StorHub Buka Lapan Kemudahan Seluruh Negara Dalam Dua Tahun Lagi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Pengendali perkhidmatan penyimpanan terbesar di Singapura, StorHub Group merancang untuk membuka sehingga lapan kemudahan penyimpanan di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang, khususnya bandar-bandar besar di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada langkah pengembangannya, kumpulan itu telah mengumumkan pengambilalihan kepentingan dalam syarikat penyimpanan layan diri di Malaysia, Flexi Storage, yang kemudiannya dibuat penjenamaan semula semula kepada StorHub Self Storage Malaysia. 

Ketua Pegawai Pelaburan StorHub Group David Chin berkata kumpulan itu sedang meninjau beberapa kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan selatan Johor untuk pengembangannya.

“Malaysia telah dikenal pasti sebagai pasaran pertumbuhan utama selepas StorHub Group menyaksikan terdapat perubahan dalam kaedah pengguna termasuk perniagaan melihat ruang hidup atau hartanah berikutan kepesatan dalam pembandaran.

“Kadar urbanisasi negara ini telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima dekad berbanding hanya 28.4 peratus pada 1970 kepada 75.1 peratus menjelang 2020, dengan Selangor mempunyai penduduk bandar terbesar iaitu 6.7 juta,” katanya pada pelancaran kemudahan StorHub Self Storage keempat di sini hari ini. 

Sejak Flexi Storage beroperasi pada 2015, syarikat itu telah menyediakan kemudahan penyimpanan yang selamat serta fleksibel untuk kegunaan peribadi dan perniagaan kepada lebih daripada 1,600 pelanggan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) StorHub Self Storage Malaysia dan Pengasas Bersama Flexi Storage Desmond How.

“Di Malaysia, kami menyaksikan hampir 90 peratus pengambilan kemudahan kami, yang seterusnya telah memacu trajektori pertumbuhan kumpulan. 

“Hobi pandemik seperti memasak dan berbasikal turut membawa gelombang pelanggan baharu yang kemudiannya terpaksa dikemas semula bagi memberi laluan kepada minat baharu,” katanya. 

CEO StorHub Self Storage Malaysia, Alex Lee berkata fasiliti StorHub di sepanjang Jalan Klang Lama secara rasminya merupakan kemudahan pertama syarikat itu di Malaysia yang terletak dalam kawasan bangunan kediaman. 

Dengan kemudahan terbaharu itu, StorHub Malaysia kini menawarkan lebih 1,000 unit simpanan diri merangkumi kawasan lantai kasar seluas 85,000 kaki persegi bagi menampung keperluan penyimpanan diri komuniti berdekatan.

“Lokasi berpusat dan padat di Jalan Klang Lama adalah agak mudah diakses selain memberi manfaat kepada komuniti kejiranan di Taman OUG, Taman Kinrara, Taman Damai Utama, Bandar Baru Sri Petaling, Mid Valley City serta mereka yang berada di luar kawasan memandangkan mereka akan dapat menikmati kelebihan kemudahan yang ditawarkan StorHub”, katanya. 

StorHub Group mengendalikan 18 kemudahan di Singapura serta telah mewujudkan kehadiran di 15 bandar termasuk di Australia, China, Hong Kong SAR, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Malaysia. 

 Kumpulan itu kini mengendalikan kemudahan yang merangkumi lebih daripada 5.1 juta kaki persegi kawasan lantai kasar dan lebih daripada 70,000 unit simpanan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan StorHub Group Mike Hagbeck berkata dengan pengalaman 20 tahun menjadi pengendali paling lama di Singapura dan Asia Pasifik, kumpulan itu terus teguh dengan matlamat untuk menjadi pemain simpanan diri Pan-Asia yang dominan dengan mencatatkan pertumbuhan pesat industri penyimpanan diri di seluruh pasaran utama di Asia Pasifik. 

“Kami berhasrat membawa bersama-sama banyak pengalaman dalam membina kemudahan penyimpanan diri yang selamat dan terjamin selain memahami keperluan pelanggan simpanan diri kami di Malaysia,” katanya. 

StorHub menawarkan penyelesaian penyimpanan diri agar pelanggan dapat mengoptimumkan ruang di rumah dan di pejabat untuk menikmati kehidupan tanpa semak, dengan ruang simpanan diri antara sepuluh kaki persegi hingga lebih 400 kaki persegi, dengan bayaran penyimpanan bermula daripada RM95.50 sebulan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.