Proses Dan Prosedur Nak Buat Hibah Dan Wasiat

Mengurus dan merancang harta adalah sangat digalakkan dalam agama Islam. Dalam konteks yang senang difahami, Islam membenarkan kita mewariskan harta kepada individu tertentu melalui hibah dan wasiat.

Dengan mengetahui proses dan prosedur hibah dan wasiat, urusan lebih mudah dan mengikut seperti apa yang kita jangkakan. Jom ketahui perbezaan di antara wasiat dan hibah terlebih dahulu.

Perbezaan Di Antara Wasiat Dan Hibah

Daripada segi bahasa, hibah adalah hadiah daripada pemilik harta kepada seseorang secara langsung semasa beliau masih hidup dan ianya adalah secara sukarela.

Wasiat pula bermaksud memberikan hak pemilikan selepas kematian pemilik harta tersebut.

Proses Hibah

Proses untuk hibah memerlukan beberapa proses dan apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengisi borang permohonan hibah untuk didaftarkan di Majlis Agama Islam ke dalam rekod daftar hibah.

Kemudiannya, dokumen pengisytiharan hibah juga perlu disediakan dan temujanji untuk tandatangan dan pengesahan bersama pemilik hibah dan penerima hibah perlu dibuat di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selepas itu, dokumen pengisytiharan hibah akan diserahkan kepada penghibah untuk proses pemberian hibah. Mudah bukan?

Prosedur Hibah

Prosedur hibah memerlukan pemberi hibah yang mempunyai hak penuh terhadap harta yang akan dihibahkan dan mestilah waras akalnya, baligh dan matang.

Selain daripada itu, penerima hibah yang layak juga diperlukan untuk menerima harta tersebut dan sekiranya bukan mukalaf, hibah tersebut boleh diberikan kepada penjaganya.

Akhir sekali adalah harta yang dihibahkan dan juga lafaz ijab dan kabul diperlukan untuk menyempurnakan hibah tersebut.

Prosedur Wasiat

Prosedur untuk wasiat pula memerlukan pewasiat dan waris untuk mengetahui siapakah waris faraid supaya tidak menimbulkan pergaduhan kelak. Kemudian wasi perlu dilantik bagi menguruskan harta wasiat tersebut supaya memudahkan proses.

Pastikan pewasiat juga mendokumenkan wasiat dan menyediakan dana pantas untuk waris agar prosesnya berjalan dengan lebih cepat dan lancar.

Kesimpulannya, hibah dan wasiat amat penting dalam memenuhi keperluan dan hasrat pemilik harta. Selain itu juga, tujuannya adalah untuk mengelakkan pergaduhan sesama keluarga di dalam pemilikan harta peninggalan.

Jadi, bagi anda yang belum menghibahkan dan mewasiatkan harta anda, bolehlah memohonnya dengan pihak pihak berautoriti atau syarikat amanah.

Sumber Rujukan: Cheatography

Previous ArticleNext Article

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.