Bursa Malaysia Derivatives Catat Jumlah Dagangan Tertinggi Bagi 2022

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia Derivatives Bhd merekodkan jumlah dagangan tahunan tertinggi bagi semua produknya serta niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) pada 2022. 

Dalam kenyataannya hari ini, ia berkata sejumlah 19.1 juta kontrak telah diniagakan dan melepasi rekod sebelum ini iaitu 18.4 juta kontrak pada 2021 yang merupakan peningkatan sebanyak 3.7 peratus.

FCPO mencatat peningkatan sebanyak 3.8 peratus kepada 16.2 juta kontrak diniagakan pada 2022 yang mengatasi 15.6 juta pada 2021.

Jumlah dagangan lebih tinggi ini diterajui oleh institusi asing yang menyumbang 50 peratus daripada jumlah dagangan dan penyertaan tersebut meningkat secara ketara sebanyak 27 peratus berbanding 2021.

Bursa Malaysia Derivatives turut menyifatkan pertumbuhan kukuh itu sebagai membuktikan keyakinan berterusan komuniti perdagangan global dalam FCPO sebagai mekanisme pengurusan risiko yang berkesan ketika tempoh-tempoh mencabar.

Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Mohd Saleem Kader Bakas berkata pihaknya gembira melihat peningkatan penglibatan peserta pasaran global dalam dagangan produk bursa tersebut.

“Kami akan terus meningkatkan ekosistem pasaran derivatif Malaysia serta memperkukuh tawaran dengan produk-produk inovatif bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelabur mempelbagaikan serta melindungi portfolio masing-masing,” katanya.

Mohd Saleem berkata, bagi memastikan pertumbuhan jumlah dagangan itu kekal positif, Bursa Malaysia Derivatives komited dalam membangunkan serta meningkatkan lagi tawaran produknya untuk memenuhi permintaan pelabur dan pelindung nilai.

Ini termasuk pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) yang ditambah baik pada September 2022 serta kontrak niaga hadapan pertama berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada Disember 2022 yang merupakan Kontrak Hadapan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia yang melibatkan penyelesaian secara tunai.

Selain itu, bursa berkenaan juga menyaksikan dagangan aktif pada Sesi Dagangan Selepas Waktu Dagangan (T+1) dengan sejumlah 1.49 juta kontrak diniagakan pada 2022 ketika sesi T+1 dan berjumlah lapan peratus daripada jumlah dagangan pada waktu siang dan malam.

Jumlah dagangan harian tertinggi pada sesi T+1 itu adalah 19,065 kontrak pada 1 Dis 2022, katanya.

Maklumat lanjut mengenai dagangan derivatif itu terdapat di https://www.bursamalaysia.com.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bursa-malaysia-derivatives-catat-jumlah-dagangan-tertinggi-bagi-2022/

Baca juga: Betul Ke Nak Trade FCPO Kena Modal Besar?

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840