Elak Pokai, Amalkan Panduan Pengurusan Kewangan Mengikut Fasa

Bahaya, ramai gagal urus wang jika tiada asas pengurusan kewangan. Biarlah wang sebanyak mana pun, pasti akan habis jika tidak diuruskan dengan betul.

Tak ada kebocoran wang lagi jika anda mula ikuti panduan asas pengurusan kewangan ini.

Segala usaha kita yang mendatangkan wang, tanpa pengurusan kewangan yang betul pastinya akan gagal.  Pengurusan kewangan ialah proses merancang dan mengurus aktiviti kewangan seperti penjanaan pendapatan, perbelanjaan, simpanan, pelaburan dan perlindungan. 

Proses dan strategi buat duit boleh diringkaskan dalam bajet atau perancangan kewangan. Pengurusan kewangan penting untuk memastikan bajet kewangan tidak lari, wang tidak bocor dan urusan kewangan yang melibatkan duit keluar masuk berjalan lancar.

Jenis Asas Pengurusan Kewangan

Perlu diketahui bahawa asas pengurusan kewangan mempunyai fasa-fasa yang dikumpulkan dalam 7 fasa. Tanpa salah satu asas pengurusan kewangan ini, maka pengurusan kewangan anda tidak akan lengkap. 

Berikut adalah fasa asas pengurusan kewangan yang bakal membantu kita dalam memperbaiki dan mencantikkan kewangan syarikat, organisasi atau individu.

Fasa 1:  Jana Pendapatan

Pengurusan kewangan mesti bermula dengan duit, tanpa duit maka pengurusan kewangan tidak akan berlaku. Jadi, dalam fasa pertama ini, kita perlu menjana pendapatan. Pendapatan yang dijana haruslah diperoleh melalui saluran yang betul mengikut undang-undang semasa dan tidak melalui sumber yang haram. 

Dalam penjanaan pendapatan, jumlah yang diperolehi tidaklah penting dan apa yang paling penting adalah cara untuk menguruskannya.

Fasa 2:  Proses Menyimpan Wang

Dalam fasa kedua ini, objektif utama adalah untuk menyimpan wang yang diperoleh daripada hasil penjanaan wang yang dilakukan. Proses simpan wang ini adalah antara aspek terpenting dalam panduan asas pengurusan kewangan yang dilakukan. Tambahan pula, ia bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersikap berjimat cermat dengan wang yang ada.

Fasa 3:  Perbelanjaan

Selepas anda berjaya melakukan fasa 1 dan fasa 2 dalam mengurus kewangan, maka barulah anda boleh ke fasa 3 pengurusan kewangan iaitu perbelanjaan. Dalam fasa ketiga ini, anda perlu tahu ke mana perginya wang yang dibelanjakan setiap hari, minggu dan bulan. 

Kunci utama fasa 3 panduan asas pengurusan kewangan ini adalah perlu kenalpasti sama ada perbelanjaan yang dilakukan itu keperluan ataupun kehendak. Selain itu, kenal pasti juga sama ada perbelanjaan yang dilakukan adalah perbelanjaan tetap ataupun perbelanjaan berubah. 

Dari situ, anda boleh merangka bajet kewangan sendiri supaya perbelanjaan yang dilakukan lebih terkawal.

Fasa 4:  Perlindungan Hayat

Dalam menguruskan kewangan, kita sememangnya memerlukan perlindungan hayat untuk melindungi pendapatan dan simpanan yang dilakukan daripada hilang akibat terpaksa biayai kos-kos yang kemalangan yang tidak diingini. Malang tidak berbau, kita juga tidak tahu berapa kos pembiayaan yang diperlukan kelak.

Selain itu, anda dan waris juga tidak akan terbeban dengan adanya perlindungan hayat ini. Namun apa yang mengecewakan dalam masyarakat kita, ramai yang telah mengabaikan fasa keempat ini di dalam pengurusan kewangan mereka. Akhirnya kewangan menjadi tidak stabil.

Fasa 5:  Membuat Pelaburan

Selepas 4 fasa telah berjaya dibuat oleh anda, maka anda sudah boleh memasuki fasa kelima iaitu membuat pelaburan. Objektif fasa ini untuk melaburkan separuh daripada pendapatan dan simpanan yang dimiliki kepada aset yang tetap. 

Sekiranya anda hanya bergantung kepada simpanan semata-mata, nilai matawang tersebut akan berubah akibat inflasi dan sebab itulah pentingnya pelaburan. Antara pelaburan yang mempunyai aset tetap adalah pelaburan emas fizikal. Tiada masalah juga jika anda ingin melabur ke Bursa Saham Malaysia.

Fasa 6:  Penyucian Aset Yang Dimiliki

Fasa keenam dalam panduan asas pengurusan kewangan adalah melakukan penyucian aset yang dimiliki. Cara untuk menyucikan aset kita adalah melalui pembayaran cukai, zakat dan juga menderma atau menyumbang kepada badan-badan yang memerlukan. Jadi, dengan sucinya aset anda, maka hidup anda akan lebih bahagia dan damai. Ini juga merupakan kunci keberkatan rezeki.

Fasa 7:  Pewarisan Harta

Akhir sekali dalam fasa pengurusan kewangan adalah pewarisan harta. Tanpa pewarisan harta, maka aset yang ditinggalkan akan rugi begitu sahaja dan akan menyusahkan kehidupan pewaris dalam mendapatkan harta yang ditinggalkan itu. Oleh itu, fasa ini juga amat penting dalam pengurusan kewangan.

Kesimpulannya, pengurusan kewangan perlu dilakukan secara berkala dari fasa ke fasa seperti yang telah dinyatakan di atas. Jadi, uruslah kewangan dengan lebih teratur dan tersusun supaya tidak mendatangkan masalah kelak. 

Semoga info ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dalam mengenali panduan asas pengurusan kewangan.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.