AOB Larang Rakan Kongsi Kreston John & Gan Laksana Audit Selama Setahun

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan bahawa Charles Lee King Long (Lee) dan Gan Kim Guan (Gan), yang merupakan rakan kongsi Kreston John & Gan adalah dilarang daripada menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuat kuasa 3 Ogos, 2022.

Dalam kenyataan pada Rabu, SC menjelaskan selain larangan itu, AOB juga mengenakan denda sebanyak RM35,000 ke atas Lee dan RM17,500 kepada Gan.

“Penemuan pelanggaran dan sekatan AOB ke atas Lee dan Gan akibat kegagalan mereka mematuhi Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan semasa mengaudit PIE, dibuat selepas proses sewajarnya diberikan kepada mereka termasuk peluang untuk mereka merayu terhadap keputusan SC.

“Sebagai rakan kongsi tugasan untuk pelanggan PIE, Lee telah salah menilai pertukaran PIE daripada rangka kerja perakaunan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) kepada Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016,” jelas SC.

Menurut SC, pertukaran itu didapati tidak sesuai dan tidak konsisten dengan pelaksanaan MFRS oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Lee juga gagal melaksanakan prosedur audit ke atas pelbagai elemen anggaran perakaunan yang berkaitan dengan kos pembangunan hartanah, serta gagal mendapatkan bukti audit yang sesuai untuk menyokong kesimpulan yang dicapai, tambahnya.

SC juga menjelaskan, dalam pelbagai keadaan, dokumentasi bagi menyokong kesimpulan yang dicapai oleh Lee didapati sama ada tidak lengkap atau tidak mencukupi.

Gan, Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR), pula gagal untuk menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam penglibatan dan asas kesimpulan yang dicapai, menurut SC.

SC menambah, ini dapat dilihat dalam penggunaan rangka kerja perakaunan, kos pembangunan hartanah, perdagangan belum terima, hasil dan usaha berterusan.

“AOB memandang serius perkara ini dan menekankan peranan penting EQCR dalam memastikan integriti kualiti audit dan proses kawalan,” jelasnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/aob-larang-rakan-kongsi-kreston-john-gan-laksana-audit-selama-setahun/

Previous ArticleNext Article

Timur Tengah Dilanda Konflik: Krisis Menjadi Peluang?

Risiko geopolitik jadi tumpuan utama

Peperangan Iran yang sedang berlaku sekarang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, memandangkan ia memberikan kesan ekonomi yang runcing berkaitan kekurangan tenaga yang berlarutan. Harga minyak yang lebih tinggi untuk tempoh lebih lama menimbulkan risiko untuk Rizab Persekutuan AS (US Fed) menjadi lebih agresif. Para pelabur ekuiti rata-ratanya dilihat lebih munasabah, dengan mengambil kira jangkaan kes asas untuk konflik yang terkawal, yang bermakna strategi pembelian semasa harga lemah. Perjanjian gencatan senjata masih rapuh.

Semakin lama masa diambil untuk mencapai jalan penyelesaian atau jika terjerumus semula dalam pertelingkahan, semakin tinggi risiko pelabur hilang keyakinan dan menjual pegangan. Sekiranya kes asas gagal dicapai, pelabur akan menjadi lebih berhati-hati dan lebih menjaga simpanan tunai mereka. Kami anggarkan penilaian terendah buat FBM KLCI pada – 2SD (1,433 mata). Sebaliknya, pengakhiran yang berkekalan kepada konflik ini akan menyaksikan kenaikan harga susulan kelegaan, dengan tumpuan pada saham-saham pertumbuhan dan saham ketinggalan nilai yang terjejas oleh peperangan.

Keadaan makroekonomi dan jangkaan pelabur yang berubah-ubah

Andaian kes asas oleh Jabatan Ekonomi RHB, dengan kebarangkalian 60%, ialah situasi gencatan senjata yang berkekalan, dan premium risiko harga minyak mereda. Kes asas untuk ramalan makroekonomi rasmi oleh RHB tidak banyak dipinda, tetapi ia sekarang mengambil kira hanya satu potongan kadar US Fed untuk 2026 (daripada dua). Selagi saluran komunikasi antara watak-watak utama ini kekal terbuka apabila kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian tanpa mencalarkan reputasi, pasaran-pasaran mungkin boleh terus berharap penyelesaian akan muncul. Senario kes “lebih buruk” (kebarangkalian 30%) pula mengandaikan konflik yang berlarutan dan harga minyak meninggi.

Tempoh hari tambahan bagi harga minyak yang tinggi dan bekalan tenaga yang terhad kepada pasaran menimbulkan risiko inflasi berterusan, merendahkan pendapatan boleh belanja, menekan permintaan, menjejaskan keberuntungan syarikat, dan mendesak US Fed. Perjanjian keamanan yang berkekalan dapat mengurangkan kerosakan pada asas-asas makroekonomi dunia dan mengurangkan premium risiko dalam harga minyak mentah dengan ketara. Cabarannya dilihat pada butiran pelaksanaan – khususnya berhubung kebebasan untuk menelusuri Selat Hormuz dan pengesahan jumlah kerosakan secara beransur-ansur pada prasarana pengeluaran dan penapisan minyak di Negara-Negara Teluk.

Strategi

Berdasarkan andaian kes asas RHB, pada asasnya kami dapat kekal positif akan prospek untuk ekuiti dan membiarkan sasaran FBM KLCI kami untuk akhir tahun 2026 sama pada 1,780 mata buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, peperangan Iran ini mencerminkan tahap risiko geopolitik yang runcing yang berpunca daripada Pentadbiran Trump. Pendirian pelaburan berjaga-jaga yang disarankan dalam laporan prospek ekuiti 2026 kami berkisar tentang pendirian berwaspada pelabur, mentaliti dagangan, dan strategi pembelian semasa harga lemah, masih terpakai.

Landskap geopolitik yang semakin meruncing memerlukan pendirian yang lebih mengelakkan risiko, dengan tumpuan pada sektor-sektor yang lebih selamat (seperti tenaga, perladangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, pengguna, dan REIT) dan pegangan tunai lebih tinggi. Berdasarkan kejadian dahulu, kami anggarkan tahap penilaian terendah bagi FBM KLCI pada -2SDatau 1,433 mata. Sentimen pasaran yang kembali positif terhadap risiko bermakna strategi pelaburan menumpu pada pertumbuhan dan saham-saham ketinggalan nilai dalam pasaran

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.