Industri Perbankan Lancar Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan

PETALING JAYA, 30 Okt (Bernama) — Industri perbankan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan (NSAC) bersempena dengan pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) sebagai kesinambungan usaha industri untuk memerangi dan mendidik pengguna berkaitan penipuan.

Kempen itu yang disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM).

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata semasa kempen berlangsung orang ramai akan dapat melihat lebih banyak iklan kesedaran, mesej dan bantu ingat di saluran bank sendiri masing-masing serta media sosial dan arus perdana.   

“Saya difahamkan juga akan ada program capaian komuniti untuk mendidik orang ramai,” katanya pada majlis pelancaran NSAC di IPC Shopping Centre, di sini, hari ini. 

Marzunisham berkata keutamaan BNM ialah memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terkawal. 

“Nasihat keselamatan baharu dan langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank akan dikeluarkan dari semasa ke semasa memandangkan taktik yang digunakan penjenayah sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Mengenai lima langkah diumumkan BNM pada 26 September lalu untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank terhadap penipuan kewangan, beliau berkata, bank-bank memberikan komitmen jitu mereka dan membuat kemajuan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.

“Sebagai contoh, bank mempercepatkan peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada bentuk pengesahan yang lebih selamat semasa melakukan transaksi dalam talian seperti melalui aplikasi perbankan mudah alih perbankan dan token perkakasan,” katanya.

Marzunisham juga menasihati orang ramai agar lebih kerap menyemak laman Amaran Scam Facebook oleh BNM, serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia, bagi maklumat terkini.

Sebagai sebahagian daripada NSAC yang dilancarkan hari ini, industri perbankan telah mencipta logo untuk membantu orang ramai mengingat tiga langkah mudah – juga dikenali sebagai peraturan tiga saat – iaitu “Stop, Think and Block” (Awas, Fikir, Blok) apabila menerima panggilan, mesej atau -e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.

Menggunakan cogan kata “Ingat 3 Saat OK” dan tanda pagar #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat itu agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.

Kempen NSAC itu yang akan dimulakan pada November, merupakan kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua mudah untuk kekal selamat dalam talian.

Kempen tersebut juga melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang diumumkan oleh BNM itu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli, Presiden AIBIM Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Pengerusi ADFIM Jay Khairil Jeremy Abdullah.

Senarai nombor bank anggota ABM untuk dihubungi bagi melaporkan penipuan boleh diperoleh daripada laman web ABM di https://www.abm.org.my/directory.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/industri-perbankan-lancar-kempen-kesedaran-penipuan-kebangsaan/

Previous ArticleNext Article

Pembayar Cukai Diseru Bersedia Awal Supaya Pelaksanaan e-Invois Berjalan Lancar

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) — Semua pembayar cukai digesa supaya tidak berlengah dan menunggu saat akhir untuk melaksanakan e-Invois, sebaliknya membuat persediaan awal bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah proaktif akan membantu perniagaan dan organisasi menguruskan peralihan kepada sistem percukaian digital dengan lebih baik.

“Sekiranya terdapat sebarang cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Mega e-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional dan perniagaan memberikan cadangan bersifat membina untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

Program jelajah itu adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu fasa keempat bagi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta dan sehingga RM5 juta mulai 1 Jan, 2026, serta fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai, 2026.

Selain itu, nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois turut dinaikkan daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 563 juta e-Invois, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Selepas program itu, Menteri Kewangan II turut memanfaatkan peluang dengan turun padang ke beberapa premis pembayar cukai di sekitar Relau, dekat sini.

Beliau mengadakan lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang sejak semalam, tiba di kawasan premis perniagaan itu pada 9.30 pagi dan menyantuni kalangan pemilik premis di kawasan itu.

Amir Hamzah bersama-sama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut memberi penerangan kepada pemilik perniagaan pembayar cukai mengenai e-Invois supaya mereka dapat memahami perkara dengan jelas.

Lawatan turun padang itu juga bertujuan memberikan penerangan dan mendapat maklum balas secara langsung berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 1 Jan, 2026.

Hadir sama dalam lawatan turun padang itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pelaksanaan e-Invois adalah sebahagian usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital serta mempercepat pendigitalan ekosistem operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di Malaysia.
— BERNAMA