5 Permohonan Lesen Bank Digital Diluluskan

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan lima pemohon yang telah berjaya mendapatkan lesen bank digital yang diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

A. Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK):

  • Konsortium Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB Bank Berhad;
  • Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd; dan
  • Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd;

B. Pemohon-pemohon yang berikut akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI):

  • Konsortium AEON Financial Service Co., Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc,; dan
  • Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn. Bhd.

Tiga daripada lima konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad, Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd. dan KAF Investment Sdn. Bhd.

Kesemua 29 pemohonan yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut seksyen 10 (1) APK dan APKI[1] yang menghendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 Akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan. Kriteria penilaian merangkumi kewibawaan dan integriti pemohon, bentuk dan kecukupan sumber kewangan, kekukuhan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan.

Permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan lain berdasarkan penilaian yang konsisten bagi setiap kriteria penilaian. Semakan mendatar (horizontal review) dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang digunakan terhadap semua pemohon bagi menentukan kekukuhan relatif setiap permohonan dan mengenal pasti pemohon yang berjaya.

Sepanjang proses penilaian, BNM melaksanakan prosedur tadbir urus dan pertimbangan yang rapi bagi memastikan penilaian yang mantap, objektif dan konsisten bagi semua 29 permohonan yang diterima. Penilaian yang dilaksanakan melalui empat tahap yang disokong oleh satu pasukan teknikal bersilang fungsi, satu pasukan yang menyemak permohonan dan pemerhati bebas dalaman daripada jabatan risiko dan jabatan undang-undang BNM.

Syor muktamad kepada Menteri Kewangan telah dibincangkan dan disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pengurusan BNM.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, “Bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan. Melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, kami dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data. Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah,” tambah beliau.

Berikutan pengumuman ini, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi. Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

Sejajar dengan lima teras strategik yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, BNM akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan fintech serta pihak berkepentingan yang berkaitan untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dan merentas semua segmen masyarakat.

[1] APK dan APKI: Seksyen 10. (1) Dalam menilai permohonan yang dibuat dengan sempurnanya di bawah seksyen 9 untuk menjalankan apa-apa perniagaan berlesen, BNM hendaklah mengambil kira semua faktor yang dinyatakan dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2 Jadual 5 dan apa-apa perkara lain yang BNM berpendapat adalah berkaitan.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI