7 Bank Terbesar Di Dunia

Institusi perbankan sememangnya amat penting untuk ekonomi dan juga latar belakang kewangan sesebuah negara. Tetapi amat penting untuk kita tahu apa peranan utama institusi perbankan tersebut.

Peranan utama institusi perbankan adalah menyediakan peluang pinjaman dan pembiayaan, simpanan dan kemudahan penting lain kepada orang awam dan juga pihak korporat.

Walaupun margin keuntungan bagi perbankan sangat kecil tetapi ia merupakan salah satu industri yang mampu menjana kewangan yang paling menguntung. Ini kerana hampir semua pihak memerlukan perkhidmatan kewangan. 

Jom lihat senarai antara tujuh bank terbesar di dunia.

1. Bank JP Morgan Chase

Market Cap atau modal pasaran: $399.59 Billion (Mei 2023)

Gambar: jpmorganchase.com

Bank JP Morgan Chase kini merupakan syarikat perbankan terbesar di Amerika Syarikat dan juga merupakan antara bank terbesar di dunia. Bank ini ditubuhkan selepas perjanjian penggabungan antara J.P. Morgan & Company dengan Chase Manhattan Bank pada tahun 2000. Semenjak daripada penggabungan itu, ianya telah menjadi gergasi perbankan dunia.

Bank JP Morgan Chase menyediakan perkhidmatan perbankan runcit dan kad kredit di bawah jenama Chase. Perkhidmatan perbankan korporat seperti pengurusan aset, pengurusan kekayaan persendirian dan perkhidmatan keselamatan pula telah dijalankan di bawah jenama Morgan.

2. Industrial And Commercial Bank of China

Modal pasaran: $255.10 Bilion (Mei 2023)

Gambar: ledgerinsights.com

Dengan mempunyai aset yang lebih daripada RM 16 trilion, bank ini merupakan bank terbesar di dunia pada masa kini yang mempunyai anak syarikat asing di Kanada, Turki dan Macau. Untuk pengetahuan anda, ianya merupakan bank pertama di China yang menjadi syarikat awam terbesar mengikut jumlah aset yang dimiliki. 

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank ini adalah perkhidmatan kewangan termasuklah pengurusan pelaburan, ekuiti persendirian dan juga kad kredit.

3. Agricultural Bank of China

Modal pasaran: $193.01 Bilion (Mei 2023)

Gambar: www.abchina.com

Agricultural Bank of China adalah salah satu bank yang paling terkenal di dunia yang telah ditubuhkan pada 1951 oleh penggabungan antara Farmers Bank of China dan Cooperation Bank. Ianya mempunyai kira-kira 24 ribu cawangan dengan lebih 320 juta pelanggan am dan 2.7 juta pelanggan institusi. Pada tahun 2010, bank ini telah mencatatkan IPO terbesar di dunia.

Selain itu, bank ini juga turut terlibat dalam pengurusan kekayaan global dan perdagangan ekuiti persendirian.

4. China Construction Bank Corporation

Modal pasaran: $184.69 Bilion (Mei 2023)

Gambar: ccb.com

China Construction Bank Corporation atau CCB merupakan antara salah satu bank terbesar di dunia. Terdapat beribu pejabat di Beijing dan mempunyai kira-kira 13,600 cawangan domestik dan cawangan antarabangsa termasuk yang terletak di London. China Construction Bank menawarkan perkhidmatan perbankan runcit seperti pajakan, kad kredit dan pinjaman peribadi kepada orang awam dan turut terlibat dalam ekuiti persendirian dan perniagaan pengurusan kekayaan.

5. Bank of China

Modal pasaran: $175.21 Bilion (Mei 2023)

Gambar: Bank of China

Bank of China adalah salah satu bank awam terbesar di China dan termasuk dalam senarai teratas bank terbesar di dunia. Ia telah ditubuhkan oleh Kerajaan China pada tahun 1912 dan merupakan antara salah satu pengeluar utama wang kertas. Kini, Bank of China merupakan pemberi pinjaman kedua terbesar di China yang beribu pejabat di Daerah Xincheng, Beijing.

Bank of China mempunyai dua anak syarikat yang berpangkalan di Hong Kong dan satu lagi di Kanada. Ianya juga mempunyai cawangan di 27 negara lain di seluruh dunia. Selain itu, Bank of China turut terlibat dalam perniagaan insurans dan menyediakan perkhidmatan kad kredit.

6. HSBC

Modal pasaran: $152.63 Bilion (Mei 2023)

Gambar: Håkan Dahlström/Flickr

HSBC merupakan gergasi perbankan British dan merupakan bank terbesar di seluruh Eropah yang ditubuhkan di British Hong Kong sekitar tahun 1885 pada mulanya. Pada awalnya, ia ditubuhkan sebagai Perbadanan Perbankan Hongkong dan Shanghai dan telah melalui beberapa siri perubahan struktur dan akhirnya disusun semula pada tahun 1991. 

Pada 2022, HSBC melaporkan telah memperolehi keuntungan sekitar US$17.5 bilion sebelum cukai.

6. Mitsubishi UFJ Financial Group

Modal pasaran: $77.81 Bilion (Mei 2023)

Gambar: mufg.jp

Mitsubishi UFJ Financial Group adalah merupakan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar di Jepun dan merupakan salah satu anak syarikat terbesar Mitsubishi Group. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2005 melalui penggabungan Bank of Tokyo-Mitsubishi dan UFJ Bank yang merupakan anak syarikat UFJ Holdings. 

Selain menyediakan perkhidmatan perbankan runcit, Mitsubishi UFJ Financial Group juga menyediakan pengurusan pelaburan, pengurusan runcit dan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan dengan kewangan.

Kesimpulannya, bank di atas merupakan bank yang mempunyai aset paling kukuh di industri perbankan dunia. Walaupun bank negara kita tidak mampu menyaingi kehebatan bank-bank di atas, semoga kejayaan akan datang kelak.

Semoga entri ini dapat memberi informasi mengenai bank terbesar di dunia dan bermanfaat buat anda.

Rujukan:

  1. https://databoks.katadata.co.id/datapublish/2022/06/22/10-bank-terbesar-di-dunia-menurut-total-aset
  2. https://companiesmarketcap.com/
Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.