Malaysia Airlines Lancar Penerbangan Terus Baharu Ke Kertajati Indonesia

JAKARTA, 25 Sept (Bernama) — Malaysia Airlines memperluaskan rangkaiannya di Indonesia dengan memperkenalkan penerbangan terus baharu terus dari Kuala Lumpur ke Kertajati bermula 30 Oktober ini.

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menggunakan pesawat Boeing 737-800NG bagi memudahkan lagi pelancong untuk meneroka Bandung dan lebih banyak bandar lain di Jawa Barat.

Syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata rangkaian baharu itu akan menawarkan penerbangan terus ke tujuh bandar di Indonesia termasuk Jakarta, Denpasar, Medan, Yogyakarta, Pekanbaru dan Surabaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata sebagai satu daripada lima pasaran terbesar bagi Malaysia Airlines, penambahan Kertajati ke dalam rangkaiannya akan memberi keselesaan kepada pelancong, meningkatkan pelancongan dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Ketika permintaan perjalanan global terus mengukuh, kami melihat sambutan positif bagi laluan Indonesia kami setakat ini dengan purata faktor muatan pada 80 peratus,” katanya.

Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang pengenalan untuk masa terhad bermula hari ini hingga 8 Okt bagi perjalanan bermula 3 Okt hingga 29 Mac tahun depan dengan tambang bermula daripada RM519 pergi balik melalui Kelas Ekonomi dan daripada RM1,969 pergi balik menerusi Kelas Perniagaan.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Penyaluran Sumbangan Asas Rahmah Tertinggi RM13 Bilion Mula Diagih Esok – MOF


KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula esok menyaksikan penambahbaikan bantuan bersasar merangkumi sebahagian peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dalam angka tertinggi iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lepas.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata kadar bantuan SARA itu ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima sejumlah RM2,100 bagi tahun 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.

“Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Bermula April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,” kata kementerian itu.

Selain itu, MOF berkata sebanyak 5.4 juta penerima STR akan turut menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.

Bilangan itu merangkumi masing-masing 700,000 penerima SARA dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tiada dalam rekod eKasih.

Bagi kategori isi rumah, kata MOF, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.

“Untuk golongan warga emas pula, mereka yang tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” kata kementerian itu.

— BERNAMA