Pembayaran Dividen Kepada Kerajaan Bergantung Kemampuan -Petronas

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan bahawa pembayaran dividen kepada kerajaan akan diputuskan berdasarkan kemampuannya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Petronas diminta membayar antara RM35 bilion hingga RM40 bilion dalam bentuk dividen tahun ini tetapi jumlah itu akan dimuktamadkan selepas usaha wajar kumpulan itu yang akan mengambil kira obligasi hutang dan pelaburannya.   

“Sama ada jumlahnya RM35 bilion atau RM40 bilion, ia tertakluk kepada peraturan biasa bahawa kami akan membuat pembayaran dividen bergantung kepada keperluan tadbir urus kami,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan penuh tahun Petronas berakhir 31 Dis 2022.

Petronas membayar sejumlah RM50 bilion dividen kepada kerajaan tahun lepas. 

Tengku Muhammad Taufik ketika mengulas mengenai prospek harga minyak berkata Petronas menjangkakan adanya pembetulan harga pada tahun ini dan laluan pemulihan mungkin berada dalam keadaan yang sukar iaitu antara US$70 dan US$80 setong dalam tempoh lima tahun akan datang. 

“Tahun ini, saya rasa kita berada di tahap bawah berkenaan. Bagi tujuan perancangan, kami masih menguji huluan (langkah) kami pada US$40 setong untuk memastikan keteguhannya,” kata beliau lagi.

Tengku Muhammad Taufik turut menggariskan perbelanjaan modal syarikat sebanyak RM300 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang sebagai belanja kepada usaha penyahkarbonan dan peralihan tenaga. 

Beliau berkata Petronas mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM140 bilion tetapi kekal dalam kedudukan tunai bersih yang mencukupi bagi menjana aliran tunai yang kukuh daripada aktiviti operasi (CFFO). 

CFFO Petronas mencecah paras RM135.3 bilion menjelang tahun kewangan 2022, menokok berbanding tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM78.5 bilion di tengah-tengah peningkatan pelaburan untuk pertumbuhan, pembayaran dividen yang lebih besar dan obligasi khidmat hutang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA