Tips Kewangan & Pelaburan Bagi Para Graduan 

Lepasan graduan juga boleh melabur

Saban hari kita sering membaca mengenai isu gaji permulaan siswazah yang agak rendah. Gaji permulaan yang rendah dibandingkan pula dengn gaji permulaan 10 sehingga 20 tahun yang lalu.

Apa yang mengejutkan adalah tidak jauh bezanya gaji permulaan sekarang jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu. Walaubagaimanapun, kadar inflasi dan harga barang pula meningkat dengan pantas.

Perkara ini menjadi topik yang sering dibincangkan dan dispekulasikan sehingga menjadi punca ada lepasan SPM yang memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran. 

Pada pandangan anda, adakah wajar tindakan untuk tidak melanjutkan pelajaran hanya kerana gaji permulaan yang rendah?

Penulis berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang amat berharga bagi setiap orang. Sekiranya anda mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, ambillah peluang tersebut.

Bagi graduan yang mempunyai kerisauan terhadap keadaan kewangan apabila mula bekerja, jangan risau kerana dalam artikel ini kami sediakan 5 tips untuk graduan terokai peluang pelaburan yang sah, menguruskan kewangan serta membina asas kewangan masa hadapan yang kukuh.

1. Buat belanjawan dan tetapkan matlamat kewangan

Sebagai lepasan graduan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuat belanjawan yang merekodkan pendapatan, perbelanjaan dan simpanan anda. Kenal pasti di mana anda boleh kurangkan perbelanjaan yang kurang penting agar lebih banyak anda boleh peruntukkan bagi tujuan simpanan atau pelaburan.

Tetapkan matlamat yang jelas serta realistik yang sejajar dengan objektif pelaburan anda seperti menyimpan untuk bayaran pendahuluan rumah, membina dana kecemasan dan menyimpan untuk melabur.

2. Wujudkan tabung kecemasan

Ramai yang mungkin tidak pasti berapa jumlah sebenar yang diperlukan dalam tabung kecemasan. Jumlah ini mungkin subjektif bagi setiap orang, namun anda digalakkan untuk mempunyai 6 bulan gaji dalam tabung kecemasan.

Tabung kecemasan akan dapat membantu anda sekiranya anda hilang pekerjaan sebagaimana ramai yang terkesan ketika pandemik pada tahun 2020. Sekiranya anda kehilangan pekerjaan, cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pekerjaan baru dalam tempoh 6 bulan dan sepanjang tempoh tersebut anda tidaklah begitu tertekan kerana anda masih mempunyai simpanan yang dapat menampung komitmen anda.

3. Jauhi hutang jahat 

Banyak cabarannya ketika di awal alam pekerjaan dan antaranya adalah keinginan untuk membeli banyak benda kerana anda akhirnya berjaya dapat menikmati hasil titik peluh anda. Pada ketika ini juga ramai anak muda yang terperangkap dengan masalah kewangan kerana membeli kereta berjenama dan menggunakan kad kredit untuk berbelanja. Selain itu, apa yang lebih parah adalah apabila ramai anak muda membuat pinjaman peribadi. 

Sebagai graduan yang baru sahaja mula bekerja, sebaiknya anda elakkan diri daripada berhutang dengan banyak. Berbelanjalah ikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri. 

Baca: Misi Bebas Hutang Sebelum Umur 30

Sumber: Harian Metro

Berdasarkan infografik yang diambil daripada Harian Metro, statistik pada tahun 2021 tersebut menunjukkan punca utama kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan. 

Baca: ‘Personal loan buat aku jadi muflis’

4. Tambah ilmu kewangan & pelaburan

Untuk menjadi seorang yang celik dalam kewangan, banyakkan membaca, hadiri seminar atau webinar dan mungkin anda juga boleh pertimbangkan untuk berunding dengan penasihat kewangan jika anda perlukan bimbingan. 

Dengan adanya ilmu kewangan dan pelaburan yang betul, kita dapat tingkatkan lagi pendapatan tambahan bulanan kita.

Apa yang paling penting adalah kita dapat jauhi diri kita daripada scam yang akhirnya merugikan diri.

5. Cari peluang pelaburan berisiko rendah

Setiap pelaburan ada risikonya. Ada pelaburan yang risikonya lebih tinggi, dan juga sebaliknya. Sebagai graduan, pilihan pelaburan yang berisiko rendah seperti melabur di dalam unit Amanah ASNB. 

Selain itu, terdapat juga pelaburan yang berisiko rendah yang lain seperti melabur di dalam ETFs dan juga REITs. Pelaburan dalam ETF dan REIT memfokuskan dalam dividen dan juga kenaikan harga saham dalam jangka masa yang panjang. 

Jangan risau sekiranya anda tidak mempunyai modal yang besar sekarang kerana anda boleh beli dan kumpul setiap bulan atau apabila anda mempunyai wang lebihan.

Baca: 5 Persediaan Sebelum Berhajat Terjun Ke Dunia Pelaburan

Kesimpulannya sebaik sahaja anda tamat pengajian, sebaiknya anda terus mula merancang matlamat kewangan peribadi serta mula menyimpan dan melabur seawal yang mungkin.

Ada kalanya kita perlukan sedikit pengorbanan sekiranya kita inginkan sesuatu yang baik di masa hadapan. Semoga para graduan tabah menghadapi realiti yang mencabar ini.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari