Sektor Kuasa Malaysia Turut Terkena Bahang Perang Ukraine-Rusia

KUALA LUMPUR, 7 Dis  (Bernama) — Kesan domino kenaikan mendadak harga bahan api ekoran daripada ketegangan geopolitik antara Ukraine dan Russia, ditambah dengan ketidaktentuan penawaran dan permintaan telah mempengaruhi harga arang batu dan memberi tekanan melampau ke atas industri penjanaan kuasa di Malaysia dan seluruh dunia.  

Bagi tahun ini, harga niaga hadapan penanda aras Newcastle Coal melepasi paras US$440 setan metrik (US$1=RM4.40) pada 2 Mac, 2022, berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Feb, 2022. 

Harga mineral itu kemudiannya turun naik dan mencecah paras tertinggi pada US$457.80 setan metrik pada 5 Sept, 2022, apabila permintaan terhadap arang batu meningkat namun pada masa yang sama pengeluaran dari Eropah dan China merosot. 

Harga arang batu meningkat pada purata US$209.70 setan metrik dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 berbanding harga arang batu penanda aras pada US$79 setan metrik di bawah Tempoh Regulatori 3 (RP3), yang diluluskan bagi tempoh daripada 1 Feb, 2022 hingga 31 Dis, 2024.

Peningkatan harga arang batu membawa kepada kenaikan kos penjanaan elektrik yang memberi impak langsung kepada tarif elektrik kerana arang batu merangkumi hampir 60 peratus daripada sumber penjanaan. 

Bagaimanapun, di Malaysia, pengguna dan usahawan tidak begitu merasai tekanan harga berikutan pemberian subsidi oleh kerajaan. 

Tarif semasa yang dilaksanakan pada 1 Jan, 2014 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif  (IBR), kekal pada 39.45 sen setiap kilowatt sejam (kWj).

Sementara itu, pengguna bukan domestik daripada sektor komersial dan perindustrian dikenakan surcaj 3.70 sen setiap kWj. 

Kerajaan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk mengekalkan rebat semasa dua sen setiap kWj bagi mengekalkan rebat semasa dua sen setiap kWj kepada pengguna domestik dan bersasar. 

Kerajaan membayar Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak RM4.8 billon bagi separuh kedua 2022 di bawah skim pemulihan kos penjanaan elektrik berasaskan kepada mekanisme Pelepasan Imbangan Kos Penjanaan (ICPT).

Majoriti firma penyelidikan mengunjurkan surcaj ICPT yang tinggi bagi sektor komersial dan perindustrian bagi tempoh pelaksanaan akan datang dari 1 Jan hingga 30 Jun, 2023. 

Permintaan elektrik

Menurut Data CEIC, pengeluaran elektrik di Malaysia mencecah 14,782 GigaWatt sejam (GWj) pada Ogos 2022 dan paras tertinggi 14,800 GWj pada Mei 2022.

Peningkatan permintaan elektrik di Malaysia adalah sejajar dengan pemulihan ekonomi negara dan akan terus memberi prospek yang baik kepada TNB.

Ia juga dijangka memberi manfaat ketika peralihan negara kepada karbon rendah pada masa depan yang menumpukan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

 Dalam tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 Sept, 2022, hasil TNB meningkat 46 peratus kepada  RM53.87 bilion daripada RM36.89 bilion sebelumnya berikutan peningkatan jualan elektrik TNB dalam semua sektor. 

Tanpa pemulihan kos daripada ICPT, hasil adalah sebanyak RM37.95 bilion, naik 6.6 peratus. Keuntungan bersih susut 4.7 peratus kepada RM2.65 bilion berbanding RM2.78 bilion sebelumnya.

Bagi 2022, permintaan elektrik dijangka berkembang 1.7 peratus tahun ke tahun berbanding 1.2 peratus pada 2021 sejajar dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.

Dilaporkan bahawa kerajaan menjamin pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion bagi membiayai kos modal kerja tambahan yang juga boleh dipulihkan menerusi ICPT.

TNB juga dijangka mendapat manfaat daripada peralihan tenaga Malaysia yang merupakan pelaburan grid tambahan dan peluang tenaga boleh diperbaharui. Ini dijangka dapat meningkatkan pendapatannya dan menambah baik persepsi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) gergasi utiliti itu.

TNB mempercepat usahanya dengan menamatkan operasi arang batu terpilih lebih awal daripada yang dirancang dan memperkasakan semula loji berkuasa fosil dengan teknologi hijau baharu.

Sumber lain yang sedang dipertimbangkan adalah solar, hidro dan bahan api bio bagi tempoh jangka panjang untuk mengekalkan aliran tunai di tengah-tengah kenaikan mendadak bahan api dan kos penjanaan elektrik lain. 

Ketua penyelidikan dan inovasi Universiti Sains dan Teknolgi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams berkata TNB mempunyai strategi tenaga boleh diperbaharui yang jelas tetapi bergerak perlahan berikutan kekurangan kos dan ketersediaan teknologi. 

Beliau berkata selain daripada pelaburan dalam tenaga alternatif kepada bekalan gas dan arang batu, TNB akan menumpukan kepada permintaan untuk menggunakan pemeteran pintar dan analisis data bagi memahami permintaan dengan lebih tepat dan menambah baik bekalan dan profil kos untuk membantu memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan sisa buangan. 

“Ini boleh dilakukan bagi permintaan perniagaan dan isi rumah. Ia adalah persoalan untuk menambah baik produktiviti dan kecekapan bagi membantu memaksimumkan keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Menerangi masa depan dengan kemampanan, Dasar Tenaga Nasional

Memandangkan kesan perubahan iklim dilihat terus meningkat, usaha di peringkat global, termasuk Malaysia untuk penyahkarbonan, menyebabkan satu gesaan baharu dilaksanakan dengan pelancaran Dasar Tenaga Nasional (NEP) 2022-2040 pada 19 Sept 2022.

NEP menggariskan komitmen kerajaan ke arah peralihan tenaga yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Ia bertujuan bukan sahaja untuk mengekalkan kesinambungan masa depan sektor tenaga Malaysia  tetapi juga untuk memanfaatkannya sebagai pemangkin pelaburan ke dalam dan dalam negara untuk kesejahteraan rakyat.

Lebih penting lagi, NEP menetapkan matlamat untuk pembangunan sektor tenaga dalam dua dekad akan datang dan dijangka memberi impak yang ketara ke atas keseluruhan rantaian nilai tenaga, daripada pengeluaran dan penjanaan sehingga pengedaran dan penggunaan oleh pengguna akhir.

Agensi dan pengawal selia kerajaan yang berkaitan juga dijangka mengeluarkan banyak garis panduan, dasar dan peraturan dalam masa terdekat, yang sudah pasti akan memberi kesan luar biasa terhadap evolusi ekosistem tenaga.

Pemain industri dan pihak berkepentingan digalakkan untuk memantau sebarang perkembangan sedemikian dan menyelaraskan strategi serta pendekatan mereka untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada apa yang mungkin akan menjadi anjakan seismik dalam landskap tenaga.

Bagi tujuan itu, TNB telah mengumumkan bahawa ia melabur RM21 bilion dalam program Grid Masa Hadapan dari 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan kesediaan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran dan pengedarannya.

Insentif

Pada 31 Okt 2022, kerajaan memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk menggalakkan lebih banyak syarikat di negara ini menggunakan tenaga elektrik hijau dengan memasang sistem solar fotovolta (PV).

CGPP akan membolehkan syarikat yang beroperasi di Malaysia mencapai komitmen ESG mereka melalui mekanisme Perjanjian Pembelian Kuasa Maya (VPPA) dengan jumlah kuota 600MW.

Sebelum ini, syarikat di Malaysia boleh memenuhi komitmen mereka untuk menggunakan elektrik hijau melalui program Pemeteran Tenaga Bersih dan Penggunaan Sendiri.

Selain itu, syarikat juga boleh membeli Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui atau melanggan Tarif Elektrik Hijau.

Di bawah program CGPP, syarikat yang layak boleh memeterai Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (PTHK) dengan penjana tenaga solar untuk penjualan dan pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) secara maya melalui terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

Unjuran

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), permintaan elektrik global dilihat meningkat 2.4 peratus pada 2022 dan dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama pada 2023.

Sementara itu, pertumbuhan permintaan di Asia Pasifik dilihat pada 3.4 peratus pada 2022 dan dijangka meningkat empat peratus pada 2023.

Harga bahan api fosil, pertumbuhan ekonomi dan langkah kebersihan yang berterusan berkaitan COVID-19 adalah ketidaktentuan utama yang menjejaskan jangkaan permintaan elektrik global dan gabungan penjanaan pada 2023, kata IEA.

Di Malaysia, penjanaan kuasa boleh diperbaharui dijangkakan menjadi sumber bekalan elektrik yang paling pesat berkembang pada tahun 2023 dan seterusnya.

Dianggarkan juga bahawa pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui boleh meningkat lapan peratus secara global tahun depan.

Malaysia telah menyatakan komitmennya terhadap matlamat untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050 untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selaras dengan aspirasi untuk menjadi negara rendah karbon.

Penyertaan daripada syarikat besar seperti TNB, Jentayu Sustainables Bhd, Sunview Group Bhd, Taliworks Corporation Bhd, SP Setia Bhd dan Siemens juga akan menyokong industri tenaga boleh diperbaharui.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/sektor-kuasa-malaysia-turut-terkena-bahang-perang-ukraine-rusia/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.