BlackBerry, Kerajaan Malaysia Meterai Perjanjian Keselamatan Siber

SAN FRANCISCO, 17 Nov (Bernama) — BlackBerry Ltd menandatangani perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang dengan kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara itu di sini, hari ini.

Menurut BlackBerry, perjanjian itu akan membolehkan kerajaan Malaysia memanfaatkan rangkaian penyelesaian keselamatan sibernya yang dipercayai sepenuhnya dan menyokong integriti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara itu dengan teknologi dan latihan keselamatan siber termaju.

“Sektor awam Malaysia akan mendapat manfaat daripada akses yang selamat, dipercayai, pada masa nyata kepada perisian dan perkhidmatan BlackBerry, yang dihoskan dalam awan berdaulat,” menurut syarikat perisian Kanada itu yang mengkhusus dalam keselamatan siber dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu menjalin kerjasama antarabangsa yang menerima pakai teknologi terkini untuk terus berkembang, makmur serta memastikan data negara dan rakyat selamat.

Beliau berkata Malaysia juga perlu menjemput pelaburan asing yang dapat meningkatkan dan melatih tenaga kerja keselamatan siber bertaraf dunia.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan BlackBerry bagi menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi contoh utama dalam daya tahan siber – dengan janji kedaulatan data, untuk maklumat, data dan komunikasi kerajaan kita,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam kenyataan yang sama.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata keselamatan siber adalah tonggak utama Strategi Indo-Pasifik Kanada, yang menyasarkan untuk memacu keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini.

“Keselamatan siber adalah cabaran bersama yang memerlukan kerjasama antarabangsa, sebab itu kami amat menyokong Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia, rakan kongsi dua hala penting Kanada,” katanya. 

Trudeau berkata dengan menyokong pembela siber masa depan Malaysia dan mewujudkan rangkaian serantau yang lebih kukuh untuk berkongsi kepakaran antara Kanada dan Asia Tenggara, kedua-dua negara boleh mengukuhkan lagi daya tahan dan kapasiti mereka antara satu sama lain, dan dengan rantau yang lebih luas untuk menangani, menghalang dan respons terhadap ancaman siber.

Menurut kenyataan itu, perjanjian tersebut termasuklah penyelesaian keselamatan siber terkemuka dunia BlackBerry yang dikuasakan oleh Cylance® AI untuk meramal dan mencegah serangan siber, NATO-certified BlackBerry® SecuSUITE® untuk komunikasi selamat, BlackBerry® UEM (Unified Endpoint Management) untuk melindungi data kerajaan dalam kalangan tenaga kerja perayauan dan BlackBerry® AtHoc® digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk pengurusan acara penting dan respons insiden.

Blackberry tubuh pusat keselamatan siber di KL 

BlackBerry turut mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) bertaraf dunia di Kuala Lumpur pada 2024, yang juga merupakan CCoE pertamanya di rantau Asia Pasifik.

“Ekonomi Malaysia yang berkembang pesat adalah pilihan strategik untuk CCoE pertama BlackBerry di rantau ini,” katanya dalam kenyataan itu. 

Katanya CCoE akan menawarkan latihan khusus untuk memacu kapasiti dan kesediaan keselamatan siber Malaysia, dengan matlamat menampung kekurangan 12,000 profesional siber negara.

“Kerajaan Kanada mengalu-alukan penubuhan CCoE dan merancang untuk bekerjasama rapat dengan BlackBerry, kerajaan Malaysia, dan CCoE akan memberikan bantuan binaan kapasiti keselamatan siber kepada Asia Tenggara, seperti yang dimandatkan di bawah Strategi Indo-Pasifik Kanada,” katanya.

Menurut BlackBerry, CCoE akan menawarkan pendidikan dan latihan keselamatan siber serta risikan ancaman siber dan pasukan tindak balas insiden “sentiasa aktif” untuk membantu negara melindungi daripada aktiviti siber berniat jahat yang menyasarkan perniagaan, kerajaan dan infrastruktur.

“CCoE juga akan meningkatkan perkongsian risikan antara negara dan memperluas rangkaian risikan ancaman global BlackBerry,” katanya.

Presiden Keselamatan Siber BlackBerry John Giamatteo berkata CCoE di Malaysia dirangka untuk menyokong matlamat strategik Perdana Menteri dalam meningkatkan tenaga kerja keselamatan siber yang mahir dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau yang penting untuk risikan ancaman.

Giamatteo akan menyelia penggunaan penyelesaian keselamatan siber BlackBerry di Malaysia dan penubuhan CCoE BlackBerry.

Menyertai Giamatteo pada majlis pemeteraian itu ialah Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Pegawai Dasar Awam BlackBerry Marjorie Dickman, yang bertanggungjawab untuk penyeliaan strategik perhubungan kerajaan global dan operasi dasar awam BlackBerry.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan ahli delegasi Malaysia lain yang menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di San Francisco.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.