Shop Malaysia Online Di Shopee Kembali Setelah Menjana Aktiviti Ekonomi Bernilai RM540 Juta Pada Tahun Lepas

Kempen Shop Malaysia Online (SMO) di Shopee kembali untuk tahun kedua bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia melalui baucar diskaun, pulangan tunai dan subsidi penghantaran percuma yang akan membantu dalam pengurusan kos sara hidup. Pada tahun lepas, kempen Ringgit-ke-Ringgit di Shopee ini telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta pembeli, menjana jualan bernilai lebih daripada RM540 juta untuk 80,000 penjual Malaysia di platform e-dagang tersebut.

Mengulas tentang prestasi kempen tahun lepas, Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata, “Kempen ini telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta rakyat Malaysia yang menggunakan baucar untuk menambah baik kesihatan serta menaik taraf rumah mereka, dan juga membeli barangan keperluan harian untuk rumah tangga masing-masing. Sementara itu, kempen ini telah melahirkan pembeli atas talian baharu yang secara puratanya telah membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen ini, walaupun perintah kawalan pergerakan pada masa itu telah dilonggarkan. Data ini menunjukkan bahawa selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, inisiatif ini telah berjaya memacu digitalisasi.”

SMO adalah sebuah inisiatif e-dagang oleh Kementerian Kewangan (MOF), dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk memacu kempen ini dari sekarang hingga 31 Disember 2021.

Ho menambah bahawa Shopee berasa sukacita untuk bersama-sama membiayai kempen ini sekali lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. “Fokus utama kami dari segi perniagaan adalah untuk memperkasakan komuniti dan penjual tempatan melalui pendekatan penyetempatan hiper atau hyper localised dan membolehkan e-dagang untuk dinikmati oleh semua. Oleh itu, program seperti SMO adalah selaras dengan misi kami dan kami akan memberi komitmen dalam Ringgit dan Sen.”

Matlamat jangka pendek bagi SMO adalah untuk memacu penggunaan domestik. Objektif jangka panjang SMO pula adalah untuk membawa lebih ramai pengguna ke atas talian dan menggalakkan para pembeli agar membuat pilihan untuk menyokong penjual tempatan. Demi membantu pihak kerajaan mencapai objektif-objektif ini, Shopee akan mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi kempen SMO tahun ini.

Pertama, Shopee akan memberi ganjaran menarik dalam bentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syliling Shopee dan subsidi penghantaran percuma untuk pengguna Malaysia apabila mereka menyokong dan membeli daripada penjual tempatan yang memiliki label “ShopMalaysia”.


Kedua, Shopee akan berusaha untuk menarik pelanggan dan menjana aliran tunai kembali kepada peruncit luar talian seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka, farmasi dan banyak lagi melalui pulangan tunai dan diskaun sebanyak lebih daripada RM3. Ini boleh didapati di portal dalam aplikasi “Deals Near Me” apabila para pengguna membeli Baucar ShopeePay serendah 1 sen dan menebusnya dengan ShopeePay.

Ketiga, SMO bagi tahun ini juga melibatkan sokongan tambahan kepada penjual tempatan untuk mengeksport barangan mereka dan menembusi pasaran baharu. Shopee akan melaksanakan usaha ini menerusi Shopee International Platform (SIP), sebuah inisiatif rentas sempadan hujung ke hujung yang merangkumi logistik, pembayaran serta perkhidmatan pelanggan untuk penjual tempatan tanpa kos tambahan. Bagi jenama dan penjual Malaysia yang telah pun berjaya menembusi pasaran luar negara melalui SIP, platform e-dagang tersebut akan menawarkan manfaat istimewa seperti baucar diskaun, baucar pulangan tunai Syiling Shopee dan rebat penghantaran percuma untuk pelanggan mereka.

Mengenai program eksport Shopee, Ho berkongsi bahawa ramai peruncit dan peniaga kecil di Malaysia telah menerima manfaat daripada kempen-kempen bertema yang dijalankan oleh Shopee di luar negara. “Produk-produk Halal Malaysia, kopi dan juga alat ganti automotif amat popular di luar negara. Selain itu, jenama-jenama tempatan seperti Kluang Coffee, Elianware dan Fipper juga berjaya menarik minat warganegara Singapura melalui SIP. Oleh itu, kami berasa teruja bahawa MOF dan MDEC telah memuatkan elemen eksport dalam SMO tahun ini kerana kami percaya bahawa sokongan tambahan ini akan terus meningkatkan daya saing para penjual tempatan. Kami juga akan terus menyokong inisiatif ini dengan memberi penekanan khusus untuk mempromosikan produk yang dihasilkan secara tempatan demi menghasilkan impak yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia.”

Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC berkata, “MDEC berpegang teguh pada azam kami untuk membolehkan perniagaan-perniagaan Malaysia berkembang serta mengharungi tempoh yang mencabar ini. Dengan sokongan padu daripada pihak Kerajaan dan kolaborasi yang berkesan antara sektor awam dan swasta, kami berhasrat untuk terus menjadi pemangkin bagi pertumbuhan eDagang di Malaysia dan juga sama pentingnya, mengekalkan mata pencarian dan pekerjaan pada waktu yang sama. Bersama-sama, kita dapat mencapai matlamat MyDIGITAL dan menempatkan negara di landasan yang baik menuju ke arah Malaysia 5.0; sebuah negara digital yang berdaya saing di seluruh dunia, berteraskan inklusiviti, kemampanan dan kesejahteraan bersama, dengan ini menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.”

Memandangkan SMO berlangsung seiring dengan 7.7 Jualan Tengah Tahun Shopee, rakyat Malaysia akan mendapat ganjaran hebat. Selain daripada tawaran daripada SMO, rakyat Malaysia juga dapat menikmati penghantaran percuma tanpa pembelanjaan minimum, Pulangan Tunai Syiling Shopee 120%, 7.7 juta baucar serta penjimatan hingga 77%. Para pengguna turut berpeluang memenangi sebahagian daripada 27 juta Syiling Shopee dan sebuah PlayStation 5 dengan bermain permainan menarik semasa 7.7 Jualan Tengah Tahun yang sedang berlangsung hingga 7 Julai. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Shop Malaysia Online, layari https://shopee.com.my/m/smo2021.

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.