Bertam Resort And Water Park Di Pulau Pinang Janjikan Inap Penuh Keselesaan

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Bertam Resort and Water Park, sebuah taman tema air bertaraf lima bintang yang bertemakan Maghribi, terletak di Bertam, Pulau Pinang mampu menarik minat pengunjung termasuk dari timur dan selatan semenanjung, sejak pandemik berakhir meskipun ia terletak di pinggir Pulau Pinang.

Projek bernilai RM90 juta yang dibina di atas tanah seluas lapan hektar itu dimiliki dan diuruskan oleh Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, telah mula menerima sambutan yang menggalakkan walaupun belum dilancarkan secara rasmi.

“Kami menyasarkan hasil RM3 juta sebulan, jadi itu bermakna hasil RM36 juta untuk tahun pertama operasi. Satu pertiga daripada hasil akan disumbangkan oleh taman tema air manakala dua pertiga akan datang daripada resort.

“Anda mungkin fikir tempat ini agak terpinggir, namun kami menerima kedatangan tetamu untuk menginap dari Kelantan dan Johor. Berada jauh dari bandar, anda akan berasa luar biasa berbeza dan kami menjanjikan anda penginapan keluarga yang penuh keselesaan di sini,” kata Pengarah Urusan Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu kepada Bernama.

Beliau yang yakin sasaran itu tercapai, mengatakan bahawa orang ramai kini mula bercuti, sama ada di dalam atau di luar negara, selepas “terperangkap” di rumah semasa pandemik.

Tambahan pula, syarikat telah menyediakan pakej dan promosi khas untuk menarik sekolah-sekolah dan syarikat menganjurkan program di sana. Ini pada masa yang sama memberikan kesan limpahan kepada usahawan tempatan di sini, terutamanya pengusaha restoran dan pemilik sewa percutian.         

Rekod jualan tiket

Mohamed Iqbal berkata selepas menghadapi beberapa masalah, tarikan pelancongan utama pertama di Bertam itu mencapai rekod jualan sebanyak 3,200 tiket setiap hari bulan lepas dan momentum itu dijangka berterusan pada Mei.

Taman tema air itu dibuka kepada orang ramai pada 15 Dis 2022, tetapi terpaksa ditutup buat sementara waktu bermula 28 Dis berikutan isu perlesenan. Ia beroperasi semula pada 7 Jan 2023.

Ia menawarkan kadar promosi awal tahun ini sehingga 31 Mac dan lebih banyak promosi pada masa hadapan disediakan untuk menarik lebih ramai pelawat.

Lebih daripada 14 permainan yang menyeronokkan disediakan di taman itu di samping turut mempunyai pasukan penyelamat dan pekerja yang terlatih.

Pada awal tahun ini ia menawarkan kadar promosi sehingga 31 Mac dan lebih banyak promosi akan disediakan pada masa hadapan untuk menarik lebih ramai pelawat.

“Resort juga menawarkan bufet buka puasa baru-baru ini yang berharga RM89 seorang, dan kami menerima 1,500 tetamu pada hujung minggu berbanding purata 600 tetamu pada hari bekerja.

“Kami sangat berterima kasih kepada tetamu kami yang telah datang ke sini dan berkongsi di media sosial mereka tentang makanan yang kami sajikan di sini dan, sudah tentu, suasana Maghribi yang dapat dilihat di setiap sudut bangunan. Kami juga cuba menyuntik pengalaman menjamu selera cara Maghribi tetapi mungkin ia masih belum diterima oleh selera tempatan,” katanya.

Sejak dibuka secara umum pada Februari, resort ini menerima pelawat terutamanya dari tiga negeri — Perlis, Kedah dan Pulau Pinang — tetapi semasa cuti sekolah dan musim perayaan, ia menerima tempahan dari Johor dan Kelantan.

Pada masa ini, resort ini menawarkan lebih 256 bilik, 16 vila dan 29 suite untuk pelancong yang bercuti, berbulan madu, keluarga dengan anak dan pengembara perniagaan.

Harga bilik bermula dari RM320 dan ke atas.

Ditanya mengenai pilihan seni bina Moor untuk resort itu, Mohamed Iqbal mendedahkan bahawa ia adalah “cinta pandang pertama.”

“Saya sentiasa menyukai konsep yang turut dikaitkan dengan seni bina Islam. Namun, tidak ramai yang berpeluang pergi ke sana jadi kami membawa Maghribi ke sini,” katanya sambil tersenyum.

Langkah pengembangan dalam perancangan

Resort dan taman air itu juga merancang untuk penambahbaikan dalam beberapa tahun akan datang, melibatkan tiga fasa, kata Mohamed Iqbal.

Fasa pertama adalah untuk menubuhkan resort – “An Oasis of Muse and Luxury”, fasa dua ialah untuk mencipta lebih banyak hiburan untuk pelanggan, dan fasa tiga adalah untuk pengembangan resort yang seterusnya.

“Kami akan membina lebih banyak vila untuk menampung bilangan tetamu dan juga akan mengadakan lebih banyak kerjasama untuk pelancongan perubatan dan pelancongan pendidikan, serta menyediakan latihan amali dan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Bagi syarikat-syarikat, di tanah besar Pulau Pinang kami mempunyai Taman Teknologi Tinggi Kulim, Taman Perindustrian Prai dan tidak lama lagi Taman Teknologi Pulau Pinang. Oleh itu, kami mengalu-alukan mereka untuk menganjurkan mesyuarat dan aktiviti mereka di sini.

“Kami pada masa ini mempunyai dewan dengan kapasiti tempat duduk sehingga 1,500, sembilan bilik mesyuarat, enam dewan makan dan spa kesihatan berkonsepkan Moorish premium,” katanya sambil menambah bahawa syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) .

PCEB ialah biro negeri yang ditubuhkan pada 2016 untuk membangunkan industri acara perniagaan dan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) di Pulau Pinang.

“Kami mahu berkembang bersama, untuk mendapat manfaat bersama, dan pada masa yang sama menyumbang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Perunding pelaburan Yasir Jesmi, 41, berkata beliau dan keluarganya sangat menikmati penginapan mereka di resort itu, kira-kira 45 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Saya pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan memutuskan untuk mendaftar masuk di Bertam Resort selama tiga hari dua malam dan saya mesti katakan mereka memberikan perkhidmatan yang hebat!

“Sebaik sahaja anda masuk, anda tidak mahu keluar dari tempat itu, kerana segala-galanya ada, disusun dengan sempurna daripada penyembuhan diri kepada makan dan hiburan. Saya suka bagaimana pemaju memilih seni bina Moor,” katanya.

Bagaimanapun, mengenai kualiti taman air itu, beliau berkata masih ada ruang untuk diperbaiki. “Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan pastinya akan mengesyorkannya kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Beliau juga berkata lokasi itu sangat strategik dan projek itu boleh membantu membawa lebih banyak perniagaan kepada usahawan tempatan. — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI