Bagaimana Bebas Kewangan Jika Gaji Rendah?

Bebas kewangan, tiada hutang, tidak perlu pening kepala tentang duit.  Ia adalah sebuah situasi yang diinginkan oleh semua orang namun tak ramai mampu menikmatinya.

Walaupun bunyinya seperti agak sukar, hakikatnya, sesiapa sahaja boleh mencapainya jika berusaha dengan cara yang betul dan semua atas izin Allah SWT.

Bebas kewangan membolehkan anda menjalani kehidupan yang diinginkan dengan bahagia tanpa mengalami masalah kewangan. Anda juga tidak dibebani dengan hutang yang bertimbun-timbun sekiranya sudah berada dalam zon bebas kewangan.

Bebas kewangan juga bermakna anda tidak diselubungi hutang dan bebas untuk gunakan wang sesuka hati tanpa berkira-kira lagi.  Mari kami kongsikan bagaimana nak bebas kewangan jika gaji rendah. 

1. Buat Bajet Bulanan

Membuat bajet bulanan dan mematuhinya adalah cara yang paling terbaik untuk menjamin kebebasan kewangan yang betul. Ia juga merupakan rutin yang dapat mengukuhkan matlamat kewangan anda dan menyokong tekad menentang godaan daripada berbelanja secara boros.

2. Sentiasa Membuat Simpanan Kewangan

Tips bebas kewangan jika gaji rendah juga memerlukan anda untuk sentiasa membuat simpanan kewangan. Perlu diingatkan bahawa jumlah yang disyorkan untuk disimpan adalah bergantung kepada kemampuan anda. Selain itu, simpanan yang disediakan juga boleh digunakan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

3. Sentiasa Membuat Tawaran Harga Ketika Membeli-Belah

Ramai masyarakat kita teragak-agak untuk membuat tawaran harga ketika membeli-belah kerana takut membuatkan mereka kelihatan tidak berduit. Untuk mencapai matlamat bebas kewangan, anda perlu menakluki ketakutan ini dan boleh menyelamatkan beribu-ribu wang ringgit setiap tahun. 

Perniagaan kecil, khususnya, cenderung terbuka kepada rundingan. Jadi membeli secara pukal atau meletakkan diri sebagai pelanggan tetap boleh mendapat harga rundingan yang lebih murah. Tetapi jika anda ingin bersedekah, tak salah untuk beri lebih selain dari meminta tawaran harga lebih rendah.

4. Hidup Di Bawah Kemampuan Anda

Menguasai gaya hidup berjimat cermat dapat membangunkan kehidupan yang baik dan bebas kewangan. Malah, sebelum menjadi kaya, ramai individu yang kaya mempunyai tabiat hidup di bawah kemampuan mereka. Ini bukanlah satu cabaran untuk mengamalkan gaya hidup minimalis tetapi salah satu cara untuk memacu kebebasan kewangan yang pasti memberikan kebahagiaan kepada anda kelak.

5. Cakna Mengenai Isu Ekonomi Semasa

Pastikan anda sentiasa cakna mengenai isu ekonomi semasa untuk mencapai kebebasan kewangan walaupun bergaji rendah. Jadi, anda harus mengikuti  kesemua perkembangan dan berita kewangan yang berkaitan dengan cukai, harga makanan dan sebagainya bagi mengemaskini bajet kewangan anda.

6. Tetapkan Matlamat Hidup

Setiap orang mempunyai keinginan umum untuk mencapai matlamat bebas kewangan dan anda perlu tahu cara yang lebih mendalam untuk mencapainya. Antara objektif yang boleh dipersoalkan dalam mencapai matlamat anda adalah:

  • Apa yang diperlukan untuk gaya hidup anda.
  • Berapa jumlah wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.
  • Bilakah masa atau tempoh untuk mencapai matlamat tersebut.

Selepas semuanya terjawab, maka laksanakan objektif tersebut untuk mencapai matlamat yang diinginkan supaya mudah bebas kewangan.

7. Jana Pendapatan Sampingan

Kini, melakukan pelbagai jenis pekerjaan bukanlah perkara yang asing lagi. Ramai yang melakukannya untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Bagi melepaskan diri daripada belenggu masalah kewangan, mencari duit sampingan itu merupakan sesuatu yang sangat penting. Ada yang menjadi pemandu, penulis sambilan dan sebagainya untuk bebas kewangan.

8. Menyelesaikan Hutang Piutang Yang Ada

Untuk mencapai tahap bebak kewangan, anda harus menyelesaikan segala hutang piutang yang ada. Sekiranya sudah mendapat gaji, anda harus menyelesaikan dahulu perkara-perkara yang penting seperti membayar bil, sewa rumah, kereta dan sebagainya. Kemudian, simpan atau laburkan sebahagian daripada baki gaji tersebut untuk mengukuhkan kewangan anda.

Akhir kata, mencapai kebebasan kewangan tidak terlalu susah sebenarnya. Ia menjadi susah disebabkan sikap kita sendiri yang rasa payah untuk merealisasikannya. Oleh itu, tidak mengapa sekiranya susah pada masa kini, tetapi bersenang-lenang pada masa hadapan kelak.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.