Melaka Terima Tambahan Pelaburan RM1 Bilion Daripada Syarikat Elektronik Jepun


MELAKA, 17 Okt (Bernama) — Melaka menerima tambahan pelaburan berjumlah RM1 bilion daripada Koa Denko Malaysia Sdn Bhd, pembekal elektronik global dari Jepun itu bagi pembangunan projek fasa dua kilang pembuatan cip, mikrocip dan elektronik syarikat itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembangunan kilang baharu di kawasan seluas 8.37 hektar di Ayer Keroh Eco Park dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 yang menawarkan kira-kira 950 peluang pekerjaan.

“Ia diunjurkan meningkat kepada 1,820 peluang pekerjaan pada 2028, saya diberitahu syarikat berkenaan juga menyasar untuk menghasilkan pengeluaran 8.2 bilion keping cip perintang setiap bulan menjelang tahun berkenaan.

“Produk dihasilkan syarikat tersebut kebiasaannya digunakan dalam industri automotif, peralatan perindustrian dan telekomunikasi dan diedarkan kepada pengilang syarikat pembuatan terkenal dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd yang turut dihadiri Pengarah Urusannya Seiji Ozawa dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk  Arham Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata syarikat itu juga menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri itu bagi melahirkan pekerja berkemahiran dan terlatih seterusnya membuka peluang kepada siswazah untuk bekerja dengan mereka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri kini dalam proses pengambilalihan tanah kira-kira  2023.4 hektar bagi menyediakan tapak kawasan perindustrian baharu di koridor utara negeri tersebut.

Usaha itu bagi menggalak dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama pilihan pelabur sekali gus merancakkan ekonomi negeri, katanya.

“Selain itu, kami minta Invest Melaka Berhad untuk bertindak sebagai pemudah cara segala urusan berkaitan pelaburan dan memberi sokongan diperlukan.

“Setakat Oktober tahun ini Melaka mencapai nilai pelaburan yang amat berjaya dan memberangsangkan, bagaimanapun nilai tersebut akan diumumkan selepas mendapat laporan rasmi daripada MIDA,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA