Kelewatan Pekerja Asing Masuk Ke Malaysia Berpunca Dari Negara Sumber – Zuraida

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Masalah kelewatan pekerja asing untuk masuk ke Malaysia adalah berpunca dari negara sumber berikutan mereka perlu menjalani beberapa saringan termasuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Pada mulanya terdapat banyak kesulitan. Jadi, lambat sikit pada ketika itu dan jumlah (pekerja asing) yang sedikit. Sekarang telah berjalan lancar dan lebih ramai yang telah masuk ke negara ini.

“Masalahnya sekarang ini bukan di Malaysia, tetapi di negara sumber kerana mereka harus menjalani saringan, perubatan dan sebagainya. Itu yang membuatkan kita lambat sedikit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jom Kenali Agrikomoditi di sini hari ini. 

Sementara itu, Zuraida berkata nilai eksport agrikomoditi bulan ke bulan mencatatkan pencapaian yang baik dengan memperoleh lebih RM100 bilion sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran RM300 bilion tidak mampu dicapai pada tahun ini disebabkan COVID-19 dan masalah pekerja asing. 

“Pada mulanya saya jangkakan selepas 2022, pekerja asing dapat masuk semudahnya. Tetapi tidak sangka banyak masalah. Jadi, Ogos baru pekerja asing masuk dan disebabkan kelewatan itu, sasaran pengeluaran itu tidak dapat dicapai,” katanya. 

Zuraida berkata, meskipun nilai eksport agrikomoditi masih belum mencapai sasaran untuk tahun ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya nilai eksport tersebut akan meningkat susulan ekonomi yang semakin pulih dan hampir kepada normal.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai bidang berada di Malaysia setakat Jun tahun ini.

Mengulas mengenai program Jom Kenali Agrikomoditi yang diadakan di Ampang hari ini, Zuraida berkata ia siri pertama bagi Jelajah Agrikomoditi di peringkat komuniti untuk memberi pendedahan terhadap kepentingan sektor agrikomoditi kepada negara. 

“Warga Ampang banyak merantau di serata Malaysia dan luar negara. Meskipun warga Ampang tidak terlibat secara langsung dalam industri agrikomoditi sebagai golongan pekebun kecil, menjadi tanggungjawab warga bandar untuk turut mempromosikan kelebihan agrikomoditi,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu optimis bahawa sektor agrikomoditi negara akan terus mencatatkan prestasi cemerlang meskipun berdepan cabaran inflasi yang dijangka berlaku tahun depan.

Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 yang dijadikan garis panduan, diyakini berupaya memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi negara, katanya.

Ia terdiri daripada lima teras iaitu kemampanan, teknologi, nilai tambah, keterangkuman serta perkongsian sumber dan kekayaan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kelewatan-pekerja-asing-masuk-ke-malaysia-berpunca-dari-negara-sumber-zuraida/

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA