Cuaca Panas Pacu Permintaan Minyak Sawit, Harga Diunjur Sehingga RM4,000 Satu Tan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Permintaan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat pada tahun ini, didorong oleh faktor cuaca panas yang turut memacu harga sekitar RM3,800 hingga RM4,000 satu tan, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pihaknya berharap pengeluaran komoditi itu dapat ditingkatkan pada tahun ini.

“Kita berharap dapat mengeluarkan kira-kira 19 juta tan (pada tahun ini) daripada 18 juta tan pada 2022.

“Ini berikutan faktor seperti kemasukan semula pekerja asing pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Media di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Parveez berkata usaha penanaman sawit juga dijangka dijejaskan oleh fenomena El Nino pada tahun depan yang boleh mengurangkan pengeluaran sehingga 10 peratus.

Cuaca panas tersebut juga akan memberi kesan kepada sebahagian besar kawasan penanaman di Sabah dan Sarawak.

Malah, Ahmad Parveez berkata, suhu panas melampau boleh menjejaskan kehadiran kumbang yang berperanan untuk melakukan proses pendebungaan.

“Pada masa sama, tanaman itu sendiri turut memberi reaksi terhadap cuaca panas yang menyaksikan perubahan nisbah penghasilan bunga betina dan jantan, termasuk lebih banyak bunga jantan.

“Pokok yang mengalami tekanan akan menghasilkan lebih banyak bunga jantan (dan mengurangkan hasil pengeluaran),” katanya.

Beliau turut merujuk senario pada 2016 apabila pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) susut sebanyak 20 peratus disebabkan oleh El Nino.

“Namun, kali ini, mujurlah kita mempunyai peralatan penanaman lebih baik serta penambahbaikan keadaan pekerja yang dapat menampan impak tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan berkaitan misi dua hari Malaysia-Indonesia ke Brussels mulai 30 Mei ini, Pengerusi MPOB Mohamad Helmy Othman Basha berkata ini merupakan misi pertama membabitkan kedua-dua negara ke pasaran besar tersebut.

“Bagi Malaysia, Kesatuan Eropah (EU) adalah pasaran ketiga terbesar dan kita mahu memberi mesej jelas bahawa Malaysia dan Indonesia yang juga dua pengeluar utama minyak sawit dunia, sudah melakukan banyak usaha sejak 10-15 tahun dalam aspek alam sekitar, hutan…kita mahukan pihak EU memperakui fakta tersebut.

“Banyak penambahbaikan yang telah kita lakukan, tapi (malangnya) mereka tidak memperakuinya. Mesej yang kita mahu tekankan atau sampaikan kepada Brussels pada minggu depan adalah kita tidak mahu EU menggubal sebarang undang-undang baharu yang mendiskriminasi industri kita,” tegasnya.

Malaysia dan Indonesia secara gabungannya menyumbang sebanyak 80 peratus dalam pasaran minyak sawit.

Pada majlis hari ini, wartawan Bernama, Nurul Hanis Izmir menjadi antara penerima anugerah MPOB di atas sumbangan terhadap industri minyak sawit negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.