5 Perkara Orang Muda Harus Tahu Mengenai Pengurusan Kewangan Yang Bijak

Menginjak usia 20 tahun dan ke atas, anda harus tahu bagaimana menguruskan kewangan anda dengan bijak. Meskipun anda masih seorang pelajar sepenuh masa, anda harus tahu bagaimana menguruskan kewangan dengan baik untuk mengelakkan pembaziran.

Sekiranya duit biasiswa atau duit saraan dari ibu bapa diuruskan dengan elok, anda dapat menyimpan duit dengan berbelanja secara berhemah. Nah, inilah fakta dan ‘tunjuk ajar’ yang harus anda tahu mengenai pengurusan kewangan yang bijak.

1. Cara Betul Guna Kad Kredit

Kita sewajarnya mendengar petua dan tips dari orang yang lebih berpengalaman dari kita, malahan ini merupakan satu perkara yang baik untuk kita belajar sendiri.

Sebagai contoh, generasi muda lebih cenderung menggunakan kad kredit untuk membeli pakaian, hiburan dan bersosial tetapi generasi tua menggunakannya untuk kehidupan dan perbelanjaan yang lebih penting. Maklumlah, semua benda boleh dibeli melalui online shopping, klik-klik-klik je barang pun sampai.

2. Berjimat Ketika Susah

Menurut kajian oleh GoBankingRates, 72% orang awam pada hari ini mempunyai simpanan kurang daripada USD1,000. 75% rakyat Malaysia pula katanya tidak mempunyai simpanan walaupun sebanyak RM1,000.

Sama ada ketika susah atau senang, kita sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya simpanan kecemasan sebanyak 3-6 bulan gaji. Dengan adanya duit ini, ianya boleh digunakan ketika berada dalam kesusahan, terutamanya apabila apabila berlaku kemalangan atau musibah yang tidak dijangka.

Caranya mudah sahaja untuk melakukan simpanan iaitu cuba mengambil sedikit duit pendapatan anda sekurang-kurangnya RM100 sebulan. Apabila kedudukan kewangan dah semakin baik, maka naikkan jumlah simpanan anda sedikit demi sedikit. Cuba simpan RM200 pula sebulan.

Sebaiknya kita asingkan 10% daripada gaji untuk menyimpan.

3. Jangan Beli Kereta Walaupun Mampu

Ketahuilah bahawa pembelian kereta adalah lebih kepada kemahuan. Dan ramai yang terjebak dengan membeli kereta yang mereka tidak mampu sebenarnya.

Silakan baca Ketahui Kos Sebenar Pemilik Kereta Perlu Tanggung.

Beli kereta adalah satu liabiliti, kerana kereta adalah aset tidak tetap dan menyusut nilai saban tahun. Sebaik sahaja kereta tersebut keluar daripada showroom, harganya telah menyusut 10%. Dan akan terus menyusut 10% setiap tahun.

Selain daripada itu, anda tidak tahu apa yang akan berlaku dengan kereta tersebut (sama ada ianya baru atau lama), penyelenggaraan atau perbelanjaan yang tidak dijangka akan membebankan anda.

Malah sekarang dengan adanya perkhidmatan public transport yang semakin canggih, dan perkhidmatan e-hailing yang semakin meluas, anda tidak perlu guna kereta peribadi untuk ke mana-mana lagi.

4. Hentikan Perbelanjaan Untuk Bersosial

Seperti kebanyakan orang muda zaman sekarang, mereka lebih cenderung menghabiskan wang untuk perkara-perkara seperti makan di tempat hipster, sentiasa upgrade telefon pintar dan beli barangan berjenama.

Kalau sekadar untuk kelihatan bergaya, hentikanlah kerana ianya tidak berfaedah pun. Dahlah membazir duit, masa pun banyak terbuang begitu sahaja.

5. Berhati-hati Dengan Pinjaman

Meskipun anda kekurangan wang, jangan sesekali meminjam daripada agensi pinjaman kewangan lain selain dari bank. Ya memang betul agensi pinjaman tidak memerlukan prosedur yang rumit tetapi berhati-hati dengan mereka kerana mereka mampu mengenakan caj bulanan yang tinggi tanpa disedari.

Oleh itu, meskipun ini adalah jalan terpantas untuk mendapatkan wang, tetapi ia boleh menjadikan anda muflis tanpa anda sedari.

Jalan terakhir bagi anda, dapatkan khidmat nasihat daripada agensi seperti Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstruktur semula pembayaran hutang anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA