Pembeli Rumah Dari Kalangan Milenial Dijangka Meningkat Menjelang Akhir Tahun – Tinjauan Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — Pembeli hartanah kediaman dari kalangan milenial di Malaysia telah melonjak dengan ketara berbanding tahun lepas dan dijangka terus meningkat sehingga 2024, kata Juwai IQI dalam satu tinjauan.

Syarikat teknologi hartanah Asia itu berkata Tinjauan Belian Rumah Milenialnya juga menunjukkan sebahagian besar ejen hartanah percaya terdapat lebih ramai pembeli milenial dalam pasaran hari ini berbanding 2022.

“Sejumlah 80 peratus daripada ejen percaya bilangan pembeli milenial adalah lebih tinggi daripada tahun 2022, manakala hanya empat peratus percaya bilangan itu telah menurun.

“Tujuh puluh tiga (73) peratus ejen pula percaya terdapat lebih ramai pembeli milenial Bumiputera dalam pasaran hari ini daripada 2022, berbanding hanya tujuh peratus yang percaya jumlahnya lebih sedikit,” kata ketua segmen Bumiputera Juwai IQI Muhazrol Muhamad dalam kenyataan.

Beliau menyatakan milenial ialah mereka yang berumur antara 27 dan 41 tahun dan kadangkala turut dikenali sebagai Gen Y. Mereka adalah kumpulan pembeli hartanah yang paling penting, menyumbang 50 peratus daripada populasi umur bekerja di negara ini.

Mengenai penguasaan pasaran, Muhazrol berkata ejen percaya milenial membentuk antara 40 peratus dan 60 peratus daripada semua pembeli, bergantung kepada subpasaran.

Sementara dari segi julat harga pula,  40 peratus milenial Bumiputera memilih unit berharga antara RM300,000 dan RM500,000 berbanding 26 peratus dalam kalangan kumpulan milenial bukan Bumiputera yang lain.

Beliau juga berkata golongan milenial lebih suka kondominium (33 peratus) diikuti dengan hartanah bertanah (30 peratus) dan pangsapuri perkhidmatan (26 peratus).

Beberapa milenial membeli hartanah komersial (11 peratus) kerana mereka memerlukan pelaburan yang lebih besar dan pemahaman yang lebih sofistikated tentang pasaran.

Program yang paling popular ialah program Skim Rumah Pertamaku, diikuti oleh PR1MA Homes, Skim Rumah Pertamaku BNM dan Kempen Pemilikan Rumah.

Kenyataan itu menambah halangan paling sukar untuk diatasi ialah mengumpul wang yang mencukupi untuk bayaran pendahuluan dan ini menjelaskan mengapa program Skim Rumah Pertamaku paling popular dalam kalangan milenial kerana ia membolehkan pembeli membiayai 110 peratus daripada nilai hartanah itu, katanya. 

Menurut Muhazrol, golongan milenial meletakkan lokasi pusat dan akses kepada pengangkutan awam sebagai dua ciri paling popular mereka, diikuti oleh keselamatan seperti pintu pagar, kunci, kamera dan pengawal keselamatan.

Ciri penting lain termasuk kolam renang, taman dan kawasan riadah luar.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Beli Rumah Bukan Sekadar Ansuran Bulanan. Ini Senarai Kos Kena Bayar Lepas Dapat Kunci

Setiap tahun, ribuan rakyat Malaysia berjaya memiliki rumah pertama. Tahniah kami ucapkan.
Tetapi ada satu perkara yang ramai hanya sedar selepas rumah siap dan kunci diserahkan, kos sebenar memiliki rumah jauh lebih luas daripada bayaran pinjaman/pembiayaan bank.

Ansuran bulanan hanyalah pintu masuk. Selepas itu datang pula tanggungjawab kewangan berterusan yang tidak boleh dielak.

1. Cukai Hartanah: Kos Wajib Setiap Pemilik Rumah

Sebaik sahaja nama anda direkod sebagai pemilik di Pejabat Tanah, tiga jenis cukai ini akan berjalan secara automatik.

1️⃣ Cukai Pintu (Cukai Taksiran)

Dibayar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti DBKL, MBPJ, MBSA dan lain-lain.

• Dibayar 2 kali setahun
• Berdasarkan anggaran sewa tahunan rumah
• Digunakan untuk penyelenggaraan jalan, longkang, lampu, kutipan sampah dan kemudahan lain

Contoh portal rasmi:
• DBKL: https://dbayar.dbkl.gov.my
• MBPJ: https://www.mbpj.gov.my/ms/rakyat/perkhidmatan-online-mbpj
• MBSA: https://www.mymbsa.gov.my
• MBJB: https://apl.mbjb.gov.my/mybill

Masukkan nombor akaun cukai atau IC, terus boleh bayar online.

2️⃣ Cukai Tanah

Dibayar kepada Pejabat Tanah Negeri.

1 kali setahun
• Wajib walaupun rumah kosong
• Jika gagal bayar, tanah boleh dikenakan tindakan undang-undang

Portal rasmi negeri:
• Wilayah Persekutuan: Pejabat Tanah & Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
• Selangor: e-Tanah Selangor
• Johor: Pejabat Tanah & Galian Johor Bahru

Hanya masukkan nombor hak milik atau lot dan jumlah akan dipaparkan.

Di mana nak cari nombor hak milik dalam Sale & Purchase Agreement (S&P)/Perjanjian Jual Beli?

Dalam S&P, biasanya ia ditulis sebagai:

Title Particulars
atau
Butiran Hak Milik

Ia akan kelihatan lebih kurang begini:

HS(D) 12345 / PT 67890 / Mukim Petaling

3️⃣ Cukai Petak

Untuk pemilik rumah strata seperti kondominium dan apartment.

Kalau strata title masih belum dikeluarkan, maksudnya bangunan itu masih di bawah JMB (Joint Management Body). Dalam situasi ini pemilik hanya bayar yuran penyelenggaraan & sinking fund kepada JMB.

1 kali setahun
• Dibayar kepada Pejabat Tanah
• Berbeza daripada yuran pengurusan bangunan

Ramai keliru dan sangka yuran maintenance sudah termasuk kos ini, tetapi sebenarnya tidak.

2. Utiliti: Bila Ada Rumah, Semua Jadi Bil Tetap

Selepas rumah atas nama sendiri, anda akan mula terima:

• Bil elektrik TNB
• Bil air
• Indah Water (IWK)
• Internet

Ini semua kos bulanan tetap, walaupun rumah tidak diduduki sepenuhnya.

3. Yuran Penyelenggaraan dan Sinking Fund

Untuk rumah strata, ini antara kos paling besar.

Contoh:
Kondominium 1,000 kaki persegi
Yuran RM0.30 – RM0.50 sekaki = RM300 hingga RM500 sebulan
Ini belum termasuk sinking fund.

Apa itu Sinking Fund?

Sinking fund ialah tabung simpanan bangunan.

Ia bukan untuk:
• gaji pengawal
• bil elektrik
• cuci kolam
• potong rumput

Semua itu dibiayai oleh yuran penyelenggaraan bulanan. Sinking fund pula adalah wang yang dikumpul untuk pembaikan besar pada masa hadapan seperti cat semula bangunan, naik taraf lif, baiki bumbung dan kebocoran struktur, tukar pam air utama atau sistem tangki air.

Yuran ini wajib walaupun rumah kosong atau disewakan.

4. Insurans dan Perlindungan

Kebanyakan pinjaman/pembiayaan rumah datang bersama:

• MRTA atau MLTA
• Insurans kebakaran
• Kadang-kadang insurans isi rumah

Kos ini biasanya disekalikan dalam pinjaman/pembiayaan, tetapi sebenarnya anda membayarnya setiap bulan melalui ansuran.

Baca juga MRTT vs MLTT, Dan Apa Jadi Kepada Keluarga Selepas Kematian?

5. Kos Lain

Ini bukan cukai, tetapi tetap keluar dari poket.

• Baiki paip bocor
• Servis aircond
• Bumbung bocor
• Pam air rosak
• Pagar dan pintu
• Tandas dan saliran

Rumah bukan aset pasif. Ia memerlukan penyelenggaraan sepanjang masa.

Hakikat Yang Ramai Tak Cerita

Apabila seseorang berkata, “Aku dah beli rumah”, sebenarnya dia sedang berkata: “Aku telah menandatangani komitmen kewangan jangka panjang kepada bank, kerajaan negeri, PBT, syarikat utiliti dan pengurusan bangunan.”

Itulah harga sebenar untuk menjadi seorang pemilik hartanah.

Selalunya pelaburan hartanah memerlukan modal yang besar, tetapi REIT membuka peluang kepada semua orang untuk dapat ‘pemilikan bersama’ dalam hartanah tanpa perlu membeli bangunan sendiri. Baca lagi REIT: Cara Melabur Dalam Hartanah Tanpa Modal Besar dan Deposit