4 Sebab Kenapa Ramai Takut Melabur Saham

Dari dulu sampai sekarang, kita boleh dengar pendapat berkaitan pelaburan saham yang berbeza-beza. Walaupun ramai yang telah menceburinya kerana ingin menjana pulangan yang lumayan, namun masih ramai lagi yang skeptikal tentang saham.

Ia bergantung kepada mindset individu tersebut dan kebiasaannya dipengaruhi oleh pelbagai pandangan yang telah mereka dengar. Itulah yang membuatkan mereka berasa takut untuk melabur.

Jom kita lihat di antara punca ramai orang takut melabur dalam pelaburan saham.

1. Takut Gagal

Hampir semua daripada kita takut dengan kegagalan, ia adalah normal pada permulaannya. Kebanyakan daripada kita juga rela untuk berada dalam zon selesa daripada cuba mengambil risiko untuk berjaya.

Tanpa kegagalan, kita tidak akan dapat mengecapi pengalaman baru. Yang penting, kita kena bangkit walau berapa banyak kali kita gagal sekalipun.

2. Takut Kerugian

Bukan senang untuk dapatkan wang, kita perlu berjimat dan menyimpan. Penat-penat kerja, sekali tersilap labur habis rugi nanti.

Tapi cuba kita perhatikan nama-nama besar dalam dunia pelaburan yang sememangnya tidak takut untuk rugi. Nak jadi kaya, kena berani ambil risiko.

Dengan adanya ilmu, kita dapat tingkatkan keuntungan dan meminimakan kerugian.

3. Tak Pandai

Tidak pandai melabur adalah perkara yang biasa untuk pelabur baru. Namun yang menjadi masalahnya adalah kita tidak mahu belajar.

Sedangkan kita sanggup habiskan masa bertahun-tahun lamanya dan habis ribuan ringgit demi segulung ijazah. Tapi nak belajar ilmu untuk gandakan wang, banyak pula alasan.

Dengan pelbagai ilmu yang ada di luar sana, ada yang percuma dan ada yang berbayar – semuanya terpulang kepada kita untuk rebut peluang tersebut.

4. Takut Ditipu

Bagi seseorang yang baru melabur, takut ditipu adalah halangan terbesar untuk mereka melabur. Rasa takut ditipu timbul kerana pengetahuan kita yang terhad mengenai pelaburan.

Oleh itu sebelum melabur, pastikan kita membuka akaun CDS dengan broker yang sah dan dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Konflik AS-Iran Reda: Pasaran Alih Tumpuan Kepada Pertumbuhan Domestik

KUALA LUMPUR: Perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dimeterai pada 17 Jun lalu dilihat membuka lembaran baharu kepada pasaran global apabila ketegangan yang menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz mula mereda, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap harga tenaga dan menyokong prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Penganalisis BIMB Securities Research, Redza Rahman berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua negara itu menandakan peralihan daripada keadaan pasaran yang dipacu kebimbangan geopolitik kepada fasa penormalan yang lebih stabil.

Beliau berkata, ia sekali gus membolehkan pelabur menumpukan semula perhatian kepada tema pertumbuhan domestik.

Katanya, konflik Selat Hormuz yang berlarutan selama 110 hari sebelum ini menjejaskan hampir 20 peratus bekalan minyak global dan menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$120 setong, mencetuskan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi dunia.

“Di bawah MoU berkenaan, AS bersetuju menamatkan sekatan laut secara berperingkat dalam tempoh 30 hari, manakala Iran akan menghapuskan halangan teknikal dan ketenteraan bagi membolehkan semula laluan perkapalan melalui Selat Hormuz.

“Kapal komersial juga dibenarkan melalui selat itu tanpa sebarang bayaran transit selama 60 hari.

“Sebagai sebahagian daripada usaha normalisasi hubungan, AS turut bersetuju mengeluarkan pengecualian tertentu bagi eksport petroleum Iran selain membebaskan aset negara itu yang dibekukan, tertakluk kepada komitmen Tehran untuk tidak membangunkan senjata nuklear dan mematuhi proses pengurangan stok uranium yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Redza berkata, bagi menyokong proses pemulihan itu, AS bersama rakan serantau turut berhasrat membangunkan pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion sekiranya rundingan komprehensif berjaya dimuktamadkan.

Beliau berkata, perkembangan positif berkenaan telah mengubah sentimen pasaran daripada strategi lindung nilai berasaskan komoditi kepada pelaburan yang lebih menumpukan pertumbuhan struktur dan ekonomi domestik.

“Pasaran modal kini sedang menilai semula kedudukan daripada tema lindung nilai perang kepada pertumbuhan struktur, dengan sektor pembinaan dan digital tempatan berfungsi sebagai benteng semula jadi terhadap ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Redza berkata, tumpuan pelabur kini beralih kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta perkembangan pesat projek pusat data hiperskala yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh sederhana dan panjang.

Selain itu beliau menjelaskan, syarikat yang mempunyai buku pesanan domestik kukuh, termasuk yang terbabit dalam projek infrastruktur seperti Sistem Transit Rapid (RTS), pengembangan pusat data dan hab logistik, dilihat berada dalam kedudukan lebih berdaya tahan berikutan kurang terdedah kepada risiko luaran.

Bagaimanapun, BIMB Securities Research katanya mengingatkan bahawa risiko kegagalan rundingan damai masih kekal tinggi dengan kebarangkalian sekitar 35 peratus.

Ia katanya terutama sekiranya berlaku insiden baharu melibatkan konflik serantau atau pertikaian berkaitan pematuhan syarat nuklear.

Katanya, laporan IAEA mengenai proses pengurangan uranium Iran akan menjadi penentu utama kestabilan perjanjian itu kerana sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan pengecualian sekatan ditarik balik dan mencetuskan semula ketidaktentuan pasaran.

“Sehubungan itu, firma mengesyorkan strategi pelaburan “Barbell Defensif” bagi mengimbangi potensi pulangan dan risiko semasa tempoh rundingan 60 hari itu.

“Di bawah pendekatan berkenaan, sebanyak 35 peratus portfolio dicadangkan diperuntukkan kepada komponen perlindungan, termasuk pegangan dalam Hibiscus Petroleum Bhd sebagai lindung nilai terhadap kemungkinan lonjakan semula harga minyak.

“Sementara itu, baki 65 peratus disarankan disalurkan kepada syarikat yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan domestik, khususnya dalam sektor pembinaan, utiliti dan infrastruktur digital.

“Bagi segmen pertumbuhan, pelabur boleh memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai kontrak domestik bernilai tinggi seperti Sunway Construction, selain penyedia perkhidmatan penting seperti Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional yang mempunyai pendapatan lebih defensif,” katanya.

Menurut BIMB Securities Research, disiplin pelaburan dan tumpuan kepada syarikat yang memiliki asas perniagaan kukuh akan menjadi faktor utama dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang masih berpotensi muncul sepanjang tempoh rundingan damai itu berlangsung.

— Berita Harian