PM Anwar, Menteri Saksi Pertukaran MoU Bernilai RM19.84 Bilion

NANNING, 17 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disertai beberapa menteri Malaysia, telah menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat-syarikat Malaysia dan China sempena lawatan kerja sehari beliau ke Nanning, China.

Menteri-menteri itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Maklumat yang dikongsi oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) menunjukkan MoU pertama dengan nilai pelaburan dianggar RM15 bilion (US$5.2 bilion) adalah antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, yang mana kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji janakuasa sisa kepada tenaga terutamanya di Malaysia.

MoU kedua bernilai kira-kira RM2.34 bilion (US$500 juta) pula adalah pertukaran antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group.

Ia melibatkan kerjasama pergudangan dan logistik antara kedua-dua syarikat dalam menyokong Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu rantau ini untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi dan Malaysia.

Sementara itu, MoU terakhir dengan anggaran eksport sebanyak RM2.5 bilion ialah antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group. 

MoU ini adalah mengenai kerjasama membina pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan kerja sehari ke Nanning atas undangan Perdana Menteri China Li Qiang bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 di sini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian