Kenanga Investment Bank Unjur Eksport Kekal Pada 27 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Eksport 2022 dijangka kekal pada 27 peratus berbanding 26.1 peratus tahun lepas disokong oleh nilai ringgit yang lebih lemah walaupun terdapat jangkaan prospek suku keempat 2022 yang kurang memberangsangkan, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Menurut firma penyelidikan itu, eksport berkembang 28.5 peratus tahun ke tahun, didorong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagangan utama dan sebahagiannya disumbangkan oleh ringgit yang lebih lemah di tengah-tengah pengukuhan nilai dolar AS berikutan kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah.

“Ini turut berpunca daripada kenaikan harga komoditi ekoran situasi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat selain tekanan rantaian bekalan yang berkurangan,” katanya dalam satu nota, hari ini.

Pada Khamis lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan eksport Malaysia meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion (AS$1=RM4.50), menjadikan ia pertumbuhan tahun ke tahun bagi bulan ke15 berturut-turut.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion pada Oktober 2022, menandakan pertumbuhan dua digit bulan ke-21 berturut-turut.

Bagaimanapun dalam nota berasingan, AmBank Research berkata jumlah pertumbuhan perdagangan bagi Oktober adalah pada kadar paling perlahan sejak Februari 2022 dengan eksport nampaknya menunjukkan tanda-tanda kelembapan walaupun pertumbuhan yang sihat.

“Ini dapat dilihat daripada sektor pembuatan, subproduk tertentu yang telah mula mereda daripada tahap puncak termasuk produk kayu dan produk logam yang masing-masing merosot sebanyak 11.7 peratus dan 8.1 peratus bulan ke bulan.

“Kedua-duanya telah menguncup untuk bulan keempat berturut-turut,” katanya.

Ambank Research berkata pembuatan produk getah sudah turun ke paras prapandemik pada sekitar RM2 bilion berbanding kemuncaknya sebanyak RM7.5 bilion pada April 2021.

Dengan purata pertumbuhan eksport setakat tahun ini pada 26.4 peratus tahun ke tahun, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan eksportnya untuk 2022 kepada 25.5 peratus kepada 26.5 peratus daripada 24 – 25 peratus sebelumnya.

Ia menambah pertumbuhan akan menjadi lebih perlahan pada suku keempat 2022 disebabkan asas yang tinggi dan pertumbuhan global yang perlahan.

–BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kenanga-investment-bank-unjur-eksport-kekal-pada-27-peratus-tahun-ini/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama