana dan tinggi dan seperti biasa sekiranya kita inginkan pulangan yang tinggi, kena sedia terima risiko yang tinggi juga.

Orang kata “high risk high return”.

Risiko Rendah

Pelaburan dengan risiko rendah mempunyai peluang kerugian yang rendah atau hampir tiada. Ada juga pelaburan yang ada jaminan modal dikategorikan sebagai pelaburan risiko rendah. Namun, kebiasaannya keuntungan yang boleh dijana juga rendah berbanding pelaburan lain.

Contoh pelaburan risiko rendah ialah deposit tetap dan pasaran wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga merupakan pelaburan risiko rendah yang memberi pulangan konsisten setiap tahun.

Risiko Sederhana

Pelaburan dengan risiko sederhana sesuai untuk pelabur yang inginkan pulangan yang lebih tinggi dan bersedia untuk menerima sedikit volatility atau turun naik dalam pelaburan, namun lebih berhati-hati dan belum berani menerima risiko yang tinggi.

Contoh pelaburan risiko sederhana ialah pelaburan unit amanah yang mempunyai volatiliti yang lebih rendah berbanding saham terutama dana seimbang. Dana seimbang mempunyai portfolio pelaburan ke dalam ekuiti dan juga sukuk dengan pulangan yang lebih stabil.

Risiko Tinggi

Pelaburan dengan risiko tinggi mempunyai volatility yang tinggi daripada segi perubahan harga. Selain daripada itu, risiko pelaburan boleh menjadi tinggi disebabkan oleh penggunaan pinjaman atau pembiayaan untuk modal pelaburan.

Contoh pelaburan risiko tinggi ialah pelaburan saham dan hartanah. Pelabur saham boleh mendapat keuntungan daripada dividen syarikat atau kenaikan harga saham (capital gain). Pasaran saham mempunyai volatility yang tinggi.

Pelaburan hartanah pula melibatkan pembiayaan bank untuk mendapatkan modal pelaburan yang tinggi dalam jangka masa yang lama. Selain daripada itu, proses jualbeli hartanah mengambil masa yang lama dan kos yang tinggi.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, pelabur perlu memastikan mereka memahami dan membuat analisa berkenaan profil risiko masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Buat pembahagian aset pelaburan kepada beberapa instrumen pelaburan bergantung kepada profil risiko pelabur.

Ini penting supaya pelabur dapat memaksimumkan keuntungan dan sentiasa tenang menghadapi sebarang risiko kerugian.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.