Majikan Akan Terima Insentif Tunai Jika Penuhi Keperluan Dasar Gaji Progresif

KUALA LUMPUR 26 Sept (Bernama) — Majikan akan menerima insentif tunai daripada kerajaan setelah mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti telah memenuhi keperluan dasar gaji progresif, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. 

Beliau berkata majikan perlu terlebih dahulu menaikkan gaji pekerja dan seterusnya menunjukkan bukti barulah kerajaan boleh membayar insentif kepada mereka.

“Majikan kena naikkan gaji terlebih dahulu, kemudian tunjukkan bukti, baru kita boleh bayar. Bukannya kerajaan akan bagi insentif bulat-bulat. 

“Insentif berbentuk tunai ini penting bagi menggalakkan majikan untuk menyertai dasar ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). 

“Insya-Allah, oleh kerana peruntukan itu ditentukan oleh kerajaan maka ia dapat mengimbangkan beban kewangan kerajaan juga kerana ia akan dilaksanakan atas dasar ‘first come, first serve’,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara, hari ini. 

Inisiatif dasar sistem gaji progresif itu telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini. 

Rafizi berkata mana-mana majikan yang memohon dan menepati syarat akan mendapat insentif tersebut tetapi sekiranya kuota itu sudah dipenuhi berdasarkan peruntukan yang diberi kerajaan bagi tahun berkenaan mereka boleh memohon semula pada tahun depan.

Beliau berkata, dasar tersebut juga berkaitan dengan produktiviti kerana pekerja diwajibkan untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif. 

“Untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif itu mereka perlu memenuhi syarat-syarat latihan supaya bukan sahaja meningkatkan bakat dan kebolehpasaran mereka malah boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti ditempat kerja.

“Itu akan mengimbangi keperluan gaji yang lebih baik kepada pekerja tetapi juga untuk berlaku adil kepada majikan supaya majikan juga dapat manfaat dari produktiviti yang lebih baik,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Apakah Maksud Kesejahteraan Pekerja Kepada Rakyat Malaysia

Sebanyak 62% profesional di Malaysia sama ada sedang mencari pekerjaan baharu atau merancang untuk berbuat demikian pada tahun lalu. Pada masa yang sama, 67% pekerja di Malaysia melaporkan berasa keletihan melampau (burnout). Angka-angka ini menunjukkan bahawa walaupun pasaran kerja menawarkan peluang, ramai pekerja sedang bergelut dengan keletihan dan hilang keterlibatan di tempat kerja.

Elemen yang sering terlepas pandang ialah kesejahteraan pekerja. Menanganinya memerlukan lebih daripada sekadar faedah seperti keahlian gimnasium, makanan percuma atau pemeriksaan kesihatan tahunan. Ia memerlukan pendekatan sistemik yang mengambil kira emosi harian, rasa tujuan, serta kualiti hubungan yang membentuk pengalaman sebenar bekerja.

Empat dimensi utama kesejahteraan boleh dipertimbangkan seperti berikut:

  • Kesejahteraan afektif – Kekerapan emosi positif berkaitan kerja seperti semangat, optimisme dan rasa bangga terhadap hasil kerja.
  • Kesejahteraan psikologi – Rasa bermakna, kecekapan dan perkembangan diri di tempat kerja.
  • Kesejahteraan sosial – Kualiti sokongan, kepercayaan, rasa kebersamaan dan sumbangan dalam pasukan.
  • Kesejahteraan spiritual – Keselarasan antara nilai peribadi dengan tujuan profesional seseorang.

Dengan memahami dan mengukur dimensi-dimensi ini, pemimpin boleh memperoleh pandangan praktikal tentang faktor sebenar yang mendorong kepuasan, kesetiaan dan prestasi pekerja di Malaysia.

Mengapa Kesejahteraan Pekerja Baik Untuk Perniagaan

Kesejahteraan sering dianggap sebagai sesuatu yang “nice to have”. Hakikatnya, ia adalah keperluan perniagaan.

  • Penglibatan lebih tinggi – Pekerja dengan tahap kesejahteraan yang baik lebih komited dan produktif.
  • Kadar keluar kerja lebih rendah – Kesejahteraan yang lemah meramalkan niat berhenti kerja yang lebih tinggi.
  • Burnout berkurangan – Perhatian sistematik terhadap kesejahteraan melindungi daripada keletihan emosi.
  • Kepuasan hidup lebih baik – Kesejahteraan di tempat kerja memberi kesan positif kepada kesihatan, kehidupan keluarga dan kebahagiaan keseluruhan.

Apabila pekerja berasa bertenaga, disokong dan mempunyai tujuan, organisasi akan menikmati pengekalan bakat yang lebih baik, prestasi yang lebih tinggi dan reputasi yang lebih kukuh. Ringkasnya, kesejahteraan memberi pulangan dari segi kewangan, etika dan sosial.

Kepimpinan Bertanggungjawab: Daripada Kata-Kata Kepada Amalan

Pemimpin yang bertanggungjawab memahami bahawa keuntungan dan keprihatinan terhadap manusia bukanlah dua perkara yang bertentangan, malah saling menguatkan. Oleh itu, untuk membina organisasi yang lebih sihat dan berdaya tahan, pemimpin perlu:

  • Mengukur kesejahteraan secara berkala menggunakan alat yang boleh dipercayai dan disahkan.
  • Bertindak berdasarkan dapatan dengan intervensi yang disasarkan, bukan sekadar faedah umum untuk semua.
  • Menjadi teladan dengan menghormati batasan dan menggalakkan tabiat kerja yang sihat.
  • Mengintegrasikan metrik kesejahteraan ke dalam KPI organisasi, dan menganggapnya sama serius seperti hasil dan pertumbuhan.

Kepimpinan yang mengutamakan kesejahteraan akan bergerak melangkaui simbolik kepada impak sebenar, mewujudkan budaya di mana pekerja berkembang, bukan sekadar bertahan.

Langkah Praktikal Untuk Pengurus

  1. Mengiktiraf usaha – Raikan kejayaan kecil untuk meningkatkan semangat dan hubungan emosi.
  2. Menyokong perkembangan – Sediakan latihan dan bimbingan untuk membina kesejahteraan psikologi.
  3. Membina komuniti – Kukuhkan kesejahteraan sosial melalui kerja berpasukan dan kolaborasi.
  4. Mengaitkan kerja dengan tujuan – Bantu pekerja melihat impak lebih besar hasil kerja mereka.
  5. Mencegah burnout – Perhatikan tanda amaran, urus beban kerja dan utamakan rehat.

Langkah Praktikal Untuk Pekerja

  • Bina hubungan – Hubungan di tempat kerja menyediakan sokongan yang penting.
  • Cari pembelajaran – Libatkan diri dalam projek yang mencabar dan mengembangkan kemahiran.
  • Lindungi tenaga diri – Tetapkan batasan sebelum burnout berlaku.
  • Bingkai semula tujuan – Tugas rutin juga boleh bermakna apabila dikaitkan dengan matlamat organisasi.

Ke Arah Masa Depan Kerja Yang Lebih Sihat

Kepimpinan bertanggungjawab bermaksud mengintegrasikan kesejahteraan ke dalam DNA organisasi daripada strategi dan dasar hingga interaksi harian bukan menganggapnya sebagai perkara sampingan. Apabila pekerja berasa bertenaga, cekap, saling terhubung dan mempunyai tujuan, organisasi bukan sahaja menjadi lebih berperikemanusiaan, malah lebih berdaya saing.

Kesejahteraan pekerja ialah asas kepada kepimpinan bertanggungjawab, pertumbuhan mampan dan masa depan dunia kerja di Malaysia.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Dr Liu Li dan Dr Gu Manli, ahli Centre for Future Work di bawah University Research Centre (URC), Taylor’s University.