Industri Sawit Digalak Teroka Pasaran Khusus Untuk Nilai Pasaran Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Industri minyak sawit Malaysia digalakkan meneroka dan memperluaskan perniagaan ke pasaran yang disifatkan sebagai pasaran khusus untuk mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi serta liputan lebih bersasar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Siti Aminah Aching berkata oleh itu, syarikat Malaysia digalakkan untuk mengeksport barangan siap berbanding dengan komoditi minyak sawit.

“Pelaburan dan pertumbuhan peringkat hiliran yang perlahan merupakan cabaran kepada sektor hiliran sawit. Negara menghadapi pelbagai rintangan bagi menarik minat pelaburan dan teknologi bagi pembangunan produk hiliran tempatan sektor sawit,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi pada sidang khas Dewan Negara di Parlimen, pada Isnin.

Beliau berkata justeru, bagi menggiatkan peralihan kepada aktiviti bernilai tinggi dan merebut peluang ekonomi kitaran, kerajaan telah merangka inisiatif iaitu meluaskan pembangunan produk berorientasikan pasaran seperti produk oleokimia dan biobahan api berprestasi khusus, makanan dan ramuan fungsian. 

Kerajaan turut mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempelbagaikan jenis minyak sawit dan minyak isirung sawit bernilai tinggi di samping mengambil peluang ke atas ekonomi kitaran melalui pendekatan buangan sifar bagi menjana nilai tambah, katanya.

Siti Aminah berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 3.78 juta tan minyak sawit mentah (MSM) dengan nilai RM19.77 bilion telah dieksport pada 2022.

Eksport produk berasaskan sawit lain yang terdiri daripada minyak sawit diproses, isirung minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit, produk sawit lain dan hampas isirung sawit adalah sebanyak 22.75 juta tan dengan nilai RM118.12 bilion bagi tempoh yang sama, katanya.

Bagi komoditi getah pula, beliau berkata kerajaan terus berusaha memastikan industri getah berkembang menerusi dasar serta program berimpak tinggi yang diperkenalkan termasuk meningkatkan kelestarian industri getah secara keseluruhannya.

Mengenai isu harga getah rendah, kerajaan terus giat membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah di pasaran, katanya.

Beliau berkata oleh itu, kerajaan berusaha untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah serta pengeluaran getah negara dengan melaksanakan strategi jangka masa panjang seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG); Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET); dan Program Insentif Pengeluaran Getah (IPL). 

“Sebagaimana sedia maklum, bermula dari 1 Jan, 2023 kerajaan telah menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70.

“Sehingga Ogos 2023, pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 217,705 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM474.54 juta. Program IPG ini telah dilaksanakan bermula September 2015,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Garis SMA 50 Hari Bertindak Sebagai Rintangan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami tekanan jualan yang kuat pada hari Khamis apabila ia menurun MYR125 untuk ditutup pada harga lebih rendah sebanyak MYR4,458. Komoditi ini memulakan sesi dagangan semalam pada paras MYR4,576. Kemudian, ia mencapai paras tertinggi intrahari pada MYR4,609 dan paras terendah intrahari pada MYR4,455 sebelum menutup dagangan pada harga MYR4,458. Corak lilin menurun yang panjang mengesahkan bahawa garis SMA 50 hari sekarang bertindak sebagai paras rintangan atas.

Hal ini menunjukkan bahawa pedagang yang meramalkan penurunan kini mempunyai kelebihan teknikal – dengan menyasar untuk menguji paras sokongan MYR4,390. Penembusan menurun pada paras sokongan akan menyambungkan pergerakan ke bawah ke arah paras MYR4,300. Memandangkan rentak penurunan menjadi semakin rancak, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Bagi pergerakan ke atas, paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,840.