Ada Pengalaman Tunaikan Cek Tradisional?

Pada zaman pembayaran secara digital, sukar untuk membayangkan bahawa cek tradisional masih digunakan. Ini adalah konsep yang luar biasa memandangkan ramai pakar kewangan berpendapat bahawa hari-hari penggunaan tunai juga semakin hampir berakhir.

Menulis cek atau adalah sesuatu yang lebih mungkin anda tonton dalam filem awal tahun 90-an. Jadi adakah kaedah pembayaran menggunakan cek masih relevan pada 2022?

Mempunyai Rekod Fizikal Transaksi Adalah Meyakinkan

Bagi kebanyakan orang, terutamanya generasi yang lebih tua, cek ialah instrumen kewangan yang memberikan anda bukti nyata selepas menghantar atau menerima wang.

Ini mungkin tidak penting bagi kebanyakan orang yang terbiasa dengan akses internet dan perkhidmatan digital di hujung jari mereka, tetapi bagi mereka yang mencapai umur dewasa alam era analog, cek dipercayai mereka lebih daripada platform pembayaran dalam talian.

Cek sukar digunakan oleh pencuri

Cek juga kurang menarik kepada pencuri zaman sekarang berbanding wang tunai atau kad kredit. Cek tidak boleh ditunaikan oleh sesiapa sahaja, dan itu terlalu menyusahkan bagi seorang pencuri moden.

Cek boleh post-dated

Cek berfungsi seperti kontrak, menyatakan bahawa orang yang menerima wang itu akan dibayar jumlah yang ditentukan pada tarikh yang tercatat pada cek. Orang yang menulis cek itu tahu bahawa ia tidak boleh ditunaikan sebelum tarikh tertentu.

Ini mungkin berguna ketika membayar sewa. Anda juga mungkin memerlukan penangguhan sebelum membuat bayaran tunai kerana tidak mempunyai dana yang diperlukan dalam akaun.

Tahu Cara Nak Depositkan Cek?

Jadi, apabila anda menerima cek yang mungkin datangnya dari bos untuk gaji pertama anda, ataupun cek yang datangnya dari client perniagaan, ini adalah perkara-perkara yang perlu dibuat.

Cara tunaikan cek menggunakan Mesin Deposit Cek / Cheque Deposit Machine:

  • Perlu mempunyai akaun bank

Untuk tunaikan cek di Malaysia, anda perlu mempunyai akaun bank. Dalam hal ini, anda boleh tunaikan cek dari bank yang berbeza. Contohnya, sekiranya cek dari Maybank, anda masih boleh tunaikan ke CIMB (pastikan anda mempunyai akaun bank dengan CIMB).

  • Isikan maklumat di belakang cek

Biasanya anda perlu mengisi nama, nombor akaun bank dan nombor telefon.

  • Pergi ke Mesin Deposit Cek

Anda perlu ke mesin deposit cek dan ikuti arahan yang di tulis di skrin Mesin Deposit Cek. Nak guna mesin ini lebih kurang sama sahaja seperti nak guna Cash Deposit Machine. Antara maklumat yang perlu dimasukkan adalah seperti nombor akaun dan jumlah yang tertera atas cek. Gambar cek anda yang diimbas akan dicetak pada resit rujukan anda.

Bank akan mengambil masa beberapa hari untuk proses / clear. Pastikan depositkan cek itu sebelum jam 4 petang. Jika ia adalah cek tempatan, ia akan mengambil masa minima 1 hari bekerja. Manakala, jika ia merupakan cek luar negara anda masih perlu ke kaunter bank untuk tunaikan.

Deposit Cek Mudah Alih

Pernah terbayang suatu hari nanti kita boleh menggunakan kamera dalam telefon untuk tunaikan cek di bank?

Akan sampai suatu masa nanti wujudnya aplikasi dalam telefon untuk mengambil gambar bahagian depan dan belakang cek, dan kedua-dua imej tadi dihantar ke bank secara online tanpa perlu bersusah-susah ke cawangan atau beratur panjang di Mesin Deposit Cek.

Apakah Deposit Cek Mudah Alih?

Deposit cek mudah alih ialah perbankan mudah alih yang membolehkan anda mendepositkan cek ke akaun bank anda menggunakan peranti mudah alih anda. Daripada kaedah mendepositkan cek di Mesin Deposit Cek, di dalam kaunter, anda hanya boleh mendepositkannya ke akaun bank dari mana-mana sahaja anda berada, sama ada di rumah atau ketika bercuti di Desaru.

Sebaik sahaja anda mengimbas dan memuat naik gambar cek tadi, maklumat itu akan melalui proses encryption (penyulitan) dan dihantar ke bank.

Kelebihan Deposit Cek Mudah Alih

Mendepositkan cek menggunakan peranti mudah alih mungkin lebih mudah diakses dan kurang memakan masa berbanding masa yang diambil untuk ke bank atau mesin ATM.

Jika anda boleh menggunakan kamera pada telefon atau tablet dan tahu cara memuat turun aplikasi, maka sudah tentu tiada masalah untuk menggunakan deposit cek mudah alih ini.

Secara ringkasnya, ia:

  • Selesa.
  • Mudah digunakan.
  • Selamat.

Keburukan Deposit Cek Mudah Alih

Nampak seperti canggih, tetapi pasti terdapat beberapa potensi kelemahan. Antaranya Isu-isu teknikal, sebagai contoh, boleh menjadikannya mustahil untuk digunakan. Dan anda mungkin tidak boleh menggunakan kaedah ini jika cek yang anda perlu depositkan melebihi had yang dibenarkan oleh bank.

Teknologi ini bukan datang tanpa risiko. Si penipu atau scammer pasti akan mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi teknologi ini.

Bank Dengan Deposit Cek Mudah Alih

Di Malaysia, kita masih belum ada kaedah atau teknologi ini. Tetapi di luar Negara banyak bank telah lama menawarkan kaedah deposit cek mudah alih. Berikut ialah beberapa bank yang menawarkannya:

  • Chase Bank
  • Ally Bank
  • Bank of America
  • Capital One
  • Citibank
  • U.S. Bank
  • Wells Fargo

Mungkin dengan kewujudan bank digital nanti, kaedah terbaharu ini akan menjadi kenyataan. Baca juga 5 Permohonan Lesen Bank Digital Diluluskan

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.