Bank Islam Sasar Bantu 500 Usahawan PPZ-MAIWP Menerusi iTekad

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk memperkasakan usahawan menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD.

Bank Islam dalam satu kenyataan hari ini berkata menerusi MoU itu usahawan mikro yang juga merupakan pembayar zakat perniagaan PPZ-MAIWP mempunyai peluang untuk memohon pembiayaan mikro iTEKAD, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Melalui kerjasama itu, Bank Islam menyasarkan seramai 500 pembayar zakat PPZ-MAIWP yang layak akan mendapat kemudahan pembiayaan tersebut dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata sejak diperkenalkan pada 2020 program pembiayaan tersebut telah membantu lebih 510 usahawan mikro dengan melibatkan jumlah pembiayaan hampir RM8.5 juta.

“Program pembiayaan mikro iTEKAD sejajar dengan komitmen kami untuk memastikan aspek kemampanan dan nilai-nilai di bawah konsep pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) diambil kira dalam segenap operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, demi memastikan objektif program tercapai, Bank Islam telah menjalinkan kerjasama dengan 29 rakan pelaksana termasuklah Majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan usahawan terlibat menerima bantuan dan sokongan profesional untuk perniagaan yang berdaya tahan.

“Justeru, kami amat berterima kasih kepada PPZ-MAIWP atas kesudian untuk turut bersama kami memperluaskan lagi manfaat iTEKAD dengan membuka peluang kepada pelanggan yang merupakan pembayar zakat perniagaan untuk menikmati kemudahan ini.

“Bank Islam juga mengalu-alukan kerjasama yang sama dengan agensi kutipan zakat dari negeri-negeri lain,” kata Mohd Muazzam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata agensi itu mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan mana-mana syarikat korporat mahupun agensi kerajaan dalam menjalinkan kerjasama strategik yang sama.

Kerjasama antara PPZ-MAIWP dengan Bank Islam itu secara tidak langsung memastikan kitaran ekonomi terus berpanjangan, katanya.

— BERNAMA

TAG: Bank Islam, PPZ-MAIWP, usahawan, iTEKAD, pembayar zakat

Previous ArticleNext Article

Cabaran Ekonomi Global Tuntut Usahawan Lebih Bersedia Dan Strategik

KUALA LUMPUR, Malaysia – Program Seven Mega Growth Strategies 2026 hari ini menghimpunkan tokoh korporat, usahawan, pemain industri, wakil diplomatik, media serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa dalam membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global semasa. 

Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan turut dihadiri barisan duta, wakil kedutaan asing di Malaysia, tokoh korporat, usahawan serta rakan strategik daripada pelbagai sektor industri. 

Turut hadir ialah Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Pengerusi KNKV Group, Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman, Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group serta Datuk Wan Azmir Wan Majid daripada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. 

Dalam ucapannya, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata dunia perniagaan hari ini sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks melibatkan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat serta peningkatan kos operasi yang memberi kesan langsung kepada usahawan dan perusahaan tempatan. 

Beliau berkata usahawan hari ini perlu lebih bersedia bukan sahaja dari aspek operasi dan jualan, malah perlu memperkukuh strategi pemasaran, positioning, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan perundangan bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan mampan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

“Dalam dunia yang terlalu kompetitif hari ini, visibility adalah survival. Jenama yang terus relevan dan dilihat akan terus dipercayai pengguna. Sebab itu usahawan perlu memahami kepentingan pemasaran strategik, jaringan kolaborasi dan perlindungan asas perniagaan mereka,” – YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memperkasa ekosistem perdagangan domestik serta membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup. Menurut beliau, bagi tahun 2025, KPDN mensasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI di seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini dengan kekerapan minimum dua kali sebulan sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapatkan akses kepada barangan keperluan pada harga lebih berpatutan. 

Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik platform yang menghimpunkan pemain industri, usahawan dan komuniti antarabangsa bagi membuka ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara. 

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata platform seperti ini penting dalam membantu memperluaskan jaringan strategik serta membuka peluang kerjasama antara pemain industri, komuniti perniagaan dan rakan antarabangsa. Menurut beliau, dunia perniagaan hari ini memerlukan lebih banyak ruang perkongsian ilmu dan networking berkualiti bagi membantu syarikat tempatan terus berkembang secara mampan. 

Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman pula berkata syarikat dan usahawan hari ini perlu memahami bahawa pemasaran strategik, positioning dan visibility merupakan antara elemen penting dalam memastikan sesebuah jenama kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif. 

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiapsiagaan undang-undang dalam perniagaan melibatkan penyertaan tokoh industri dan pakar profesional. 

Penganjuran program ini dilihat sebagai antara usaha memperkukuh hubungan strategik antara sektor swasta, komuniti antarabangsa dan agensi kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.