Malaysia Airlines Tambah Frekuensi Penerbangan Untuk Destinasi Domestik Menjelang PRU15

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Malaysia Airlines akan menambah frekuensi/kekerapan penerbangan dan menggunakan pesawat A330 berbadan lebar di beberapa laluan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi memastikan perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai untuk pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia akan menambah penerbangan kepada 44 daripada 26, dan menaik taraf kepada 24 daripada 16 perkhidmatan domestik menggunakan pesawat A330.

Mereka yang pulang pada 19 Nov juga akan mendapat diskaun 20 peratus sehala, tambang termasuk semua bermula pada RM104 melalui kempen “Jom Balik Mengundi” syarikat penerbangan itu untuk tempahan yang dibuat sebelum 19 Nov, bagi  perjalanan dari 11 Nov hingga 27 Nov 2022.

Diskaun 20 peratus terpakai kepada semua kategori tambang, termasuk Lite, Basic dan Flex untuk Kelas Ekonomi serta Basic dan Flex untuk Kelas Perniagaan. Tempahan boleh dibuat di www.malaysiairlines.com.

Syarikat penerbangan itu turut menggalakkan pelajar berumur antara 18 dan 26 tahun untuk mendaftar sebagai ahli MHexplorer untuk menikmati faedah perjalanan sepanjang tahun, termasuk diskaun sehingga 30 peratus untuk penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly, elaun tambahan bagasi sebanyak 10kg, satu pertukaran tarikh percuma dan lain-lain faedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd Kapten Izham Ismail berkata tempahan Malaysia Airlines telah melonjak sebanyak tujuh peratus berbanding purata hariannya, dengan hampir 70,000 tempahan penumpang sejak pelancaran “Jom Balik Mengundi” pada 20 Okt.

Syarikat penerbangan itu telah meningkatkan kapasiti sebanyak 30 peratus ke destinasi domestik utama di Semenanjung Malaysia seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu serta Sabah dan Sarawak, kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-airlines-tambah-frekuensi-penerbangan-untuk-destinasi-domestik-menjelang-pru15/

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.