Sunway REIT Beli Enam Kompleks Runcit, Pasar Raya Besar Giant Daripada Kwasa Pada RM520 Juta

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Pemegang amanah Sunway REIT, RHB Trustees Bhd menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Properties Sdn Bhd untuk membeli enam kompleks pasar raya besar/runcit Giant pada RM520 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Sunway REIT menjelaskan cadangan pembelian itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan susulan minat satu daripada pemegang unit utamanya iaitu KWSP.

“Pertimbangan pembelian itu adalah wajar selepas mengambil kira hartanah terbabit dibeli secara berasingan dan kolektif di bawah nilai pasaran hartanah, dengan pertimbangan pembelian meliputi diskaun kira-kira 12.3 peratus daripada agregat nilai pasaran hartanah seperti yang dinilai oleh jurunilai,” jelasnya.

Sunway REIT menyifatkan pelaburan berpotensi itu, dari segi penambahan keuntungan dan pengagihan seunit, akan meningkatkan kestabilan pendapatan menerusi perjanjian pajakan dan purata wajaran tarikh akhir pajakan portfolionya serta memperkukuh dan mempelbagaikan portfolio geografi syarikat sebagai kewajaran untuk cadangan pembelian itu.

Cadangan itu juga akan meningkatkan lagi kedudukan semasa Sunway REIT sebagai amanah pelaburan hartanah kedua terbesar yang disenaraikan di Malaysia berdasarkan nilai hartanah setakat 31 Dis, 2022, menurutnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.