E-Pembayaran: Strategi Perniagaan Berkesan

“Kak! Boleh bayar guna kad atau online, tak?”
“Alamak kak, saya kurang cash. Boleh bayar online ke?”

“Kalau tak boleh bayar online, saya cancel ya kak, sebab saya tak ada cash”

Pernahkah anda mendengar luahan pelanggan seperti di atas? Pembayaran dalam talian merupakan kaedah pembayaran yang semakin diterima pakai oleh setiap pengguna pada masa kini.

Sistem e-pembayaran merupakan kaedah melakukan bayaran transaksi barangan dan perkhidmatan melalui sistem pembayaran elektronik atau sistem pembayaran dalam talian (Jurnal Ringgit, 2019). Kaedah ini bukan sahaja memudahkan pengguna, malah ia lebih selamat untuk digunakan dalam urusan jual beli.

Kini, perniagaan yang tidak menggunakan saluran elektronik sebagai salah satu kaedah pembayaran dalam urusan jual beli akan dianggap ketinggalan dan berpotensi untuk kehilangan pelanggan. Oleh itu, peniaga perlu ambil tahu, ambil peduli dan faham mengenai keperluan dan faedah penggunaan saluran elektronik ini kerana ia amat penting demi kelestarian perniagaan mereka.

5 Faedah E-Pembayaran dalam Perniagaan:

1. Transaksi Pembayaran Segera

Semua urusan jual beli dapat dilaksanakan dengan lebih pantas berbanding dengan kaedah pembayaran konvensional.

Transaksi pembayaran boleh dilakukan di setiap kawasan/tempat bersama peranti yang mempunyai akses internet untuk menghubungkan anda dengan setiap platform e-pembayaran.

2. Tidak Perlu Beratur Panjang

Salah satu sebab utama pelanggan membatalkan niat mereka untuk membeli produk anda adalah apabila mereka perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran. Maka, transaksi pembayaran dalam talian akan memudahkan pelanggan untuk membuat pembelian yang mudah, cepat, dan selesa tanpa perlu berebut-rebut.

3. Proses Pembayaran yang Lebih Selamat

Membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak akan mendedahkan pelanggan kepada risiko kecurian atau kehilangan. Pembayaran dengan menggunakan wang digital adalah lebih

selamat berbanding dengan wang tunai kerana setiap transaksi e-pembayaran yang dilakukan memerlukan kata laluan keselamatan untuk melengkapkan proses pembelian.

Anda tidak perlu mendedahkan data peribadi anda kepada pihak ketiga. Transaksi e- pembayaran dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Kod Pengaktifan Transaksi (TAC), Kata Laluan, dan sebagainya.

4. Menggunakan Teknologi Terkini

Sebagai seorang peniaga, mengikuti peralihan teknologi menjadi keutamaan dalam mengembangkan perniagaan. Secara purata, setiap individu di Malaysia membuat sebanyak 170 transaksi e-pembayaran dalam setahun pada tahun 2020 berbanding dengan 50 transaksi pada tahun 2019 (Jurnal Ringgit, 2019). Peningkatan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih suka menggunakan pembayaran dalam talian untuk membuat transaksi jual beli.

5. Memudahkan Peniaga Menjejaki Rekod Transaksi

Transaksi pembayaran dalam talian membolehkan maklumat pembelian dan harga jualan direkod secara automatik ke dalam sistem. Ini akan memudahkan peniaga untuk membuat kira-kira hasil jualan, untung rugi, dan juga menjejak aliran tunai perniagaan pada satu-satu masa.

Komen daripada PENIAGA yang telah menggunakan e-pembayaran dalam perniagaan:

“Transaksi juga sangat efektif sebab bayaran memang boleh masuk terus ke dalam akaun saya apabila pengguna hanya mengimbas kod bar gerai saya,”


(Sinar Harian, 2020)

“Ramai yang sudah jadikan kaedah ini sebagai cara untuk membuat bayaran,”


(Sinar Harian, 2020)

“Mereka hanya perlu semak dan imbas kod produk menggunakan telefon masing- masing dan tidak perlu bawa wang tunai terlalu banyak,”


(Sinar Harian, 2020)

“Rasa selamat sikit kalau duit tidak banyak di kaunter kerana kita tidak tahu apa akan jadi, kawasan ini jika jam 9 malam ke atas sedikit sunyi, boleh jadi sasaran penjenayah,”


(Berita Harian, 2020)

Komen daripada PELANGGAN yang telah menggunakan e-pembayaran:

“Saya suka kaedah ini sebab selalunya kalau nak guna kad kredit atau kad debit kita kena pergi pasar raya atau kedai makan yang besar-besar tetapi sekarang di gerai pun kita boleh gunakan kaedah pembayaran tanpa wang tunai,”


(Sinar Harian, 2020)

“Bagi urusan beli barang atau makan, jika kedai itu terima kad debit atau e-wallet saya akan gunakan,”


(Berita Harian, 2020)

“Sejak mula guna kad debit empat atau lima tahun lalu dan e-wallet kira-kira setahun lalu, dalam poket saya paling banyak ada antara RM50 hingga RM100 sahaja, itu pun untuk kecemasan.”


(Berita Harian, 2020)

Maka, penggunaan kaedah e-pembayaran sudah menjadi keutamaan bagi setiap perniagaan masa kini. Ia bukan hanya memudahkan pengguna, malah lebih selamat serta membantu mengembangkan perniagaan yang dimiliki. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda perlu berani membuat perubahan, bersifat dinamik dan sentiasa mencari peluang serta ruang untuk meningkatkan prestasi perniagaan anda.

Bertindaklah sekarang agar perniagaan anda terus berdiri teguh dan berkembang maju. Usahawan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang e-pembayaran, contoh aplikasi atau platform, kelebihan serta manfaat menggunakannya dalam perniagaan, boleh mengikuti modul ‘Digitalisasi Perniagaan Melalui E-Pembayaran’ di AKPK. Untuk membuat tempahan bagi mengikuti webinar ini, sila layari https://obs.akpk.org.my/

AKPK menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.

Selain itu, AKPK juga memberikan khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah dalam bayaran balik pinjaman serta menawarkan bantuan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS dan perusahaan mikro. Melalui program dan skim ini, AKPK membantu untuk membuat rundingan dengan pihak bank atau pemberi kredit untuk menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman dan merumuskan satu pelan bayaran balik pinjaman/pembiayaan baharu mengikut kemampuan semasa peminjam/pelanggan.

Jika anda memerlukan pelan penyelesaian pengurusan kewangan yang holistik, dapatkan terus daripada AKPK SECARA PERCUMA—TANPA EJEN. Layari services.akpk.org.my untuk mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kami adalah percuma dan kami tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Berhubunglah terus dengan AKPK dan jangan terpedaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran/caj tambahan.

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnda

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.