Jardin Pharma – Syarikat Eko Farmaseutikal Peroleh Dana RM3 Juta Dalam Sebulan

Syarikat eko farmaseutikal Halal pegangan bumiputera – Jardin Pharma baru sahaja mengumumkan kejayaan mengumpulkan dana RM3 juta dari 75 pelabur individu selepas sebulan pusingan Co-Founder (Series A) dibuka. Co-Founder (Series A) ini adalah pusingan dana kedua selepas Jardin Pharma menerima pelaburan dari ABA Healthcare Business & Consultancy dalam Seed Round.

Dana terkumpul tersebut bakal digunakan untuk mengeluarkan 3 suplemen kesihatan dengan teknologi farmaseutikal yang baharu di Malaysia. Produk keluaran Jardin Pharma dijadualkan memasuki pasaran Malaysia pada Januari 2022.

Jardin Pharma diasaskan oleh Dr. Maryam Aziz, yang juga merupakan pengasas Mary Jardin iaitu jenama kosmetik tempatan yang berasaskan sumber dari alam semulajadi. Bermula dari jenama Mary Jardin dan jenama produk penjagaan kulit bayi – Honey & Olive Baby, Dr. Maryam melebarkan potensi membina reputasi sebagai perintis produk kecantikan dengan kepakaran, inovasi dan semangat keusahawanan bersama pasukannya.

Jardin Pharma adalah hasil kerja keras berpasukan dari penyelidikan dan penemuan yang mengambil masa beberapa tahun untuk disempurnakan. Usaha ini amat membanggakan apabila mereka berjaya menggabungkan bahan dari khazanah sumber alam semulajadi dan sains, bagi menghasilkan produk farmaseutikal yang novel dan bermutu tinggi. Peluang ini bakal meletakkan Jardin Pharma sebagai peneraju ubat-ubatan ‘eco-farmaseutikal’ berstatus Halal di Malaysia.

Peneraju bersama Jardin Pharma adalah En. Rahman Baco dan Prof. Azizi Ayob yang berpengalaman luas dalam industri farmaseutikal di Malaysia & Asia Tenggara. En. Rahman Baco merupakan seorang ahli farmasi berdaftar dan penulis buku ‘Halalkah Ubat Anda’.

Beliau adalah seorang pakar dalam ubat-ubatan halal, serta berpengalaman luas sewaktu bekerja di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan Penguatkuasaan Farmasi. Manakala Prof. Azizi Ayob pula adalah seorang profesor farmakologi dan juga perunding perniagaan penjagaan kesihatan yang menawarkan kepakaran beliau melalui ABA Healthcare Business & Consultancy Sdn Bhd. Beliau berpengalaman luas dalam industri farmaseutikal, sebagai juruaudit dan juga perunding syarikat farmaseutikal di dalam dan luar negara.

Jardin Pharma kini dalam persiapan terakhir sebelum membuka pusingan Co-Founder Round (Series B) dengan sasaran dana RM 5 juta. Dana terkumpul dalam pusingan ke-3 tersebut akan digunakan untuk membangunkan aplikasi mobil Herbitus, iaitu satu platform farmasi dan klinik atas talian yang boleh disertai oleh semua klinik dan farmasi berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang menjadi rakan kongsi Jardin Pharma, mereka boleh dihubungi melalui Facebook Jardin Pharma Berhad.

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Lantik 3 ‘Otai’ Baharu Mantapkan Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 30 April 2026 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada 29 April 2026 telah mengumumkan pelantikan Datuk Shazril Imri bin Mokhtar dan Datuk Abdul Halim bin Hamzah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, serta Encik Mano A/L Verabathran sebagai Pengarah Ganti kepada Datuk Abdul Halim bin Hamzah, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk memperkukuh komposisi Lembaga Pengarah dengan kepimpinan berpengalaman dalam bidang telekomunikasi, perkhidmatan awam dan transformasi, selaras dengan aspirasi transformasi berterusan Kumpulan.

Datuk Shazril Imri bin Mokhtar membawa lebih 28 tahun pengalaman dalam telekomunikasi, strategi dan transformasi perniagaan, dengan rekod kukuh dalam menerajui perubahan organisasi berskala besar serta pengurusan perniagaan berorientasikan keuntungan. Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, di mana beliau memimpin agenda transformasi syarikat, memperkukuh prestasi kewangan, keanjalan organisasi serta inisiatif berfokuskan pelanggan. Sepanjang kerjayanya, beliau turut memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama termasuk Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif unifi, serta peranan strategik lain dalam pengurusan prestasi dan strategi.

Datuk Abdul Halim bin Hamzah pula membawa hampir tiga dekad pengalaman cemerlang dalam sektor awam, dengan kepakaran mendalam dalam tadbir urus, dasar serta pentadbiran di peringkat nasional. Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, jawatan yang disandang sejak 24 November 2025. Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri. Pengalaman luas beliau merentasi pelbagai agensi kerajaan akan memperkukuh perspektif Lembaga dalam aspek pematuhan regulatori, keutamaan nasional dan penglibatan pemegang taruh.

Encik Mano A/L Verabathran, yang kembali sebagai Pengarah Ganti, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, dengan kepakaran dalam infrastruktur telekomunikasi, penyelarasan antara agensi serta dasar strategik. Beliau kini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) di Kementerian Komunikasi. Antara jawatan terdahulu beliau termasuk Setiausaha Bahagian (Bahagian Antarabangsa), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri, serta Timbalan Setiausaha Bahagian di Kementerian Pengangkutan. Pelantikan beliau turut menyumbang kepada kesinambungan dan pemahaman institusi, memandangkan pengalaman beliau sebelum ini bersama Lembaga Pos Malaysia.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan Pos Malaysia dalam membina organisasi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan, sejajar dengan tujuan kami untuk membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.