DHL Supply Chain Melabur 131 Juta Euro Di Malaysia

DHL SUPPLY CHAIN MELABUR 131 JUTA EURO DI MALAYSIA

BAYAN LEPAS, 17 Okt (Bernama) — DHL Supply Chain, peneraju pasaran global untuk penyelesaian logistik kontrak, merancang untuk melabur €350 juta (€1=RM4.99) di Asia Tenggara dengan lebih satu pertiga daripada pelaburan (€131 juta) masuk ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Daripada €350 juta itu, DHL Supply Chain akan memperuntukkan €104 juta di Singapura, €80 juta di Filipina dan €35 juta di Indonesia untuk memperluaskan kapasiti pergudangan, tenaga kerja dan inisiatif kemampanannya.

Ketua Pegawai Eksekutif DHL Supply Chain Asia Tenggara Andries Retief berkata terdapat rombakan rantaian bekalan global dan Malaysia akan mendapat manfaat, terutamanya dalam sektor pembuatan.

“Sebagai anggota Asean, negara ini adalah ahli kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas, menjadikannya pilihan yang menarik bagi yang ingin mempelbagaikan pilihan sumber mereka.

“Inilah sebabnya kami melabur €131 juta untuk memastikan kami mempunyai kapasiti dan bakat untuk menyokong pertumbuhan pelanggan kami di sini,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Bagi mengukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia, DHL Supply Chain akan memperkenalkan kemudahan baharu iaitu dua di Pulau Pinang serta satu di kawasan tengah dan satu di selatan. Kemudahan baharu ini akan menambah 113,000 meter persegi ruang gudang kepada portfolio sedia ada seluas 217,300 meter persegi.

Sebahagian daripada pelaburan berjuta-juta euro akan disalurkan kepada pelaksanaan automasi termaju di Hab Logistik 5 Pulau Pinang (PLH5) yang akan dibangunkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DHL Supply Chain Oscar de Bok berkata terdapat peluang yang luar biasa untuk perniagaan di Asia Tenggara mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan memandangkan syarikat sedang meninjau dalam mempelbagaikan rantaian bekalan.

“Dengan persekitaran kerja yang cekap dan perjanjian perdagangan yang berkesan seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-Asean, Asia Tenggara akan mendapat manfaat yang paling banyak.

“Pelaburan yang pelbagai di pasaran kami di rantau ini sebanyak €350 juta akan melengkapkan strategi pelaburan global kami.

“Ini adalah pelaburan strategik, walaupun pasaran persekitaran secara umumnya lebih perlahan, tetapi kami melabur untuk pertumbuhan masa depan perniagaan kami dan sangat percaya pada pengembangan strategik dan kepelbagaian perniagaan serantau kami,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia adalah pasaran yang sangat menarik dan Pulau Pinang khususnya mempunyai potensi pasaran yang baik disebabkan oleh perspektif geografi dan pelaburan langsung asing yang kukuh.

Syarikat itu juga akan terus melabur dalam sistem pengurusan gudang (WMS) dan inisiatif pendigitalannya, seperti sistem penyimpanan dan pengambilan semula automatik (ASRS) termaju yang dilengkapi palet serta teknologi robotik GTP (goods to person) yang akan digunakan di kemudahan gudang baharunya. 

Penyedia penyelesaian logistik itu berhasrat mengembangkan keupayaan pengangkutannya di Malaysia dengan pelaburan yang besar dalam armada, sistem dan kakitangannya, serta Menara Kawalan Terhubung yang pertama di Kuala Lumpur. Ia menyasarkan untuk mewujudkan 450 pekerjaan pada tahun 2024.

Ia juga komited terhadap kemudahan neutral karbon untuk semua bangunan baharu. Semua kemudahannya di Singapura dan Malaysia telah mencapai neutral karbon, menekankan kepimpinannya untuk memperjuangkan kemampanan dalam sektor rantaian bekalan.

Inisiatif kemampanan lain termasuklah usaha menyepadukan pencahayaan LED Pintar dan panel solar di gudang Pusat Logistik Bersepadu (ILC) DHL Supply Chain di Malaysia seluas 100,000 meter persegi yang dilaksanakan baru-baru ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.