Perodua Perkenal Pakej Servis Khas Untuk Pemilik Axia, Bezza

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) — Perodua memperkenalkan pakej servis khas kepada pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan dan dalam masa yang sama mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Dalam kenyataan hari ini, Perodua berkata ia adalah maklum balas kepada pakej Auto Rahmah yang baru dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah program Payung Rahmah bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat.

“Pakej servis khas ini, yang dikenali sebagai Perodua Auto Rahmah 2023, terdiri daripada diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh.

“Bagi melayakkan diri untuk kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei, 2023.” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi pakej Auto Rahmah 2023 dengan menawarkan diskaun untuk penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.

“Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.

“Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalan raya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,” kata beliau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza dan ia mampu mengurangkan kos sara hidup mereka.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Projek Pembangunan Semula Stesen KL Sentral Akan Bermula Akhir Tahun Ini – Anthony Loke


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) — Projek pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) akan bermula akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi melaksanakan projek itu.

“Stesen itu akan menjalani penambahbaikan untuk menjadikannya lebih moden, cekap dan dihubungkan dengan lancar ke kawasan sekitar.

“Penambahbaikan ini akan melibatkan kerja menaik taraf, mereka bentuk semula, penggunaan semula dan usaha membina semula untuk mencapai tahap pembinaan yang lebih moden dan canggih,” kata Loke kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Menara Sentral RAC, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata projek pembangunan semula itu secara dasarnya telah mendapat kelulusan Kabinet pada Ogos tahun lepas lalu untuk membaik pulih Stesen KL Sentral melalui inisiatif Perkongsian Awam-Swasta.

Pemaju projek, MRCB, akan melaksanakan pembangunan dengan peruntukan belanja melebihi RM1.0 bilion dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos bagi pembangunan semula itu.  

“Perbincangan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sedang dijalankan,” katanya.

Loke juga menerangkan tentang rancangannya bagi kawasan KL Sentral, memperincikan inisiatif komprehensif untuk menghubungkan kepada semua bangunan bagi menambah baik mobiliti dan akses awam.

“Rangkaian yang saling berkaitan ini akan membolehkan peralihan lancar antara titik berbeza dalam kawasan itu bagi memudahkan pergerakan orang ramai,” katanya.

— BERNAMA