Rangkaian Sistem Pembayaran Masa Nyata Antara Malaysia Dengan Singapura Dilancarkan

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) secara bersama-sama melancarkan jalinan sistem pembayaran masa nyata antara DuitNow Malaysia dengan PayNow Singapura

BNM berkata jalinan DuitNow-PayNow membolehkan pemindahan dana antara rakan setara (P2P) antara kedua-dua negara tersebut dibuat dengan serta-merta, selamat dan berkesan dari segi kos.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata pembayaran rentas sempadan yang cepat, selamat dan menjimatkan kos boleh memberikan manfaat yang besar terutama kepada individu dan perniagaan kecil di negara yang mempunyai hubungan ekonomi erat seperti Malaysia dan Singapura. 

“Jalinan itu membolehkan kita meraih manfaat ini ke arah pertumbuhan dan kemakmuran bersama, sambil meletakkan asas bagi rangkaian pembayaran rentas sempadan yang boleh diperluas merentasi dan melangkaui rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAS Ravi Menon berkata kerjasama ini adalah kemuncak aspirasi bersama oleh Singapura dan Malaysia untuk memudahkan pembayaran rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“Jalinan ini melambangkan satu lagi langkah ke arah mencapai visi ASEAN untuk kesalinghubungan pembayaran serantau,” katanya.

DuitNow-PayNow merupakan jalinan sistem pembayaran masa nyata  pertama yang membolehkan penyertaan institusi kewangan bukan bank dari kedua-dua negara untuk memberikan akses kepada kumpulan pengguna yang lebih meluas.

Perkhidmatan itu, yang membolehkan pembayaran QR rentas sempadan kepada peniaga susulan jaringan pembayaran QR yang diumumkan pada 31 Mac 2023 akan boleh digunakan oleh semua pengguna Maybank, CIMB dan TNG Digital terlebih dahulu, manakala institusi kewangan lain akan turut serta secara berperingkat kemudian bagi pengguna di Malaysia. 

Bagi Singapura, perkhidmatan ini akan disediakan kepada pelanggan Liquid Group, Maybank Singapura, OCBC dan UOB secara berfasa, yang mana institusi tersebut akan meningkatkan bilangan kumpulan pengguna yang layak secara berperingkat mulai hari ini hingga akhir Januari 2024.

“Pengguna institusi kewangan yang menyertainya kini boleh menghantar dan menerima dana hingga RM3,000 atau S$1,000 setiap hari dengan menggunakan nombor telefon mudah alih atau alamat pembayaran maya (VPA) penerima,” kata BNM.

Bank pusat berkata, jalinan DuitNow-PayNow adalah hasil kerjasama yang erat antara bank pusat, pengendali sistem pembayaran, pemilik skim dan institusi kewangan peserta di kedua-dua negara. 

“Kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam usaha menambah baik kos, kepantasan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan kerana pengguna kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan dengan kos yang lebih rendah, menyeluruh dan mudah diakses.

“Jalinan ini juga sejajar dengan objektif Inisiatif Kesalinghubungan Pembayaran ASEAN dan Pelan Hala Tuju G20 bagi Mengukuhkan Pembayaran Rentas-Sempadan,” katanya.

Pada 2022, transaksi P2P dan pengiriman wang antara kedua-dua negara ini berjumlah RM7.8 bilion/S$2.3 bilion

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Kajian UOB: Perniagaan Kekal Berdaya Tahan Pada 2026, Pengurusan Tenaga Jadi Keutamaan Strategik

Kuala Lumpur, Malaysia, 29 Jun 2026 Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada 2026, di mana pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan yang kritikal. Walaupun sentimen keseluruhan kekal positif bagi perniagaan, perusahaan yang lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian ini mendapati bahawa 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan di kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana. Walau bagaimanapun, hampir tiga daripada sepuluh PKS terus berdepan tekanan daripada perbelanjaan operasi yang meningkat, kos tenaga kerja yang tinggi, dan kenaikan kadar faedah, justeru mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Pengurusan Tenaga Menjadi Tumpuan Utama

Sebagai tindak balas terhadap turun naik kos yang berterusan, perniagaan semakin beralih kepada pengurusan tenaga sebagai cara praktikal untuk mengurus perbelanjaan. Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga adalah penting, dengan 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan pada pengurusan dan kecekapan tenaga. Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan bahawa tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan. Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan, disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada kami, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya. Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.”

UOB Malaysia telah memperkukuh sokongan pembiayaannya melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM[1], sekali gus membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi di dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran. Seiring dengan inisiatif ini, Bank kekal komited untuk menyediakan bantuan menyeluruh dan penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS dalam membina daya tahan jangka panjang serta mengharungi ketidaktentuan.

Penggunaan penyelesaian kos efektif sudah pun dilaksanakan

Kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus).

Daya Tahan Diutamakan Berbanding Pertumbuhan Pesat

Kajian ini menekankan peralihan strategik yang lebih luas di kalangan perniagaan, iaitu ke arah pelaksanaan yang dipacu daya tahan dan bukannya pertumbuhan yang agresif. Pengurusan tenaga semakin dikaitkan dengan objektif daya tahan yang lebih luas, termasuk mengekalkan kestabilan operasi, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Perniagaan yang mengamalkan kepelbagaian pembekal, pengembangan serantau, dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan kestabilan tenaga ke dalam strategi pengurusan risiko mereka. Memasuki tahun ketujuhnya, Kajian Tinjauan Perniagaan UOB kini akan dijalankan dua kali setahun dan memperkenalkan bidang tumpuan yang diperluas, menunjukkan bagaimana keadaan ekonomi dan geopolitik yang berubah dengan pantas sedang membentuk semula landskap perniagaan. Edisi 2026 merangkumi tujuh pasaran – Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Untuk mendapatkan salinan kajian dengan butiran penuh, sila layari https://www.uobgroup.com/asean-insights/articles/uob-business-outlook-study-2026-malaysia-h1.page


[1] Sila rujuk siaran akhbar UOB: UOB Malaysia enhances financing support for SMEs through BNM Stabilisation Relief Facility