Anak Muda, Buat 6 Perkara Ini Untuk Urus Kewangan Peribadi Dengan Lebih Bijak

Bagi anak-anak muda zaman sekarang ini, kebanyakan mereka agak boros berbelanja dan ‘tak sayang duit’ masing-masing. Sehinggakan ada di antara mereka yang telah diisytiharkan muflis oleh pihak bank di usia muda.

Bagaimana cara untuk menguruskan kewangan secara bijak? Mari kita lihat antara tips yang berguna untuk anak-anak muda bijak mengurus kewangan peribadi masing-masing.

1. Bagi yang baru mula bekerja, jangan terlalu gembira apabila mendapat gaji pertama anda.

Pastikan anda mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk menguruskan wang gaji anda. Contohnya 50% untuk simpanan, 20% untuk ibu bapa (bagi yang masih ada), 20% simpanan dan 10% untuk kegunaan sendiri.

Anda juga perlu asingkan pendapatan anda untuk kegunaan kecemasan untuk persediaan. Wang untuk simpanan boleh diasingkan kepada kategori-kategori tertentu mengikut kemahuan anda sendiri.

2. Jangan terlalu gopoh berbelanja.

Duit yang anda dapat bukanlah untuk digunakan pada satu ketika sahaja, tetapi untuk perancangan masa depan anda sendiri. Sentiasa beringat apabila berbelanja.

Jangan boros, kerana orang yang boros akan selalu rugi.  

3. Bagi anda yang masih muda dan belum berumahtangga, apalah salahnya jika anda merajinkan diri untuk membuat kerja lebih masa.

Di samping mendapat lebih pendapatan, anda juga boleh menimba lebih pengalaman berbanding yang lain. Tapi, janganlah pula sampai memudaratkan diri sendiri.

Buat sekadar mampu dan pastikan tidur mencukupi setiap hari.

4. Rancang dana persaraan daripada hari pertama bekerja.

Ini sangat perlu supaya anda boleh merancang kewangan anda untuk masa hadapan nanti. Jangan hanya pergantung kepada simpanan KWSP semata-mata.

Pastikan perancangan kewangan anda betul-betul kukuh untuk kegunaan jangka panjang.

5. Rancang untuk pembelian rumah terlebih dahulu.

Pastikan anda membuat simpanan untuk membeli rumah sebagai aset, tidak kiralah sama ada rumah yang murah ataupun yang mahal. Semuanya bergantung kepada bajet yang anda ada.

Ramai anak muda hari ini lebih cenderung untuk membeli kereta sebelum memikirkan untuk mempunyai rumah sendiri. Pemikiran ini adalah tidak tepat sama sekali.

Banyak kemudahan pengangkutan awam ada di Malaysia, jadi tidak menjadi masalah untuk anda bergerak ke mana-mana dengan pengangkutan awam.

6. Jika anda ada pinjaman pelajaran, buatlah bayaran balik pinjaman secepat mungkin.

Ini kerana tunggakan pinjaman akan semakin meningkat jika dilewatkan.

Selain itu, elakkan pembelian secara kredit, kerana anda hanya akan menambahkan bebanan hutang anda. Sebaiknya, buatlah pembelian secara tunai kerana itu lebih selamat.

Sebagai anak muda yang berjaya, anda haruslah bijak menguruskan kewangan anda. Ini kerana wang yang anda perolehi hasil daripada kerja keras itu adalah untuk kegunaan jangka masa panjang.

Jangan mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah tetapi dibebani hutang yang melangit.

Sumber Rujukan: Jom Urus Duit

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram.

Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM65 (berdasarkan harga emas RM260 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.