Malaysia Yakin Raih Pertumbuhan Positif, Elak Kemelesetan Tahun Ini – Tengku Zafrul

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) — Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan positif dan mengelakkan kemelesetan pada tahun ini walaupun perlu berdepan dengan cabaran global, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Walaupun pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding 2022, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif KDNK (keluaran dalam negara kasar) bagi dua suku berturut-turut. Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.

“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang telah kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan.

“Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang ini untuk memastikan semua enjin pertumbuhan kita kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama semasa lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini. 

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion, dengan eksport mencapai RM1.6 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion.

Dalam lawatannya ke Pulau Pinang (3 hingga 4 Februari), Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi negeri dan peserta industi untuk membincangkan usaha mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri itu berikutan Pulau Pinang adalah antara destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi perubatan.

“Kita perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berupaya menawarkan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara. Kita juga mahu FDI (pelaburan langsung asing) ini dapat diterjemahkan kepada DDI (pelaburan langsung domestik).

“Sekiranya boleh, kita mahu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana yang boleh menawarkan perkhidmatan dan menjadi pembekal kepada syarikat multinasional yang beroperasi di sini.

“Pulau Pinang ialah contoh terbaik untuk tujuan ini memandangkan banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian UOB: Perniagaan Kekal Berdaya Tahan Pada 2026, Pengurusan Tenaga Jadi Keutamaan Strategik

Kuala Lumpur, Malaysia, 29 Jun 2026 Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada 2026, di mana pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan yang kritikal. Walaupun sentimen keseluruhan kekal positif bagi perniagaan, perusahaan yang lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian ini mendapati bahawa 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan di kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana. Walau bagaimanapun, hampir tiga daripada sepuluh PKS terus berdepan tekanan daripada perbelanjaan operasi yang meningkat, kos tenaga kerja yang tinggi, dan kenaikan kadar faedah, justeru mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Pengurusan Tenaga Menjadi Tumpuan Utama

Sebagai tindak balas terhadap turun naik kos yang berterusan, perniagaan semakin beralih kepada pengurusan tenaga sebagai cara praktikal untuk mengurus perbelanjaan. Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga adalah penting, dengan 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan pada pengurusan dan kecekapan tenaga. Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan bahawa tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan. Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan, disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada kami, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya. Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.”

UOB Malaysia telah memperkukuh sokongan pembiayaannya melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM[1], sekali gus membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi di dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran. Seiring dengan inisiatif ini, Bank kekal komited untuk menyediakan bantuan menyeluruh dan penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS dalam membina daya tahan jangka panjang serta mengharungi ketidaktentuan.

Penggunaan penyelesaian kos efektif sudah pun dilaksanakan

Kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus).

Daya Tahan Diutamakan Berbanding Pertumbuhan Pesat

Kajian ini menekankan peralihan strategik yang lebih luas di kalangan perniagaan, iaitu ke arah pelaksanaan yang dipacu daya tahan dan bukannya pertumbuhan yang agresif. Pengurusan tenaga semakin dikaitkan dengan objektif daya tahan yang lebih luas, termasuk mengekalkan kestabilan operasi, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Perniagaan yang mengamalkan kepelbagaian pembekal, pengembangan serantau, dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan kestabilan tenaga ke dalam strategi pengurusan risiko mereka. Memasuki tahun ketujuhnya, Kajian Tinjauan Perniagaan UOB kini akan dijalankan dua kali setahun dan memperkenalkan bidang tumpuan yang diperluas, menunjukkan bagaimana keadaan ekonomi dan geopolitik yang berubah dengan pantas sedang membentuk semula landskap perniagaan. Edisi 2026 merangkumi tujuh pasaran – Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Untuk mendapatkan salinan kajian dengan butiran penuh, sila layari https://www.uobgroup.com/asean-insights/articles/uob-business-outlook-study-2026-malaysia-h1.page


[1] Sila rujuk siaran akhbar UOB: UOB Malaysia enhances financing support for SMEs through BNM Stabilisation Relief Facility