Pengenalan Semula Program Cukai Pengakuan Sukarela Akan Bantu Tambah Hasil Kerajaan

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Pengenalan semula program pengakuan sukarela khas mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Dis 2024 akan membolehkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus terhadap cukai langsung dan tidak langsung yang tidak dibayar akan membantu menambah hasil kerajaan selain memberi manfaat kepada pembayar cukai yang ingin memanfaatkan inisiatif tersebut.

Pengenalan semula program itu diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Presiden Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM) Chow Chee Yen berkata keinginan pembayar cukai untuk tampil mendedahkan cukai yang belum dibayar secara sukarela mungkin tidak begitu kuat melainkan terdapat alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

“Komunikasi daripada jangkaan dan ketelusan antara pihak berkuasa cukai dan pembayar cukai turut dijangka memberi kesan kepada hasil yang diinginkan daripada program tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan untuk banjaran pendapatan boleh cukai RM35,001 hingga RM100,000 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai daripada kumpulan M40 berpendapatan sederhana.

“Ini adalah satu pengiktirafan bahawa kenaikan kos sara hidup turut melanda kumpulan M40 selain kumpulan B40 yang menerima sebahagian besar daripada bantuan kerajaan.

“Didapati bahawa kerajaan bersedia untuk melanjutkan pengurangan kadar cukai kepada mereka yang berada dalam banjaran boleh cukai RM35,001 hingga RM50,000 yang bukan penerima untuk cadangan yang sama (sebelum ini),” katanya.

Sebaliknya, Chow berkata kerajaan telah mencadangkan untuk menaikkan kadar cukai sebanyak 0.5 hingga dua mata peratusan untuk banjaran boleh cukai RM100,001 hingga RM1 juta, yang dijangka memberi kesan kepada kira-kira 150,000 pembayar cukai.

“Pelarasan semula kadar cukai untuk banjaran tersebut konsisten dengan apa yang dilihat sebagai pemikiran kerajaan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan memperluas asas cukai kepada mereka yang mampu,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.