NEXTDC KL1 Bakal Muncul Sebagai Pusat Data Termaju Secara Teknologi – Fahmi

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Kemudahan NEXTDC di Kuala Lumpur (KL1) bakal menjadi pusat data termaju dari segi teknologi, boleh dipercayai, selamat serta mampan secara alam sekitar di rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ini berikutan KL1 yang dijangka mula beroperasi secara berperingkat dalam tempoh 18 bulan daripada sekarang, merupakan pusat data dengan pengiktirafan Tier IV.

Ciri tersebut menjadikan KL1 sebagai menepati standard industri tertinggi secara global.

“Lokasinya di Petaling Jaya juga berhampiran dengan pusat Kuala Lumpur dan hab perniagaan utama di Lembah Klang yang merupakan antara nadi pusat ekonomi Malaysia.

“Ini akan membolehkan NEXTDC berperanan untuk menampung permintaan perniagaan Malaysia, syarikat pengkomputeran awan berskala hiper serta syarikat permintaan teknologi yang pesat dengan kebanyakannya berpotensi sebagai pelanggan yang mahu menikmati kemampuan Tier IV dengan keselamatan pada tahap tertinggi,” katanya pada majlis pelancaran KL1 di sini, hari ini.

Fahmi berkata kesemua aspek itu akan membawa kepada pelaburan bernilai RM3 bilion dalam tempoh lima 10 tahun akan datang selain mewujudkan sekurang-kurangnya 70 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.

“Pembangunan ini akan turut menarik lebih banyak syarikat-syarikat awan dan digital global ke Malaysia yang dapat melonjakkan lagi transformasi digital serta pewujudan pekerjaan berkaitan,” katanya.

NEXTDC Ltd yang juga pengendali pusat data terkemuka Australia, telah mengumumkan kehadiranya dalam pasaran Malaysia menerusi pembangunan pusat data pertamanya di KL1. 

Kemudahan tersebut direka khusus untuk berkembang pesat kepada kapasiti kira-kira 65 megawatt (MW) kuasa teknologi maklumat penting dan diperkukuh dengan kesalinghubungan awan secara langsung yang akan menyaksikan kehadiran pelanggannya pada 2025.

“Ini merupakan penyertaan pertama NEXTDC dalam pasaran antarabangsa dan Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama syarikat itu untuk bertapak di peringkat global.

“Kita berserta dengan kerajaan Australia, akan terus bekerjasama bagi memajukan lagi cita-cita ekonomi digital negara dalam meraih manfaat kemakmuran bersama yang dibawanya,” kata Fahmi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian