3 Tips Pengurusan Syarikat Sendirian Berhad

Berbekalkan modal berbayar RM1, sebuah syarikat sudah boleh beroperasi sebagai syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.). Namun, ramai yang tidak mengambil kira dan merancang bagaimana untuk menguruskan syarikat.

Pemilik bukan sahaja perlu fokus untuk meningkatkan keuntungan, malah urusan pentadbiran juga perlu diambil kira.

Syarikat milikan tunggal mungkin tidak menjadi isu besar kerana tidak perlu menyediakan laporan akaun beraudit. Namun, syarikat yang berdaftar sebagai syarikat Sdn. Bhd. perlu mengemukakan laporan kewangan beraudit bagi setiap tahun kewangan.

Jom kita tengok 3 tips pengurusan bagi syarikat Sdn. Bhd.

1. Pengurusan Dokumen

Skala perniagaan yang kecil bukanlah alasan untuk mengabaikan sistem simpanan dokumen yang sistematik. Sesetengah syarikat tidak ada peruntukan untuk pengambilan staf yang boleh menguruskan dokumen kerana ingin menjimatkan kos.

Akhirnya, berlaku banyak kehilangan dokumen lebih-lebih lagi jika semua aktiviti dilakukan secara manual.

Dokumen seperti invois jualan amat penting direkod bagi tujuan memantau penghutang yang masih berhutang dengan syarikat. Jika segala pembayaran di lakukan secara tunai sekalipun, invois jualan perlu juga disimpan dan disusun dengan baik.

  • Asingkan setiap dokumen dalam fail yang berbeza contohnya fail untuk jualan, fail untuk belian, fail untuk perbelanjaan tunai, fail untuk perbelanjaan melalui bank dan sebagainya yang bersesuaian dengan jenis perniagaan. Dokumen yang digunakan secara kerap perlu difailkan dengan baik.
  • Setiap fail perlu dilabel dengan baik dan diasingkan mengikut bulan dan disusun mengikut tarikh. Sistem pelabelan fail yang tersusun dan menarik akan memudahkan capaian terhadap maklumat dan juga boleh mengelakkan kehilangan dokumen-dokumen penting.
  • Fail ini perlu disusun di rak dengan kemas dan mengikut kategori yang bersesuaian. Perlu diingatkan bahawa maklumat sulit perlulah disimpan dalam kabinet yang berkunci yang hanya boleh diakses oleh individu tertentu yang dipercayai sahaja.
  • Setahun sekali selepas semua dokumen tidak lagi diperlukan secara aktif, dokumen tersebut boleh diasingkan dan diikat dengan tali bagi simpanan sebagai rujukan selama tujuh tahun sebelum ianya dilupuskan.

2. Pengurusan Sumber Manusia

Pada peringkat awal, walaupun bermula dengan skala yang kecil, carta organisasi syarikat dan pengurusan sumber manusia perlulah dibuat dengan baik contohnya penetapan gaji setiap peringkat pekerja dan juga kos-kos yang akan terlibat dalam pengurusan sumber manusia.

Skop kerja mengikut pengalaman pekerja mesti dibuat supaya kadar gaji setimpal dengan kerja yang diberikan.

Pemilik syarikat yang bijak akan menghargai pekerja kerana mereka adalah aset syarikat. Kadar keluar masuk pekerja yang tinggi menunjukkan syarikat tidak cekap mengurus sumber manusia.

Adakah ia berpunca daripada masalah gaji yang tidak setimpal, tekanan kerja berlebihan atau kurangnya faedah kepada pekerja?

Kesetiaan pekerja amat penting agar pihak syarikat tidak perlu menanggung kos perbelanjaan latihan pekerja setiap kali berlaku pekerja yang berhenti.

Jika kerja tersebut memerlukan pekerja yang mahir dan terlatih, maka calon yang benar-benar layak sahaja yang perlu diambil oleh syarikat.

3. Perbelanjaan Peribadi Pemilik

Seringkali pemilik mencampuradukkan perbelanjaan peribadi dengan perbelanjaan syarikat lebih-lebih lagi jika perniagaan tersebut hanya memiliki seorang pengarah.

Ia dianggap satu kesalahan besar kerana jika tabiat ini berterusan, maka akan berlaku penggunaan modal pusingan tanpa sedar sedangkan bukan semua hasil jualan adalah keuntungan.

Ia akan memberi kesan yang tidak baik dalam laporan kunci kira-kira syarikat jika terlalu banyak aliran tunai yang tidak sepatutnya berlaku. Pemilik perlu mengelak daripada melumpuhkan kewangan syarikat perniagaan sendiri supaya syarikat dapat berkembang dengan lebih jauh.

Kegagalan syarikat beroperasi disebabkan aliran tunai yang disalahgunakan boleh meningkatkan kos pinjaman daripada pihak bank.

Pemilik syarikat yang bijak perlu melantik seorang pekerja yang benar-benar berpengalaman sahaja untuk mengurus dan memberikan khidmat nasihat kewangan supaya dapat mengawal aliran tunai dengan baik.

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.