Bekalan Buruh, Kelemahan Ringgit Antara Cabaran Industri Pembinaan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos bahan mentah dan kadar faedah di tengah-tengah kelemahan ringgit terus memberi kesan kepada sektor pembinaan tempatan walaupun ekonomi sedang memulih selepas pandemik. 

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata siri kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh bank pusat Malaysia telah menjejaskan industri.

“OPR yang lebih tinggi bermakna kos pinjaman akan menjadi lebih mahal untuk pengguna termasuk kontraktor. Bank-bank akan menyemak semula kos berikutan kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM), menyebabkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi perniagaan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata kos yang lebih tinggi boleh mengehadkan akses komersial kepada modal. 

Pada 4 Nov lepas, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus, peningkatan keempat berturut-turut sejak Mei tahun ini.

Kekurangan Buruh 

Ahmad Asri memberitahu kemasukan ke peringkat endemik telah menyebabkan lonjakan dalam aktiviti pembinaan kerana semua tapak pembinaan boleh beroperasi tanpa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“(Bagaimanapun), industri pembinaan masih mempunyai anggaran kekurangan kira-kira 400,000 pekerja setakat ini, yang mana CIDB bekerjasama rapat dengan persatuan industri dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk memudahkan penyelesaian isu ini.

“Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini menggesa isu kekurangan pekerja asing diselesaikan segera, dengan ketibaan pekerja asing ke Malaysia mencatatkan kurang daripada levi yang telah dibayar pada RM713,890 untuk kuota yang diluluskan iaitu 467,223 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata pada 31 Okt, data pembayaran levi serta kelulusan kuota setakat 12 September lalu menunjukkan kuota yang diluluskan seramai 467,223 pekerja. Bagaimanapun, hanya 76,000 yang tiba dari 12 negara direkodkan bagi tempoh yang sama. 

“Kami mendapati ramai pekerja memohon dan membuat pembayaran, tetapi yang tiba sangat kurang. Persoalannya, mengapa mereka tidak datang?

“Adakah ini melibatkan masalah negara mereka atau sebab-sebab lain? Perkara ini perlu diberi penekanan, jika tidak, sektor pertanian terutama kelapa sawit akan terus terjejas,” katanya. 

Tambah beliau, industri berintensifkan buruh seperti pembuatan, pelancongan, pembinaan, peruncitan, elektronik dan pertanian turut menerima kesan akibat kekurangan tenaga kerja.

Impak Mata wang 

Ahmad Asri berkata ringgit lemah berbanding dolar US sejak Mac, daripada paras bawah RM4.20 kepada RM4.72 menjelang Oktober, menyebabkan harga barangan dan bahan import menjadi lebih tinggi. 

“Mata wang domestik yang lemah bermakna harga barangan asing secara amnya akan meningkat. Antara bahan binaan yang terjejas ialah simen dan keluli. 

“Harga komponen mekanikal dan elektrikal (M&E) juga melonjak akibat banyak komponen M&E diimport dari Amerika Syarikat.

“Kami berharap keadaan akan bertambah baik dengan pengukuhan mata wang pada masa akan datang,” katanya. 

Mata wang tempatan berada pada trajektori menurun berbanding dolar US sejak awal tahun ini, didorong oleh kelemahan prospek ekonomi global termasuk kebimbangan terhadap kestabilan politik domestik.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, ringgit telah mula mengaut keuntungan berbanding dolar US. Ia menokok kepada RM4.40 berbanding dolar US pada 1 Dis lepas.

Melangkah ke hadapan, Ahmad Asri berkata prestasi sektor pembinaan dijangka “sentiasa berterusan” bagi tempoh dua tahun akan datang. 

“Industri pembinaan masih dalam proses pemulihan daripada pandemik. 

“Antara cabaran utama ialah kenaikan harga beberapa bahan binaan, kekurangan pekerja, kenaikan gaji minimum pekerja, selain kos penempatan mereka dan isu aliran tunai yang dihadapi kontraktor. 

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak peruntukan disediakan bagi pembangunan infrastruktur dan projek pembinaan lain dalam memastikan pertumbuhan industri pembinaan kerana ia akan menjadi pemangkin pertumbuhan banyak sektor ekonomi lain,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bekalan-buruh-kelemahan-ringgit-antara-cabaran-industri-pembinaan-tahun-ini/

Previous ArticleNext Article

Samsung Bakal Pintas NVIDIA Menjadi Syarikat Paling Untung Di Dunia?

Zaman sekarang, sebut sahaja pasal AI, semua orang akan pandang kepada NVIDIA. Memang tak dinafikan, NVIDIA sekarang adalah ‘King’ dengan keuntungan mencecah $99.2 bilion berbanding Samsung yang sekadar $30.5 bilion.

Namun, penganalisis ekonomi mula nampak satu peralihan kuasa yang besar. Menjelang tahun 2027, Samsung diramal bakal memintas NVIDIA dengan unjuran keuntungan yang luar biasa:

  • Samsung: $331 Bilion (~RM1.4 Trilion)
  • NVIDIA: $329 Bilion (~RM1.39 Trilion)

Dunia sekarang tengah ‘demam’ AI. Memang betul NVIDIA yang buat cip AI (GPU), tapi ramai yang terlepas pandang satu fakta penting: Cip AI NVIDIA tak boleh berfungsi tanpa memori yang dihasilkan oleh Samsung.

Ibarat NVIDIA buat enjin Ferrari yang paling laju, tapi Samsung pula yang pegang stok minyak petrol gred tinggi. Bila permintaan AI mencanak, bekalan memori pula tak cukup, maka harga memori dijangka naik mencacak. Di situlah Samsung akan ‘makan besar’.

Selain itu, Samsung mempunyai kelebihan. Mereka bukan setakat jual cip, mereka buat telefon, skrin OLED, hingga ke perkakas rumah. Bila semua benda mula letak AI, Samsung untung di setiap penjuru. Malah, kontrak terbaharu membekalkan skrin untuk iPhone Foldable selama 3 tahun juga bakal memberi margin ‘kayangan’ kepada mereka.

Prestasi Luar Biasa Q1 2026: Rekod Sejarah Terpecah!

Bukan sekadar ramalan kosong, Samsung baru sahaja membuktikan kehebatan mereka dalam laporan suku pertama (Q1) 2026. Walaupun dunia risau dengan ketidakstabilan di Asia Barat, permintaan cip AI nampaknya jauh lebih kuat.

Berdasarkan laporan awal (preliminary earnings):

  • Untung Operasi Q1: 57.2 trilion won (~$37.9 bilion USD).
  • Lonjakan: Naik 755% berbanding tempoh yang sama tahun 2025!
  • Fakta Menarik: Keuntungan Q1 2026 ini sahaja sudah mengatasi keseluruhan keuntungan tahunan mereka bagi tahun lepas.

Pendorong utama sudah tentu ‘Semiconductor Super-Boom’. Harga DRAM dan NAND melonjak hampir 90% berbanding suku sebelum ini. Bahagian semikonduktor sahaja dianggarkan menyumbang lebih 50 trilion won kepada keuntungan syarikat.

Supaya senang faham, bayangkan komputer atau telefon pintar kita ni macam sebuah pejabat:

  • DRAM (Dynamic Random Access Memory): Ibarat MEJA. Lagi besar meja, lagi banyak kerja/app kita boleh buka serentak tanpa hang. Bila kita tutup komputer, “meja” ni akan kosong balik. Dalam dunia AI, “meja” ni kena besar gila sebab AI buat pengiraan yang sangat banyak dalam satu masa.
  • NAND (Flash Memory): Ibarat STOR. Ini tempat simpan segala gambar, video, dan dokumen kita secara kekal walaupun komputer ditutup. Semua pusat data (Data Center) dunia perlukan “stor” yang sangat besar dan laju untuk simpan data AI.

Dengan nilai pasaran yang kini melepasi $1 trilion, Samsung kini sedang memecut laju untuk memintas syarikat-syarikat yang berada jauh di atasnya dalam ranking aset dunia.

Walaupun Samsung diramal akan menjadi syarikat paling untung, mereka tetap perlu berwaspada dengan SK Hynix dan Micron yang turut berebut kontrak membekalkan memori kepada NVIDIA. Micron adalah wakil tunggal dari Amerika Syarikat dalam liga gergasi memori. Disebabkan isu politik Amerika Syarikat-China, banyak syarikat seperti Microsoft dan Google lebih selesa membeli dari Micron atas faktor keselamatan.

Apa Kesannya Kepada Pelabur Di Malaysia?

Kita sebagai pelabur, ini adalah isyarat jelas bahawa sektor teknologi belum lagi mahu ‘berehat’. Kerajaan Malaysia sekarang bersungguh-sungguh menarik pelaburan Pusat Data (Data Center) dari Microsoft, Google dan Amazon masuk ke Johor dan Selangor.

Pusat-pusat data ini memerlukan beribu-ribu rak pelayan (servers). Dalam server itu ada cip NVIDIA, dan dalam cip itu ada memori Samsung.

Rantaian bekalan ini akan memberi kesan limpahan (spillover effect) kepada syarikat-syarikat OSAT tempatan seperti:

  1. Inari Amertron: Pakar dalam pemasangan dan pengujian cip komunikasi.
  2. Malaysian Pacific Industries (MPI): Banyak terlibat dalam pembungkusan cip untuk automotif dan pusat data.

Selain itu, pelaburan besar Samsung SDI di Seremban juga membuktikan Malaysia adalah rakan strategik utama dalam ekosistem global mereka.

Kesimpulan

Adakah Samsung akan benar-benar menumbangkan NVIDIA dari takhta syarikat paling untung di dunia menjelang 2027? Berdasarkan prestasi ‘ganas’ mereka di awal 2026 ini, jawapannya nampak sangat positif.

Apapun, dalam dunia pelaburan, ini semua adalah ramalan dan unjuran data. Realitinya nanti macam mana, entahlah… harap-harap kita sebagai pelabur pun tumpang untung juga!

Sumber: Korea JoongAng Daily: Will Samsung become more profitable than Nvidia?, Investing.com: This tech company is set to overtake Nvidia as the world’s most profitable