Fundamental Analisis : Kenali Syarikat Innoprise Yang Memberikan Dividen Secara Konsisten

Kelebihan kita melabur dalam saham adalah mendapat dividen yang konsisten dari syarikat saham kita. Namun begitu, tidak ramai pelabur yang memilih untuk mencari syarikat yang memberikan dividen kerana lebih ramai yang mengejar capital gain dan keuntungan secara cepat. 

Selalunya pelaburan dalam syarikat yang memberikan dividen mengambil masa tidak kurang setahun untuk melihat hasil dalam pelaburan kita. Persoalannya bagaimana untuk mencari syarikat yang memberikan dividen yang konsisten. Oleh itu, kami bentangkan kepada anda syarikat yang baik dalam pemberian dividen.

Innoprise Plantations Berhad (INNO)

INNO merupakan syarikat dalam sektor perladangan yang membuat penanaman kelapa sawit dan memproses buah kelapa sawit (FFB) menjadi minyak kelapa sawit dan palm kernel (PK). Pada masa kini, syarikat INNO mempunyai tanah seluas 22,7633 hektar, 11,505 hektar mempunyai tanaman kelapa sawit matang dan 753 hektar tanaman sawit belum matang. 

Operasi tanaman kelapa sawit diusahakan dalam enam estate di Sabah iaitu Imbak, Gunung Rara, Labau, Maliau, Lokan dan Luasong.

Pendapatan Syarikat

Sumber : Malaysiastock.biz

Pendapatan syarikat INNO menunjukkan keuntungan bersih yang stabil sejak akhir tahun 2019. Jualan dan profit margin yang semakin baik menunjukkan pengurusan kewangan yang efisien. Sejak akhir tahun 2019, pendapatan bersih INNO telah meningkat dari RM4.7 juta (Q32019) kepada RM20.6 juta (Q22021).

Jualan minyak kelapa sawit yang semakin tinggi kerana permintaan kepada produk minyak kelapa sawit semakin banyak sejak pandemik pada tahun 2020. Banyak negara seperti India meningkatkan belian import minyak kelapa sawit mereka dari Malaysia.

Krisis harga minyak yang semakin meningkat adalah disebabkan low base effect sejak COVID-19 melanda. Banyak kilang sawit yang terpaksa mengurangkan pengeluaran dan banyak juga ladang yang tidak dapat mengeluarkan hasil kerana ketiadaan pekerja. Dengan pengurangan pengeluaran minyak dan permintaan yang tinggi telah menyebabkan harga melonjak tinggi.

Dividen Syarikat

Sumber: Malaysiastock.biz

Syarikat INNO merupakan syarikat yang sentiasa memberikan dividen kepada pelabur walaupun sedikit. Namun begitu, sejak tahun 2018, INNO dilihat lebih mesra dalam memberikan dividen kepada pelabur. Disebabkan keuntungan syarikat yang semakin baik, INNO lebih pemurah dalam membayar dividen kepada pelabur.

Syarikat INNO mempunyai potensi besar di masa hadapan kerana mereka mempunyai banyak tanah yang belum digunakan. Selain itu, kilang pemprosesan mereka menunjukkan peningkatan jumlah FFB yang boleh diproses.

Pada tahun 2017, kilang INNO hanya mampu untuk memproses 194,310 MT namun kini mereka boleh memproses 241,106 MT fresh fruit bunches (FFB). Ini menunjukkan peningkatan 24% pada kadar kapasiti pengeluaran.

Belum Terlambat, Masih Sempat Untuk Belajar

Ingat, pasaran saham tidak kalis rugi. Harga saham akan bergerak. Naik, turun atau duk situ saja. Namun begitu, pelaburan saham telah lama terbukti menjadi salah satu instrumen pelaburan yang paling menguntungkan. Paling penting, gunakan modal dari duit lebihan sahaja supaya tidak serabut dan kusut bila rugi.

Nak melabur saham tapi tak tahu caranya?

Dah mula melabur tapi asyik rugi?

Nak tahu cara cari saham yang boleh dibeli?

Nak tahu analisis teknikal untuk ‘entry’?

Banyak ilmu pelaburan saham turut dikongsikan secara percuma di TheKapital. Jika anda ingin mendapatkan ilmu-ilmu eksklusif berdasarkan kepada tajuk-tajuk yang lebih mendalam, dapatkan ilmu tersebut di sini >> Produk TheKapital

Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.