Abdul Rahman Bin Auf, Tokoh Usahawan Dan Dermawan Islam

Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas Tahun Gajah, adalah nama yang cukup besar di kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Abdul Rahman bin Auf merupakan salah seorang daripada tujuh orang yang terawal memeluk Islam. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang sangat kaya-raya.

Beliau diberi kelebihan oleh Allah dengan memiliki kekayaan dan harta yang melimpah-ruah melalui hasil perniagaannya. 

Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, bersemangat pejuang, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga.

Keperibadian Abdul Rahman bin Auf sangatlah terpuji. Walaupun sangat kaya, namun beliau menganggap dirinya sebagai pemegang amanah harta Allah dan hidup secara sederhana sehingga akhir hayatnya. 

Semasa Hayatnya

Image by LoggaWiggler from Pixabay

Abdul Rahman bin Auf hidup dalam persekitaran keluarga yang mulia dan bermaruah. Sebelum memeluk agama Islam, beliau sudah menjauhi penyembahan berhala, perbuatan mungkar dan maksiat. Malahan, bagi beliau, meminum arak itu sendiri adalah terlarang.

Sifat terpuji ini berterusan ketika kebangkitan dan perkembangan Islam di kota Mekah dan seterusnya di Madinah. Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, Rasulullah telah menukarkan nama beliau daripada Abdul Ka’abah kepada Abdul Rahman.

Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas daripada hidup bergantung dengan orang lain.

Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah buat semua umat bagi membina tamadun yang cemerlang. Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah.

Abdul Rahman bin Auf merupakan seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap saja beliau berjaya menunjukkan kehebatan dalam perdagangan sehingga berjaya memperoleh harta yang banyak.

Dengan harta yang beliau ada, beliau selalu menjadi pembiaya angkatan perang Muslim dengan membelikan pelbagai senjata dan keperluan jihad bagi menentang musuh. 

Beliau turut terlibat dalam semua peperangan yang disertai Nabi. Ketika umat Islam tertindas di Mekah pada peringkat awal, Abdul Rahman bin Auf menuruti suruhan Nabi agar berhijrah ke Habsyah.

Katanya beliau mempunyai 100 ekor kuda yang digunakan dalam peperangan, 100 ekor unta dan 10,000 ekor kambing. Sehinggakan akhir hayat beliau, jumlah kekayaannya menjangkau 84 ribu dinar.

Di samping kekayaannya yang melimpah-limpah itu, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah dan merupakan seorang sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin.

Pengorbanan besar beliau amat dihargai oleh Rasulullah dan para sahabat, termasuklah khalifah Abu Bakar Assidiq, Umar Al-Khattab dan Usman bin Affan.

Beliau wafat pada tahun 31 Hijriyyah dalam usia 73 tahun dan dimaqamkan di al-Baqi’.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.