Kekeliruan Tentang Hibah Takaful dan Hibah Harta

Perkataan hibah sudah semakin membumi dalam penggunaan masyarakat Malaysia secara umumnya. Hibah kata pinjaman daripada Bahasa Arab yang membawa maksud hadiah, atau memberi hadiah.

Memberi hadiah itu sendiri merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.”

– Hadis Riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad

Berdasarkan konsep saling memberi hadiah atau hibah yang diambil daripada hadis di atas, ulama kontemporari telah mendatangkan satu konsep muamalat yang memberi manfaat kepada umat Islam pada dunia moden hari ini.

Istilah hibah ini dijenamakan menjadi satu konsep yang penting dalam hukum mualamat moden.

Konsep hibah dalam sistem mualat moden adalah pemberian seorang individu kepada individu yang lain atau pihak tertentu dan pemberian tersebut dilakukan semasa individu yang memberi masih hidup.

Pembahagian hibah tersebut dibuat oleh pemilik harta mengikut kehendak sendiri secara sukarela.

Kemudian daripada sebuah konsep, ia dijenamakan pula syarikat atau agensi berkaitan sebagai produk. Oleh itu hari ini, kita melihat seringkali perkataan hibah dipasarkan kepada masyarakat Islam dalam pelbagai bentuk.

Ada hibah takaful.
Ada hibah harta.
Ada hibah amanah.
Ada hibah bersyarat.

Dan macam-maca lagi jenis hibah yang kita boleh temui, khususnya dari laman media sosial.

Walaubagaimanapun, untuk perbincangan kali ini, kita akan memfokuskan kepada hibah takaful dan hibah harta sahaja.

Sebelum itu, bagi memudahkan lagi kefahaman tentang hibah, ada tiga elemen penting yang perlu kita ketahui dahulu. Dalam setiap proses hibah mesti ada perkara ini.

* Sebenarnya lima elemen – tapi untuk tujuan kefahaman ringkas bagi artikel ini, hanya akan dibincangkan tiga sahaja.

  1. Pemilik harta
  2. Penerima hadiah (hibah)
  3. Harta yang dihadiahkan

Perhatikan ketiga-tiga elemen ini dalam penjelasan seterusnya.

Definisi Hibah Takaful

Untuk memahami definisi hibah takaful, kita perlu faham dahulu maksud takaful. Seperti hibah, takaful juga berasal daripada istilah Bahasa Arab yang kemudiannya menjadi satu konsep dalam sistem muamalat Islam.

Takaful memberi maksud saling bantu membantu. Untuk memudahkan kefahaman, konsep takaful adalah satu sistem yang mana syarikat takaful akan mengumpulkan ‘dana sumbangan’ daripada setiap peserta takaful dengan satu akad yang sangat murni.

Iaitu jika berlaku kecelakaan salah seorang daripada peserta takaful, syarikat akan membayar pampasan kepada peserta tersebut. Secara tidak langsung, semua peserta telah membantu peserta yang ditimpa bencana tersebut.

Sebagai contoh, Ahmad telah menyumbang RM100 setiap bulan melalui Syarikat Takaful A. Beberapa tahun kemudian, Ahmad meninggal dunia, maka Syarikat Takaful A akan membayar sejumlah pampasan kepada waris Ahmad.

Pampasan yang dibayar kepada waris ini ada tiga cara atau kaedah yang boleh dipilih oleh Ahmad.

  1. Melalui penamaan pentadbir (wasi)
  2. Melalui penamaan mutlak (hibah)
  3. Melalui penamaan amanah

Kaedah atau cara kedua iaitu penamaan mutlak penerima wang pampasan takaful itulah yang dimaksudkan dengan hibah takaful. Maknanya, penerima yang telah dinamakan sebagai penerima wang pampasan tersebut, adalah penerima mutlak dan tidak perlu diagihkan atau difaraidkan wang tersebut kepada waris-waris yang lain.

Jadi secara ringkasnya, hibah takaful adalah pemberian wang pampasan (hadiah) oleh peserta takaful (pemilik harta) kepada orang yang dikehendakinya (penerima hadiah).

  • Pemilik harta – Peserta takaful (mesti menyumbang dengan mana-mana syarikat takaful)
  • Hadiah (harta) – wang pampasan
  • Penerima hadiah – waris / individu yang dinyatakan dalam akad hibah

Definisi Hibah Harta

Konsep yang sama juga dalam situasi hibah takaful. Perlu ada pemberi hibah, penerima hibah dan harta yang nak dihibahkan (hadiah).

Bezanya adalah pada jenis harta yang nak dihibahkan tersebut.

Hibah harta lebih luas. Apa-apa jua jenis harta yang dimiliki boleh dihibahkan.

Rumah, kereta, tanah kebun, barang kemas, wang simpanan dan apa sahaja harta yang kita miliki.

Contohnya, seorang bapa nak hibahkan sebuah rumah kepada anaknya.

  • Pemilik harta – bapa
  • Hadiah (harta) – rumah
  • Penerima hadiah – anak

Perbezaan Hibah Takaful dan Hibah Harta

Hibah takaful berfungsi untuk menyediakan wang tunai secara pantas kepada waris selepas kematian kita. Wang tunai ini akan diterima waris tanpa perlua melalui proses urus pusaka yang biasanya memakan masa berbulan bahkan sehingga bertahun.

Wang pampasan hibah takaful yang waris terima boleh digunakan untuk kelangsungan kehidupan waris. Lebih-lebih lagi jika waris yang ditinggalkan tidak bekerja dan mempunyai komitmen bulanan yang besar.

Hibah harta pula berfungsi untuk merancang kaedah perwarisan harta selepas berlaku kematian pemilik harta.

Segala jenis harta yang dimiliki boleh dihibahkan. Contohnya seorang suami hibahkan rumah dan kenderaan kepada isteri. Tujuannya supaya proses pentadbiran dan pengagihan harta selepas si suami meninggal dunia akan berjalan lebih mudah dan lancar.

Apabila kita hibahkan harta seperti rumah dan kenderaan, harta yang nak dihibahkan tersebut memang telah sedia ada milik kita. Berbeza dengan hibah takaful, wang pampasan yang akan dihibahkan tersebut hanya wujud selepas berlakunya kematian kita sebagai peserta takaful.

Kesimpulan

Ada yang bertanya, yang mana lebih bagus? Hibah takaful atau hibah harta?

Saya jawab kedua-duanya bagus. Perlu faham dahulu fungsi kedua-duanya. Dapatkan penjelasan daripada pakar.

Kedua-duanya penting dalam proses perancangan harta.

7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta

Isu harta pusaka merupakan isu yang panas sejak dari dulu lagi. Sehingga mengakibatkan sebanyak RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku.

Jom kita bersama-sama Tuan Fakhrur Radzi yang merupakan seorang perunding harta pusaka Islam dalam topik ‘7 Kesilapan Dalam Merancang & Urus Harta’.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.