Malaysia Bakal Jadi Pangkalan Pembuatan Thamlev USA Bagi Kenderaan Elektrik Ringan

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Malaysia bakal menjadi pangkalan pembuatan Thamlev USA Ltd di Asia Tenggara bagi pengeluaran basikal elektrik syarikat tersebut di luar dari Amerika Syarikat (AS). 

Tapak baharu itu akan mengembangkan kapasiti pembuatan sedia ada Thamlev dan membantu meningkatkan profil dan pembangunan sektor kenderaan elektrik di Malaysia. 

Jumlah pelaburan bagi projek kenderaan elektrik ringan itu bernilai RM100 juta dan pelaburan modal syarikat tersebut bakal mentransformasikan Malaysia menjadi hab kenderaan elektrik ringan seperti eMoped, eMotorcycle dan eMicrocar serta mewujudkan kira-kira 750 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata pengembangan Thamlev ke Malaysia itu adalah sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) negara yang disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan kenderaan elektrik, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan. 

Dikenal pasti sebagai sektor utama di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional, Malaysia komited memacu pertumbuhan kenderaan elektrik dan keseluruhan ekosistemnya yang seterusnya akan membantu meningkatkan landskap kenderaan elektrik menjadi lebih kompetitif di Asia Tenggara. 

“Kerajaan Malaysia akan berusaha membangunkan persekitaran kondusif bagi pemain industri asing dan domestik untuk menjalankan perniagaan berikutan keupayaan negara untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thamlev Mobility Sdn Bhd Kelvin Tham berkata dengan penyelidikan dan pembangunan canggihnya syarikat itu komited untuk memacu sektor pembuatan Malaysia terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik ringan dengan produk berkualiti paling tinggi. 

“Thamlev berada di kedudukan kelima dari segi jualan tahunan dengan 4,000 unit terjual di AS pada 2022. Kami berharap dapat mengembangkan operasi kami di seluruh AS, Eropah dan rantau ASEAN dalam tempoh terdekat ini,” katanya. 

Pada Disember 2021, Thamlev memeterai memorandum perjanjian dengan NanoMalaysia, agensi pengkomersialan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hyundai Kefico Corp bagi pembangunan ekosistem mikro-mobiliti kenderaan elektrik bernilai US$30 juta. (US$1:RM4.71)

Penerimagunaan ekosistem mikro-mobiliti kenderaan elektrik akan menjadi pemangkin bagi syarikat tersebut untuk terus berkembang maju dalam segmen kenderaan elektrik ringan, sejajar dengn revolusi teknologi global. 

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Curo Co Ltd, Hyundai Electric and Energy Systems Co Ltd, Daegu Mechatronics and Materials Institute dan Signet EV untuk membentuk konsortium stesen swap bateri di Malaysia. 

MIDA telah memuluskan 25 projek bernilai RM10.69 bilion dalam sektor kenderaan elektrik dan ekosistem berkaitannya dari 2020 hingga Jun 2022. Pelaburan yang diluluskan itu termasuklah pemasangan kenderaan elektrik dan pembuatan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik dan komponen pengecasan. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-bakal-jadi-pangkalan-pembuatan-thamlev-usa-bagi-kenderaan-elektrik-ringan/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.