Cedera Dilanggar Kenderaan Yang Tiada Perlindungan Insuran? Jangan Risau

Kebanyakan rakyat Malaysia tahu bahawa jika kita cedera semasa kemalangan, kita boleh membuat tuntutan Pihak Ketiga (third party) kepada syarikat insuran/takaful orang yang melanggar kita. Tetapi apa yang perlu dilakukan apabila kita dilanggar kenderaan seseorang yang tiada perlindungan insuran/takaful? Lebih teruk lagi bila tuan punya kenderaan kata tak nak bayar?

Adoi…dah la kita cedera, takkan nak kena keluar duit sendiri masuk hospital? Tak adil sebab bukan salah kita. Tapi dekat mana kita boleh claim?

Motor Insurers’ Bureau (MIB)

Sebenarnya, ramai yang tak tau. Jika berlaku kes seperti di atas kita boleh claim (kecederaan) dengan Motor Insurers’ Bureau (MIB). MIB tu apa? Syarikat insurans ke?

Bukan. MIB ada dana khas untuk melindungi pengguna jalanraya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insuran. Selain dari kes dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insuran, kita juga boleh claim (kecederaan) dengan MIB jika kenderaan yang melanggar kita insurannya TERBATAL.

MIB dibentuk daripada perjanjian yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM). Tujuan MIB adalah untuk menyediakan mangsa-mangsa kemalangan jalan raya yang cedera (sama ada sebagai pemandu, penumpang atau pejalan kaki) dengan wang sekiranya kenderaan yang melanggar tidak mempunyai perlindungan insuran.

MIB dapat duit dari mana?

MIB dapat duit dari syarikat insuran. Setiap tahun semua syarikat insuran wajib mencarum ke dalam MIB.

This image has an empty alt attribute; its file name is motor-takaful.jpg

Macam Mana Nak Claim Dengan MIB?

Sebelum buat claim dengan MIB kena take note benda-benda ni dulu:

  1. Boleh buat tuntutan sendiri atau melalui peguam
  2. MIB tidak terima kes langgar lari. Kita mesti tahu no plat kenderaan yang melanggar
  3. Tuntutan mesti dibuat dalam masa 3 tahun selepas kemalangan
  4. Jika kita lantik peguam dan nak saman kenderaan tu, mesti maklumkan kepada MIB 30 hari sebelum failkan saman.
  5. MIB hanya bayar atas kecederaan anda sahaja. Mereka tidak akan membayar kerosakan kepada kenderaan, pakaian, kehilangan pendapatan, bil perubatan

Ok jelas? Kalau jelas ini dokumen yang perlu hantar ke MIB untuk buat tuntutan:

  1. Surat (cover letter) yang mengandungi butiran kemalangan, sebab untuk claim dan senarai dokumen yang dilampirkan
  2. Laporan polis
  3. Laporan polis orang yang melanggar (jika ada)
  4. Laporan perubatan

*Tuntutan turut boleh dibuat jika kemalangan berlaku di Sabah dan Sarawak

Hantar dokumen-dokumen diatas ke:

Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia
Wisma PIAM
No.150-3, 3rd Floor
Jalan Tun Sambanthan, Brickfields
50782 Kuala Lumpur
Tel: 03-2274 7395

Nota : Menurut laman web iBanding, apabila anda menerima jawapan dari MIB, mereka akan meminta bayaran RM100 untuk mereka menjalankan siasatan kemalangan anda.

Doa Naik Kenderaan

Malang sememangnya tidak berbau. Berdoalah. Walaupun kita dah baca doa naik kereta tiba-tiba tengah jalan kereta rosak, tayar kereta pecah atau minyak habis. Jangan marah sebab mungkin Allah nak lambatkan perjalanan kita agar terhindar dari musibah yang lebih teruk. Sangka baik, Allah selalu menjaga hambanya yg berdoa.

سُبْحَانَ الَّذِىْ سَخَّرَلَنَا هَذَا وَمَاكُنَّالَهُ مُقْرِنِيْنَ وَاِنَّآ اِلَى رَبّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ

Dengan Nama Allah, segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami

Sumber asal topik Motor Insurers’ Bureau ini diambil dari Norzaini Elias, “Kak Long Road Tax”. Follow beliau untuk lebih banyak info percuma

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI