Evolusi Pengurusan Zakat di Malaysia: Antara Kedaulatan Negeri dan Keadilan Universal

“Negeri aku, duit zakat aku…”

Ungkapan ini mungkin kedengaran asing, namun itulah realiti “pagar” birokrasi yang wujud dalam sistem pengurusan zakat kita hari ini. Di era digital di mana sempadan geografi semakin pudar, membayar zakat kini hanya di hujung jari melalui aplikasi. Namun, persoalan besarnya: Adakah falsafah zakat untuk merapatkan jurang antara si kaya dan si miskin sudah benar-benar tercapai di peringkat nasional?

Zakat bukan sekadar transaksi untuk menggugurkan kewajipan peribadi, ia adalah mekanisma keadilan sosial. Jika kita masih terperangkap dalam mentaliti kenegerian, kita bimbang roh zakat itu sendiri akan hilang.

1. Konsep Tabung Zakat Nasional

Memandangkan kuasa agama adalah hak mutlak negeri, kita tidak perlu mengusik kedaulatan tersebut. Namun, satu mekanasime penyelarasan seperti Tabung Zakat Nasional perlu dipertimbangkan secara serius.

Negeri-negeri yang mempunyai kutipan melebihi keperluan asnaf tempatan (surplus) boleh menyalurkan sekitar 10% hingga 15% ke tabung pusat ini.

  • Contoh: Lebihan kutipan di pusat bandar yang pesat seperti Selangor atau Kuala Lumpur boleh disalurkan untuk membiayai projek pembangunan asnaf di negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi tetapi kutipan zakatnya rendah, seperti di pedalaman Sabah, Sarawak atau Pahang.

Inisiatif ini wajar dilihat sebagai satu bentuk kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri (Federal-State cooperation). Sebagaimana kita mampu bersinergi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, sewajarnya semangat yang sama dijulang dalam agenda kebajikan asnaf merentas sempadan.

Lebih daripada itu, ini berpotensi menjadi wadah buat Majlis Raja-Raja untuk menzahirkan kekuatan perpaduan ummah di Malaysia. Ia bukan satu cubaan untuk melangkaui bidang kuasa, sebaliknya satu ikhtiar murni untuk membuktikan bahawa di bawah naungan Institusi Diraja, pengurusan zakat kita adalah dinamik, inklusif dan mampu menjadi pelindung kepada setiap jiwa yang memerlukan, tanpa mengira di negeri mana mereka berada.

2. Integrasi Teknologi

Halangan utama agihan yang adil selalunya berpunca daripada data yang tidak seragam. Lihat sahaja kejayaan sistem seperti MyKasih yang menggunakan integrasi MyKad untuk agihan bantuan bersasar. Jika pangkalan data berpusat ini diintegrasikan bersama agensi seperti JPN (untuk pengesahan waris/tanggungan) dan LHDN (untuk pengesahan pendapatan sebenar), status asnaf seseorang boleh disahkan secara real-time di mana-mana sahaja mereka berada.

  • Contoh: Seorang asnaf dari Kedah yang berhijrah ke Johor tidak perlu lagi melalui proses birokrasi untuk memohon bantuan baharu. Data mereka sudah sedia ada dalam sistem nasional, membolehkan bantuan disalurkan tanpa mengira di bumi mana mereka berpijak.
  • Dengan bantuan integrasi data, sistem akan memberi isyarat (red flag) jika pemohon sudah menerima bantuan di negeri lain. Ini memastikan duit zakat tidak dieksploitasi dan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

3. Meruntuhkan Tembok “Negerisme”

Hakikatnya, halangan terbesar bukanlah pada teknologi atau aplikasi, melainkan pada tembok birokrasi apabila setiap negeri cenderung untuk mengutamakan asnaf di dalam sempadan sendiri. Kita akur, itu adalah hak kedaulatan mutlak setiap negeri. Namun, persoalan moral yang perlu kita renungkan: Jika semua pihak memberi alasan ‘dana tidak mencukupi’, adakah kita sanggup membiarkan saudara asnaf di negeri yang lebih daif terus ketinggalan berpuluh tahun dari segi kualiti hidup? Adalah satu ketidakadilan jika kualiti hidup seorang asnaf ditentukan oleh di negeri mana dia bermastautin, sedangkan mereka adalah sebahagian daripada ummah yang satu.

Adalah satu ketidakadilan jika kualiti hidup seorang asnaf ditentukan hanya oleh lokasi geografi; di mana asnaf di satu negeri dibantu sehingga ke tahap keselesaan, manakala asnaf di negeri lain masih bergelut untuk memenuhi keperluan asasi.

Apabila sesebuah negeri bergelut dengan kekangan dana, ia tidak seharusnya menjadi beban negeri itu sendirian. Di sinilah Tabung Zakat Nasional atau mekanisme penyelarasan pusat memainkan peranan iaitu untuk mengimbangi ekosistem zakat.

4. Apa Kata Hukum Syarak? (Isu Pindah Zakat)

Mungkin ada yang ragu, adakah sah zakat dipindahkan ke negeri lain? Mengikut pencerahan hukum yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Al-Kafi #1918)…”

“…sekiranya terdapat lebihan dana zakat setelah diagihkan kepada golongan asnaf di sesebuah negeri ataupun wujudnya sebarang keperluan atau hajat yang difikirkan perlu… maka hukumnya adalah HARUS untuk memindahkannya ke negeri lain.”

Maka, bantuan kepada saudara seagama yang lebih menderita di negeri jiran adalah satu “hajat syarak” yang besar. Halangan sekarang bukanlah agama, tetapi sistem pentadbiran dan kehendak untuk bekerjasama.

Zakat Bukan Perlumbaan KPI

Kita perlu sedar dan sentiasa ingat: Ibadah zakat ini bukan perlumbaan kutipan antara negeri atau persaingan amil/ejen untuk mengejar komisen.Ini adalah perlumbaan untuk memastikan tiada lagi saudara kita yang kelaparan atau kesusahan.

Jawatan amil ini adalah jawatan yang mulia dan diiktiraf oleh Allah SWT. Mereka adalah penggerak yang memudahkan urusan pembayar, memberi kesedaran dan memastikan kutipan zakat terus meningkat saban tahun. Tanpa kegigihan mereka, mungkin banyak potensi zakat yang tidak dapat dikutip untuk membantu asnaf.

Namun jangan sampai semangat ‘memburu kutipan zakat’ itu membuatkan kita terlupa tentang matlamat akhir ibadah ini.

Kami yakin isu penyelarasan ini sebenarnya sudah lama berada dalam radar perbincangan pihak berkuasa zakat. Namun, dalam era digital yang serba pantas ini, kita mengharapkan langkah yang lebih drastik dan bersepadu. Cadangan ini bukanlah untuk menidakkan kuasa negeri yang sedia ada tetapi untuk semoga dapat memperkasakan lagi proses kutipan dan paling utama memastikan keadilan agihan.

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.